Halaman

14 September 2013

Hari Keluarga Banyak Manfaat...PPD Setiu

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Kipayatuallah ketika berucap merasmikan hari keluarga MGBDS.
SETIU: Sambutan hari keluarga banyak memberi faedah kepada masyarakat untuk memupuk hubungan persaudaraan antara satu sama lain dan membina insan yang kamil terutamanya bagi kanak-kanak yang menyertainya bersama ibubapa, kata Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, Kipayatuallah Dato’ Mohd Said. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Majlis Guru Besar Daerah Setiu (MGBDS) yang diadakan di Tapak Perkhemahan Sekolah Kebangsaan Merbau Menyusut, Langkap, di sini, hari ini.

Cenderahati kepada setiap guru besar yang hadir.
Sebahagian keluarga yang hadir.
Menurutnya, kanak-kanak dan ibu-bapa yang menyertai hari keluarga itu dapat belajar melalui banyak perkara seperti sikap bantu membantu antara satu sama lain sebagaimana dalam beberapa acara pertandingan manakala anak-anak pula akan melihat apa yang dilakukan ibubapa mereka dan akan belajar daripadanya.

“Anak-anak kita ini mereka bukan sahaja mendapat didikan di sekolah secara formal tetapi melalui hari keluarga ini, mereka dapat belajar sesuatu termasuklah ukhwah Islamiah dan persaudaraan itu sangat penting yang mereka boleh perolehi dari hari keluarga ini.

“Kalau di sekolah anak-anak ini akan belajar melalui guru tetapi hari keluarga ini mereka belajar mengikut ibubapa secara tidak formal, mereka akan amanah melalui majlis-majlis yang diadakan sebagaimana sambutan hari keluarga pada hari ini di mana sesiapa yang menang dalam setiap pertandingan akan mendapat hadiah,” katanya.

Dalam pada itu, Kifatuallah meminta agar semua warga pendidik dan ibubapa menghayati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia kerana ia banyak memberi manfaat kepada mereka terutamanya dalam pembentukan akhlak kanak-kanak untuk menjadi manusia berguna suatu hari ini.

Antara acara sukaneka yang diadakan.
Sebahagian guru besar bergambar kenangan bersama Kipayatuallah (3 dari kanan)
Sementara itu, beberapa acara diadakan sempena sambutan hari keluarga itu antaranya ialah pemberian cenderahati kepada semua guru besar yang hadir dan beberapa acara sukaneka antaranya termasuklah boling kelapa dan sepak bola.


OUM beroperasi di Bukit Tunggal

Pusat Pembelajaran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Terengganu kini beroperasi di bangunan sendiri dalam suasana lebih kondusif di Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, selepas ditempatkan di beberapa di premis yang disewa sejak tujuh tahun lalu.

 Mula beroperasi sejak 1 Ogos lalu, bangunan yang dibina dengan kos sekitar RM7 juta itu dilengkapi 26 bilik kuliah dan tutorial serta ruang legar dan pejabat yang lebih luas dan selesa di samping kemudahan surau.
OUM bertapak di negeri ini sejak 2004 bermula di bangunan hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang kini dijadikan Kampus Kota Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sebelum menyewa di dua lokasi berasingan pada 2006.

Menurut Timbalan Pengarahnya, Hanafi Mamat, OUM kemudiannya menyewa ruang pejabat dan kuliah pada hujung minggu di premis Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Terengganu dan Institut Pendidikan Guru Dato' Razali Ismail di sini.

 "Bangunan baharu ini akan memberi impak besar kepada gerak kerja kami dan paling penting memberi keselesaan kepada pelajar dan tenaga pengajar.

 "Ketika ini, kami mempunyai kira-kira 1,150 pelajar pengajian jarak jauh (PJJ) dan separuh masa serta 185 tenaga pengajar yang sebahagian besarnya adalah pensyarah sambilan meliputi peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana," katanya

 Dalam pada itu, beliau berharap kewujudan OUM di sini dengan peluang yang disediakan lebih disedari ramai orang dan mencambahkan minat mereka menyambung pelajaran secara PJJ dan separuh masa.

Apatah lagi, katanya, institusi itu juga telah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tahun lalu yang memberi jaminan kualiti pendidikan yang ditawarkan.

 



Adnan gembira dapat bantu penduduk.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

   
Adnan ketika berucap di mesyuarat JKKK kampungnya.
SEKALIPUN sibuk dengan tugasnya sebagai wartawan sebuah akhbar tetapi Adnan Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Kamajuan Kampung (JKKK) Kampung Fikri Bawah, Setiu tetap menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi JKKK dengan penuh amanah dan jujur bagi mempastikan nasib penduduk di kampungnya terus terbela.

