Halaman
14 September 2013
Doktor pakar turun padang bantu pesakit di daerah Besut
Wan Shariman (tengah) bersama Idris dan Dr Zaki
Oleh:Mohammad Ishak
Penderitaan seorang pemuda,Wan Shariman Wan Salleh,36, dari Kampung Kubang Bemban, dekat sini,yang menderita sakit tulang lutut sejak dua tahun lalu mendapat perhatian sekumpulan doktor pakar yang datang melawat di rumah beliau pagi semalam.
Wan Shahriman bekas tenaga pengajar sebuah pusat komputer yang sakit tulang lutut selepas terjatuh ketika bermain futsal Februari tahun lalu tidak dapat berjalan sebaliknya mampu bergerak secara mengesok di dalam rumah.
Kehadiran sekumpulan doctor pakar yang sedang mengadakan program turun padang anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di rumahnya mengembirakan beliau dan terubat apabila pihak terbabit sanggup datang ke rumah.
Kehadiran rombongan yang turut disertai Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut,Pengerusi MPN, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zaki Abdul Hamid dan Pakar Ortopedik,Dr Ahmad Tajudin dari Hospital Sultanan Nur Zahirah (HSNZ),Kuala Terengganu, disambut ahli keluarganya.
Wan Shariman sebelum ini pernah mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,Kelantan, akan dipindah ke HSNZ di bawah pengawasan Dr Ahmad Tajudin.
Dr Ahmad Tajudin berkata, pesakit terbabit akan dirujuk ke HSNZ bagi membolehkan pemeriksaan lanjut tehadap masalah yang dihadapi pesakit berkenaan.
Program turun padang membabitkan pelbagai doktor pakar berada dua hari di sekitar daerah Besut dan mengadakan sesi pertemuan secara langsung dengan pesakit di beberapa kampung terpilih.
Seramai 50 petugas termasuk jururawat menyertai program berkenaan bertujuan mendekati masyarakat selain mendidik orang ramai menjaga kesihatan.
Idris ketika ditemui berkata, program komuniuti antara MPN dengan penduduk satu usaha baik dan patut diteruskan kerana doktor pakar akan berkunjung ke rumah pesakit dan membuat pemeriksaan awal.
“Selepas diperiksa pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan diminta datang ke Hospital Paker Kerajaan untuk mendapat khidmat rawatan selanjutnya,” katanya.