Halaman

12 September 2013

BPUNT buka lapan kaunter pada hari penamaan calon

Razali Bidin
Oleh; Esah Abdullah

Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) akan membuka lapan kaunter pada hari penamaan calon bagi pemilihan semua jawatan dalam parti pada 21 September ini mulai jam 8 pagi hingga 5 petang bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.

Setiausaha Kerja BPUNT, Encik Razali Bidin berkata,  kaunter berkenaan akan mewakili lapan bahagian iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

“Borang penamaan calon akan disediakan secukupnya untuk memberi peluang semua ahli yang ingin bertanding semua jawatan dalam Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri ,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Katanya, tahun ini merupakan tahun pemilihan semua jawatan dalam parti dan terbuka kepada semua ahli Umno yang telah menyertai parti selama tiga tahun dan ke atas.

Menurutnya, Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 12 Oktober manakala Persidangan Umno di peringkat bahagian pada 19 Oktober dan semua persidangan sayap dan bahagian akan diadakan serentak di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain Encik Razali berkata sehingga ini kira-kira-kira 85 peratus cawangan Umno seluruh negeri sudah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

“Terdapat 1,091 cawangan seluruh negeri dan sebahagian besarnya sudah selesai bermesyuarat hanya ada 25 peratus sahaja belum mengadakan mesyuarat yang dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum tamat tempoh bermesyuarat pada 15 September ini,” katanya.