Memikul tugas itu sejak tiga penggal lalu, Adnan yang mesra dengan penduduk kampungnya itu mempunyai hubungan rapat bukan sahaja dengan saudara maranya yang ramai di kampung itu malah seluruh golongan penduduk termasuklah dewasa dan remaja.

“Saya berterima kasih kepada penduduk di kampung ini kerana masih lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan pengerusi JKKK ini . Saya akan meneruskan khidmat saya dengan baik, jujur dan ikhlas selagi diperlukan, Insya Allah,” katanya.

Adnan yang ditemui selepas mesyuarat JKKK kampungnya, semalam, berkata sejak memegang jawatan ‘penghulu’ kampungnya itu, dia berjaya menyelesaikan beberapa masalah penduduk terutamanya untuk mendapatkan bantuan mengubahsuai rumah dan mendapatkan rumah PPRT untuk penduduk serta pelbagai bantuan lain yang disediakan kerajaan.

“Saya agak tidak sukar untuk bekerja kerana penduduk kampung ini tidaklah ramai sebagaimana kampung-kampung lain iaitu sekitar 500 orang, lagipun pembangkang tidak juga ramai. Kami semua bagaikan satu keluarga dan ini memudahkan kerja saya untuk membantu mereka,” katanya.

Adnan (kanan) rapat dengan penduduk kampungnya.
Adnan berkata, antara aktiviti yang diadakan pada tahun lalu di cawangannya ialah gotong royong membersihkan kawasan kampung, menganjurkan liga bola sepak, mengadakan aktiviti membakar ikan untuk golongan pemuda dan sambutan Maulud Nabi.

“Sebagai pengerusi JKKK, saya juga akan meneruskan usaha saya untuk menyelesaikan beberapa permohonan penduduk yang lain antaranya ialah mendalamkan Sungai Setiu bagi memudahkan laluan bot dan mendapatkan lot tanah untuk golongan muda yang sudah berkeluarga, Insya Allah ia akan dapat di selesaikan,” katanya
.

13 September 2013

Dua Cawangan Mesyuarat Serentak

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Zaimi berucap merasmikan mesyuarat UMNO
SETIU:  Mesyuarat Cawangan UMNO Kampung Fikri Atas (KFA) dan Kampung Fikri Bawah (KFB) mengadakan mesyuarat cawangan serentak masing-masing, hari ini menjadi mesyuarat cawangan UMNO itu adalah yang pertama di daerah ini menjalankan dua mesyuarat serentak.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiu, Mohd Zaimi Ghaffar yang mewakili Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, merasmikan mesyuarat itu mahu ahli kedua-dua cawangan itu bertanding secara baik sekiranya ada pertandingan.

“Kita ini di Setiu agak unit dua cawangan bersidang serentak. Ini lah budaya kita budaya Kampung Fikri dua cawangan atas dan bawah mengadakan mesyuarat serentak, tidak ada di cawangan-cawangan di Dun lain tidak ada cawangan di Bahagian lain seperti kita. 

“Sekiranya tuan puan ingin menawarkan diri untuk bertanding, bertandinglah dengan cara yang baik tetapi lihatlah diri kita adakah wajar untuk bertanding, adakah mampu kita memegang jawatan tersebut. “ Sekiranya mahu bertanding biarlah berlaku peralihan.

 Bagi saya kalau boleh biar jangan ada pertandingan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat kali ke 25 cawangan kampung itu di Dewan Komuniti Kampung Fikri, di sini.

Sebahagian ahli yang hadir mesyuarat.
Sementara itu, wartawan Utusan Malaysia Setiu, Adnan Mohammad dilantik semula tanpa bertanding sebagai Ketua Cawangan KFB dan beberapa jawatan lain masih disandang penyandang lama jawatan masing-masing.

Ketua Wanita KFB, Rahimah Ngah. Ketua Pemuda KFB, Che Adnan Che Ahmad manakala Ketua Cawangan KFA pula ialah Che Wahad Ahmad dan Ketua Pergerakan Wanita KFA, Rahimah Ngah.


Kerajaan negeri sedia bantu anak tempatan cipta nama

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar: Harish Fadzillah



Kerajaan negeri sedia memberi pelbagai bantuan kepada anak Terengganu yang mahu mencipta nama dalam pelbagai bidang mencapai impian mereka, bagi mengharumkan nama negeri ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kesediaan kerajaan negeri berbuat demikian dan memberi peluang yang luas kepada mereka untuk bergiat cergas di bidang sukan membolehkan Terengganu muncul sebagai kuasa sukan di negara ini.

