Halaman

14 September 2013

Adnan gembira dapat bantu penduduk.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

   
Adnan ketika berucap di mesyuarat JKKK kampungnya.
SEKALIPUN sibuk dengan tugasnya sebagai wartawan sebuah akhbar tetapi Adnan Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Kamajuan Kampung (JKKK) Kampung Fikri Bawah, Setiu tetap menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi JKKK dengan penuh amanah dan jujur bagi mempastikan nasib penduduk di kampungnya terus terbela.

Memikul tugas itu sejak tiga penggal lalu, Adnan yang mesra dengan penduduk kampungnya itu mempunyai hubungan rapat bukan sahaja dengan saudara maranya yang ramai di kampung itu malah seluruh golongan penduduk termasuklah dewasa dan remaja.

“Saya berterima kasih kepada penduduk di kampung ini kerana masih lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan pengerusi JKKK ini . Saya akan meneruskan khidmat saya dengan baik, jujur dan ikhlas selagi diperlukan, Insya Allah,” katanya.

Adnan yang ditemui selepas mesyuarat JKKK kampungnya, semalam, berkata sejak memegang jawatan ‘penghulu’ kampungnya itu, dia berjaya menyelesaikan beberapa masalah penduduk terutamanya untuk mendapatkan bantuan mengubahsuai rumah dan mendapatkan rumah PPRT untuk penduduk serta pelbagai bantuan lain yang disediakan kerajaan.

“Saya agak tidak sukar untuk bekerja kerana penduduk kampung ini tidaklah ramai sebagaimana kampung-kampung lain iaitu sekitar 500 orang, lagipun pembangkang tidak juga ramai. Kami semua bagaikan satu keluarga dan ini memudahkan kerja saya untuk membantu mereka,” katanya.

Adnan (kanan) rapat dengan penduduk kampungnya.
Adnan berkata, antara aktiviti yang diadakan pada tahun lalu di cawangannya ialah gotong royong membersihkan kawasan kampung, menganjurkan liga bola sepak, mengadakan aktiviti membakar ikan untuk golongan pemuda dan sambutan Maulud Nabi.

“Sebagai pengerusi JKKK, saya juga akan meneruskan usaha saya untuk menyelesaikan beberapa permohonan penduduk yang lain antaranya ialah mendalamkan Sungai Setiu bagi memudahkan laluan bot dan mendapatkan lot tanah untuk golongan muda yang sudah berkeluarga, Insya Allah ia akan dapat di selesaikan,” katanya
.