Halaman

08 September 2013

RM250,000 hadiah buat warga Kuala Berang

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi membina gerai buah-buahan baru di Bandar Kuala Berang yang merupakan satu lagi hadiah projek pembangunan yang mampu merancakkan ekonomi dan menambahbaikan kemudahan untuk orang ramai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan berita baik tersebut ketika merasmikan Pelancaran Orang Kuala Berang (OKB), Sambutan Aidilfitri dan Sambutan Kemerdekaan DUN Kuala Berang baru-baru ini.

Peruntukan tersebut merupakan hadiah kepada OKB kerana membuat pilihan tepat pada PRU13 dengan memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal di kerusi tersebut sebagaimana di DUN Telemong dan juga Ajil.

Ahlli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang , Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dalam ucapan di majlis itu berkata, OKB adalah penjenamaan semula Kuala Berang.

OKB adalah satu ungkapan mesra bagi Orang Kuala Berang bagi mewujudkan perhubungan mesra terutama komuniti DUN Kuala Berang serta merapatkan hubungan di semua peringkat umur.

 “Uniknya Kita...Selamat, Selesa dan Mesra merupakan slogan OKB. Ianya dipilih kerana melalui slogan ini pembangunan Kuala Berang akan dibangunkan dalam pelbagai aspek yang merangkumi semua bidang termasuk pembangunan insan.

 “Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan untuk menjayakan OKB termasuklah pertandingan kebersihan kampung-kampung dalam DUN Kuala Berang,” katanya.