 “Saya harap lebih ramai lagi selepas ini rakyat Terengganu yang mejejak langkah Mohd Noor Mat yang mahu mencipta nama berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya bagi mencipta nama dan menaikkan nama Terengganu,” katanya kepada sidang media selepas pelancaran misi “Walk For Malaysia” (Walk4Malaysia) di Putrajaya hari ini.

 Mohd. Nor seorang pekerja rendah am di Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut, akan menunaikan impiannya berjalan kaki sejauh lebih 600 kilometer dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Semangat kental dan kecintaan terhadap BN yang menebal menyebabkan Mohd Noor, sanggup berjalan kaki dan akan meneruskan niatnya itu hingga tercapai bagi membuktikan beliau bukan bercakap kosong. 

Menteri Besar selaku Pengerusi BN Negeri telah memberi komitmen menyokong dan akan membantu menjayakan misi tersebut.

 Pada masa ini Mohd.Nor telah memulakan latihan dengan tumpuan di kawasan pantai bagi menjayakan misi berkenaan.



 Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib yang memberi komintmen yang tinggi bagi menjayakan misi tersebut.









PM kagum semangat juang rakyat Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar: Harish Fadzillah

 Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak kagum dengan semangat juang dan cintakan keamanan yang ditunjukkan oleh rakyat Terengganu, khususnya, Mohd Noor Mat, yang bersemangat bagi menjayakan misi “Walk For Malaysia” (Walk4Malaysia).

“Program ini mencerminkan semangat juang yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia yang juga cintakan keamanan,” katanya dalam teks ucapan ketika melancarkan Program Walk4Malaysia di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

 Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
 



Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

 Perdana Menteri berkata, program Walk4Malaysia yang diinisiatifkan Kerajaan Terengganu ini patut dicontohi bagi menunjukkan semangata cintakan Negara dan kerajaan sedia ada.

“Program berjalan kaki seperti ini juga patut digalakkan di tempat kerja bagi menjadikan budaya sihat di kalangan rakyat,” ujar beliau.



 Pada majlis itu, YB Khary Jamaluddin bagi pihak Perdana Menteri menyerahkan Jalur Gemilang kepada Mohd Noor sebagai gimik pelancaran bagi memulakan misi tersebut mulai 22 September hingga 4 Oktober. 

Mohd Noor yang turut diiringi pejalan kaki lain akan bertolak dari Dataran Kuala Besut dan berjalan kaki ke Putrajaya bagi menunaikan nazarnya untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya kecil Kuala Besut, baru-baru ini.

 Beliau pernah berjalan sejauh 380 kilometer dalam masa empat hari dari Kemaman ke Besut pada tahun 2008.






Tesdec latih 1,200 orang dalam bidang pemakanan

Oleh; Esah Abdullah 

Hanya mereka yang memiliki sijil Latihan Pengendali Makanan (LPM) sahaja akan dibenarkan untuk mengusaha kedai makan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec), Haji Che Razali Adis berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius perkara itu kerana banyak kes membabitkan mereka yang tidak mengambil berat penjagaan kebersihan.

“Tesdec telah dilantik sebagai Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) oleh KKM sejak 2007 dan satu-satunya SLPM milik kerajaan negeri,” katanya.

Sehingga ini katanya, kira-kira 1,200 orang peserta telah berjaya menjalani kursus berkenaan yang diberikan secara percuma di Tesdec melalui 14 siri kursus setahun.

“Pemiliki sijil KLPM diiktiraf di seluruh negara dan tanpanya mereka tidak dibenarkan untuk membuka kedai makan atau berkaitan dengannya,” katanya.

Beliau kemudiannya mempelawa orang ramai yang berminat untuk mengikuti kursus pengendali makanan di Tesdec sekali gus membuka peluang mereka meceburkan diri dalam bidang pengusaha makanan dan sebagainya.
 

JPNV tubuh rumah penyayang

Oleh: Suriati Ali 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (JPNV) akan menubuhkan Rumah Penyayang bagi menempatkan kucing terbiar di sekitar Dungun, dalam usaha melahirkan rasa sayang kepada haiwan terutama kucing dalam kalangan masyarakat

 Selain itu, jabatan itu juga akan membuat lawatan ke semua sekolah tadika bagi memberi pendedahan kepada anak-anak kecil supaya menyayangi haiwan berkenaan di usia yang muda.

Ketua Bahagian Regulatari Veterinar, Dr Mohd Hisham Fariz Mohd Amin berkata Rumah Penyayang yang bakal dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Daerah Dungun itu dijangka dapat menempatkan 200 ekor kucing terbiar.

"Kami akan menempatkan beberapa orang pegawai veterinar untuk berkhidmat dirumah ini dan menjaga kucing terbiar samaada yang dihantar oleh orang awam mahupun diambil oleh pegawai kami sendiri.

