Bukit Bintang terletak di daerah Setiu. |
Berkunjung ke kemuncak Bukit Bintang, anda dapat menyaksikan satu pemandangan yang cukup menarik dan anda boleh melihat hampir ke seluruhan daerah Setiu termasuklah kawasan pantai.
Bukit Bintang yang di kelilingi hutan semulajadi itu mempunyai misterinya yang tersendiri, ada di kalangan penuntut ilmu kebatinan bertapa di bukit itu selama beberapa hari untuk mencari ilmu kebatinan selain ada yang melakukan ibadat kepada Allah dengan melakukan wirid dan bersolat.
Di sebalik itu, ada juga cerita-cerita yang menjadi misteri tentang bukit bintang, antaranya ia dikatakan tempat tinggal orang bunian yang berketurunan arab.
Seorang pegamal perubatan tradisional, yang mahu dikenali sebagai Pak Su Rasyid, dari Kampung Alor Serdang, Bintang, berkata dia juga pernah mengalami sendiri ketika memanjat Bukit Bintang yang terletak berhampiran rumahnya itu ialah dia terdengar bunyi riuh-rendah orang yang sedang mandi sedangkan apabila dia melihat kawasan sungai itu tiada sesiapapun yang mandi.
“Ketika itu saya menghantar seorang lelaki yang mahu membuat ibadat dan bersunyi-sunyian di atas bukit itu, ketika dalam perjalanan turun, saya mendengar bunyi beberapa orang sedang mandi sebuah sungai di atas bukit itu, saya mendengar mereka sedang bercakap-cakap dengan mengunakan bahasa yang sama dengan kita bercakap,” katanya.
Pak Su Rasyid berkata, Bukit Bintang sememangnya mempunyai penghuninya tetapi hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh melihatnya malah kehidupan mereka sama seperti kehidupan manusia.
“Mereka dikatakan adalah dari keturunan darah arab, malah mereka juga pergi menunaikan haji di Mekah dan menjalani kehidupan sebagaimana manusia. Saya juga pernah mendengar bacaan ayat suci Al-Quran ketika berada di atas gunung itu,” katanya.
Walaupun apa-apa cerita tentang Bukit Bintang itu, orang ramai yang meminati keindahan alam semulajadi dan aktiviti lasak bolehlah mendaki bukit itu untuk melihat sendiri panorama keindahanya dari atas puncak bukit.