Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) menubuhkan Team Pembangunan Belia Terengganu (TPBT) untuk memperkasakan golongan belia di negeri ini.
Pengerusi MBNT, Encik Zaidi Muda berkata, team ini akan dibarisi 10 orang jawatankuasa terdiri daripada golongan professional, usahawan, akademik yang mewakili badan-badan gabungan MBNT di negeri ini.
“Jawatankuasa akan duduk semeja berbincang serta membuat kajiselidik mengenai apa sebenarnya yang dikehendaki generai Y untuk pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di majlis Hari Raya MBNT di Perkarangan Wisma Seri Amar, Kuala Terengganu.
Katanya, pihaknya memandang serius mengenai kecenderungan golongan muda kebelakangan ini yang memprotes dalam senyap atau secara terangan menidakkan program kerajaan membangunkan golongan belia.
Menurutnya, contoh terdekat yang boleh dilihat dalam keputusan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) lalu apabila ramai golongan muda tidak memihak kepada kerajaan memerintah.
“Kita yakin team yang kita bentuk ini akan dapat mencari formula bagaimana meyakinkan golongan muda mengenai kesungguhan kerajaan memberi yang terbaik kepada mereka sebagai pewaris kepimpinan akan datang,” katanya.
Tambahnya, kita tidak mahu anak muda kehilangan fokus serta menidakkan sejarah kemerdekaan negara dan melupakan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu ketika mempertahankan keamanan negara.
“Hasil kajian ini nanti akan di bawa kepada Menteri Besar pada November depan untuk langkah seterusnya bagi mengatur stretagi memperkasakan golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu MBNT juga mengharapkan sokongan kerajaan terutama dari segi kewangan untuk mengatur pelbagai kursus dalam usaha meningkatkan pengetahuan belia dalam aspek kepimpinan.