 "Selain penjagaan makan, pegwai kami juga akan membuat pemeriksaan menyeluruh kepada kucing yang tinggal di rumah ini termasuklah tahap kesihatan, penjagaan, dan juga rekod kucing berkenaan.

 "Malah sesiapa yang berminat untuk membela kucing bolehlah mendapatkannya di rumah berkenaan yang akan diambil secara angkat,"katanya selepas Majlis penyampaian hadiah `Cintai Haiwan Kesayangan' anjuran Jabatan Veterinar Terengganu di Taman Makmur, Sungai Kerak, Marang.

 Beliau berkata, jabatan berkenaan juga berhasrat mewujudkan Rumah Penyayang itu di seluruh negeri Terengganu sekiranya mendapat sambutan baik daripada semua masyarakat.

 Sementara itu, Hisham berkata jabatan berkenaan juga akan melawat seluruh Tadika di negeri ini bagi memberi motivasi kepada kanak-kanak supaya mereka lebih menyayangi haiwan seperti kucing.

 "Buat masa ini kami sedang mendapatkan kelulusan daripada jabatan yang bertanggungjawab terhadap Tabika dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak yang lain untuk meneruskan usaha kami ini.

 "Kami berharap dengan adanya usaha ini secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah gelandangan kucing yang ada di seluruh negeri ini,"katanya.



SKPJ jangka 10 murid dapat 5A

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

TEKUN..sebahagian murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Putera Jaya (SKPJ), Setiu tekun menjawab soalan peperiksaan UPSR di hari terakhir peperiksaan itu, di dewan SKPJ, semalam.

Guru Besarnya, Zainudin Dollah, berkata sekurang-kurangnya 10 murid dijangkakan akan mendapat keputusan 5A daripada 66 calon yang mengambil ujian itu.

“Selepas tiga hari menduduki peperiksaan itu, kebanyakan murid-murid berpuashati dengan jawapan yang mereka berikan dan kita menjangkakan 10 murid atau lebih akan mendapat keputusan 5A tahun ini,” katanya.

Seorang ibu menerima duit Kwapm anaknya.
Sementara itu, semalam juga, seramai empat murid tahun satu sekolah itu menerima duit E-Kasih dan 15 orang menerima duit Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (Kwapm) yang diagihkan kepada ibu bapa masing-masing di sekolah itu.

Seorang bapa, Nordin Chik berkata, beliau terterima kasih kepada kerajaan kerana menubuhkan kumpulan wang itu kerana ia banyak membantu golongan berpendapatan rendah meringankan beban untuk menanggung persekolahan anak-anak.

Duit E-Kasih dan Kwapm banyak membantu anak-anak yang ibu bapa mereka kurang berkemampuan. Bantuan tahunan itu sebanyak RM450 dan RM200 itu dapat membeli pelbagai keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.

 

12 September 2013

Gunung Tebu berpotensi jadi pusat penyelidikan dan eko-pelancongan negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Kawasan berhutan di Gunung Tebu dilihat amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi penyelidikan, rekreasi dan eko-pelancongan terkenal di negara ini

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), (Dasar dan Perancangan) Dato’ Masran Md Salleh, berkata pemilihan gunung itu sebagai tempat ekspedisi saintifik pada tahun lalu bertujuan untuk mengeksplorasi segala keunikan dan keistimewaan kepelbagaian biologi yang masih tersimpan di kawasan itu.

“Lebih-lebih lagi, gunung ini merangkumi hutan berbeza iaitu bermula dengan jenis dipterokarp pamah hinggalah ke hutan pergunungan di puncaknya yang semestinya memberikan gambaran sebuah hutan yang cukup unik dan menarik untuk diterokai.

 “Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian yang juga dapat dilihat dari puncak Gunung Tebu,” katanya dalam kenyataan akhbar sempena Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin. Pada 8 hingga 13 Julai 2012, JPSM memilih Gunung Tebu sebagai lokasi Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu.

Manakala seminar kali ini pula bertujuan membincangkan penemuan yang diterokai dalam ekpedisi berkenaan berkaitan kepelbagaian, keunikan dan keistimewaan khazanah flora dan fauna di kawasan persekitaran gunung itu.

Katanya, sebanyak 29 kertas kerja dalam pelbagai bidang kajian merangkumi bidang pengurusan hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna serta persekitaran fizikal dibentangkan dalam seminar itu.

Beliau berkata,seminar itu merupakan siri ekspedisi ke-22 anjuran JPSM sejak 199 dan ketiga di Terengganu selepas meneroka kepelbagaian khazanah hutan di Hutan Simpan Gunung Mandi Angin dan Hutan Rimba Bukit Bauk dalam siri seminar ekspedisi yang lalu.