Halaman

10 September 2013

IWK gesa pemilik rumah guna tangki septik

Oleh; Esah Abdullah 

Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) cawangan Terengganu mengesa pemilik rumah di negeri supaya menggunakan tangki septik individu yang lebih selamat untuk kesihatan dan alam sekitar.

Pemangku Pengurus Negeri IWK  Terengganu, Encik Levdeswaran Ramasamy berkata, pihaknya mendapati 147,000 pemilik rumah di negeri ini yang masih menggunakan sistem pembetungan dengan sistem palong.

“Sistem berkenaan akan memudaratkan kesihatan mereka dalam tempoh jangka masa panjang kerana sisa enap cemar dari bahan kumbahan seisi rumah itu boleh mencemarkan sumber air perigi berkenaan,” katanya kepada pemberita di majlis Hari Raya Aidilfitri IWK, di Qinara Safir Resort Tok Jembal baru-baru ini.

Menurutnya, IWK kini giat menjalankan kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai aspek keselamatan dan kebersihan yang sangat berkait rapat dengan sistem pembetungan di rumah mereka.

"Namun, kos pemasangan tangki septik individu yang agak mahal antara RM2,000 hingga RM3,000 mungkin menjadi faktor utama mengapa masih ramai yang kekal dengan sistem palong itu," katanya.

Tambahnya, kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan kampung dan pedalaman masih memilih sistem palong sebagai sistem pembetungan kumbahan kerana ada antara mereka yang menjadikan air perigi sebagai sumber air utama untuk kegunaan harian.

"Kita akan terus menjalankan pelbagai kempen kesedaran kepada orang ramai agar peka dengan sistem pembetungan yang teratur dan bersistematik untuk kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Dalam pada itu katanya, sudah ramai pemilik rumah bertukar kepada penggunaan tangki septik individu apabila mereka sedar mengenai bahaya sistem pembuangan konvensional sedia ada.