Halaman

08 September 2013

Mahasiswa UIAM diminta dekat dengan komuniti

Oleh; Esah Abdullah

Perkukuhkan ikatan silatulrahim ini sekuat mungkin dan kekalkan semangat ukhwah kalangan masyarakat setempat agar terus berpanjangan serta tidak terputus separuh jalan.

Harapan berkenaan disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Rakit, Haji Bazlan Abdul Rahman kepada 64 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak, Selangor yang mengikuti program Mahabbah In Terengganu 2013 (MIT ‘13) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

MIT ’13 yang membawa maksud kasih sayang di Terengganu itu merupakan kesinambungan program pertama pada tahun sebelumnya sekali gus mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT).

“Mahasiswa perlu sentiasa dekat dengan ahli komuniti dan tidak rugi jika kita mengekalkan hubungan dengan keluarga angkat yang telah memberikan layanan kelas pertama kepada mahasiswa sepanjang berkampung di sini,” katanya di majlis Penutup MIT ’13 di Dewan Futsal Bukit Wan, semalam.

Hadir sama, Pensyarah UIAM, Encik Yusni Yusof; Pengarah Program Encik Muhammad Hafiz Jailani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail.

Sementara itu pengarah program, Encik Muhammad Hafiz berkata program selama selama enam hari itu berakhir dengan jayanya serta mencatat seribu satu kenangan yang sukar dilupakan.

“Program ini membuktikan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mempunyai peranan penting membantu membangunkan komuniti setempat,” katanya.