Halaman

10 September 2013

UMT sasar tarik pelajar antarabangsa berkualiti

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyasarkan untuk menarik pelajar antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah proaktif dalam memenuhi kouta lima peratus pelajar luar negara yang dibenarkan belajar di universiti awam negara ini.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo (gambar) berkata, UMT menyasarkan peratusan kemasukan pelajar antarabangsa untuk program peringkat pra siswazah pada sesi pengambilan tahun depan akan meningkat.

“UMT sebenarnya telah mempunyai beberapa pelajar antarabangsa seperti dari Thailand, Morocco, Tunisia serta Indonesia tetapi dalam jumlah yang masih kecil.

"Justeru, kita akan menawarkan beberapa program bersifat antarabangsa untuk menarik pelajar antarabangsa dengan mengutamakan pelajar yang berkualiti. Empat atau lima program telah dikenalpasti untuk dijadikan program antarabangsa di mana mungkin dalam tahun ini atau awal tahun depan kita akan membuat publisiti berkenaannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Ikrar Pelajar sempena Minggu Jalinan Mesra Pelajar Baru Sesi Akademik 2013/2014, di Dewan Sultan Mizan UMT, baru-baru ini.

Katanya, pada masa kini UMT mempunyai sekitar satu peratus pelajar luar negara secara keseluruhan.

Menurut beliau, UMT memang mempunyai pelajar antarabangsa untuk program pasca siswazah iaitu bagi program Master dan Doktor Falsafah (PhD), namun tidak ramai untuk program pra siswazah.

"Kita sememangnya menawarkan program antarabangsa untuk program-program pasca siswazah, malah daripada 700 orang pelajar pasca siswazah ini, 200 daripadanya terdiri daripada pelajar antarabangsa," katanya.

Katanya, pada masa ini tumpuan lebih diberikan kepada pengajian pasca siswazah untuk pelajar-pelajar luar negara tetapi mungkin pada sesi pengambilan akan datang UMT akan menambah bilangan pelajar luar negara bagi program pra siswazah setelah program-program antarabangsa diperkenalkan.