Halaman

09 September 2013

120 peserta iringi Mohd Noor jayakan misi Walk4Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh


Seramai 120 peserta terdiri daripada wakil pelbagai agensi akan mengiringi Mohd Noor Mat, 47, yang akan berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya dalam usaha merealisasikan Program Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) menjadi kenyataan.

Sebagai menterjemahkan sokongan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Besar selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13), program yang dianjurkan kerajaan negeri itu akan melibatkan 120 peserta lain masing-masing 40 daripada Majlis Belia Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (40) dan para sukarelawan (40).



Pengerusi Induk Walk4Malaysia, Haji Roshali Taha berkata, program yang diilhamkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang bertemakan keamanan, kemajuan dan kestabilan membuktikan tiada apa yang mustahil dapat dilakukan di bumi bertuah Malaysia bawah pimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Program Walk4Malaysia akan disahut Mohd Noor Mat yang merupakan kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Besut dalam memenuhi cetusan hasratnya sebagai tanda kesyukuran selepas kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai lalu.

“Ia turut diiringi 120 peserta yang akan berjalan kaki bersama beliau secara bergilir-gilir,”ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media Program Walk4Malaysia di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Haji Roshali, Walk4Malaysia antara lainnya mahu mempromosikan kejayaan kerajaan yang ada pada hari ini membina iklim politik yang stabil dan aman selain membudayakan amalan cara hidup sihat di kalangan penduduk Malaysia serta memupuk semangat cintakan negara.

Katanya, sekiranya program tersebut berjaya mencapai matlamat, ia mungkin akan dijadikan sebagai acara tahunan atau dwi tahunan untuk Negeri Terengganu.

"Peserta Walk4Malysia yang akan melalui perjalanan selama 13 hari sejauh 600 kilometer itu dijangka bermula 22 September ini di dataran Kuala Besut, Besut dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober.

"Dalam perjalanan ke Putrajaya, peserta akan singgah di lima lokasi iaitu Merang di daerah Setiu, Batu Buruk (Kuala Terengganu), Merchang (Marang), Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman), “ ujarnya.

Difahamkan, majlis pelancaran Walk4Malaysia akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bertempat di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 13 September ini.