Halaman

08 September 2013

Dedikasi khas untuk wira negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Ekspedisi Julang Jalur Gemilang 2013 Perlis ke Tawau sebagai meraikan ulang tahun Hari Peringatan Pasukan Polis Marin ke-66 pada 1 September lalu apabila Pasukan Polis Marin (PPM) turut menjadi satu kumpulan penting dalam Ops Daulat di Sabah.

Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner, Tuan Azmi Ibrahim, berkata program kali keempat itu juga merupakan dedikasi khas bagi menzahirkan rasa tanda terima kasih kepada wira negara yang berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia dalam peristiwa Lahad Datu dan Semporna di Sabah.

“Program juga dapat menyatakan secara simboliknya bahawa antara Semenjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebenarnya dekat.

 “Pada masa yang sama dapat menyemarakkan semangat patriotik untuk membawa, mengibar dan mengedarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan,” katanya ketika berucap sempena Pelepasan Ekspedisi Julang Jalur Gemilang 2013 Perlis-Tawau 30 Ogos -16 September, di Dataran Shahbandar, semalam.



Turut hadir melancarkan majlis pelepasan, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Manoharan A/L Kanaparty dan Pegawai Pemerintah Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia Chendering, Kapten Prof Zainal Saharudin.

Tuan Azmi berkata, selain sebagai mengingati sumbangan wira negara yang terkorban, ia juga dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50, selain menyuntik `Malaysia Boleh’ menerusi penganjuran ekspedisi menyusuri pantai seluruh Malaysia.

Untuk rekod, ekspedisi kali keempat sempena bulan kemerdekaan dan sambutan jubli emas Penubuhan Persekutuan Malaysia bermula 30 Ogos dari Langkawi dan berakhir di Tawau Sabah, pada 15 September ini dengan merentasi beberapa perhentian di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.