Halaman

08 October 2013

Kerajaan negeri komited perkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri komited memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar demi memastikan anak Terengganu yang berjaya ke universiti boleh berbahasa Inggeris dengan lancar sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu, YB Ghazali Taib berkata, memandangkan strategi yang telah dilaksanakan supaya rakyat Terengganu tidak buta teknologi maklumat (IT) telah menampakkan hasil, kerajaan negeri kini merangka strategi untuk memastikan anak Terengganu boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Keputusan kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris (BI) sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu langkah yang wajar.

“Kerajaan negeri akan memastikan pelajar yang sampai ke peringkat (SPM) boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan merangka beberapa program yang boleh membantu mereka memantapkan penguasaan bahasa masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Dialog Bersama Exco Pendidikan Kedah dan Exco Pendidikan Terengganu di Riyaz Heritage.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Dato’ Haji Tajul Urus Mat Zain serta Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik.

Menurut YB Ghazali, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Yayasan Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan anak Terengganu.

Katanya, untuk merealisasikan hasrat menjadikan pelajar Terengganu lancar berbahasa Inggeris semua pihak harus membudayakan perkara tersebut.

“Sebagai contoh, pegawai di Jabatan Pelajaran, Yayasan Terengganu serta guru-guru perlu menguasai bahasa Inggeris dan membudayakan dahulu penggunaan bahasa ini di kalangan mereka supaya menjadi ikutan kepada para pelajar,” ujarnya.

Katanya, khidmat Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) daripada Amerika Syarikat yang ditempatkan di beberapa sekolah terpilih di Terengganu secara tidak langsung turut membantu melancarkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

“Ia sedikit sebanyak berjaya mengubah budaya pelajar daripada takut berinteraksi dalam bahasa Inggeris kepada lebih berani,” ujarnya.

Tambah beliau, khidmat ETA akan diteruskan di Terengganu dengan membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa supaya dapat membantu lebih ramai pelajar yang dapat menguasai bahasa kedua ini dengan baik.

 

JKKK Gong Gucul terpilih sertai Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan.



















Penduduk Kampung Gong Gucil Jertih menyambut pegawai Inspektorat Anugerah Ilham Desa


Oleh: Mohammad Ishak 

Semangat kerjasama dan sokongan komuniti setempat membuahkan hasil kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatanj Kampung (JKKK) Gong Gucil, dekat Jertih, apabila dipilih mewakili negeri ini ke pertandingan merebut Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2013.

Penyertaan itu adalah kali kedua oleh JKKK terbabit yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Pengerusinya, Zahari Mat Din berkata, JKKK terbabit pernah memenangi tempat kedua bagi anugerah sama pada 2009 menyebabkan mereka bersemangat untuk menyertai sekali lagi sekali gus meletakkan sasaran ingin menjadi johan peringkat kebangsaan.

Katanya, sebelum ini pada 2008 kampung berkenaan muncul johan Anugerah Ilham Desa Peringkat Zon Timur dan tahun lalu mendapat tempat kedua peringkat kebangsaan.

Menurutnya, pada 2009 JKKK kampung itu memberi fokus kepada kegiatan berbentuk kebudayaan Sangkar Budaya,manakala tahun ini jawatankuasa mengetengahkan projek tanaman berkelompok.

Zahari berkata, menerusi projek berasaskan pertanian itu pihaknya mendapat kerjaasama Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (KETARA) yang membantu petani meningkatkan hasil pertanian negara.

Semalam, JKKK berkenaan dilawati kumpulan Inspekttorat Anugerah Ilham Desa kementerian berkenaan untuk menilai aktiviti yang dijalankan oleh penduduk kampung terbabit.

YB Khairy sangkal dakwaan salah guna jentera kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin menyangkal tuduhan pencabarnya Syed Rosli Syed Harman Jamallulail yang mendakwa beliau menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen bagi pemilihan Umno, tidak lama lagi.

Beliau berkata, tuduhan itu menunjukkan Syed Rosli tidak faham bahawa Pemuda Umno dan belia tidak boleh berpisah kerana ramai di kalangan anggota-anggota persatuan belia juga adalah anggota Pemuda Umno.

“Pemuda Umno dan belia tidak dapat dipisahkan, malah ramai di kalangan Pemuda Umno juga merupakan ahli persatuan belia.

“ Jadi apabila saya turun sebagai menteri, saya juga mahu jumpa dengan pemimpin2 muda, belia yang mana juga terdiri dari pemuda-pemuda Umno," katanya, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau mengaadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin belia yangf juga terdiri dari ahli Pemuda Umno dan perwakilan.

 “Kalau itulah bahan untuk kempen saya rasa dia kena cari bahan lainlah. Cakaplah pasal kebaikan diri dia, rekod kepimpinan , mungkin dia tiada rekod kepimpinanlah, sebab itulah dia terpaksa cakap benda macam ini, sebab itu bagi saya buang masalah sahajalah hendak layan orang macam ini,” katanya.

YB Khairy berkata, Syed Rosli sepatutnya menggunakan bahan lain untuk berkempen seperti kebaikan dan rekod kepimpinan yang pernah beliau lakukan tanpa perlu memburukkan calon lain.

 “Ramai di kalangan perwakilan juga terdiri di kalangan belia. Nak kata saya kempen atas pentas kerajaan itu tidak betul kerana kita panggil untuk jumpa dengan pemimpin muda, tetapi oleh kerana isu semasa adalah pemilihan, jadi saya terangkanlah soal pemilihan, apa tanggungjawab kita, tanggungjawab perwakilan, jadi saya nampak beliau tidak faham sangat konsep belia dengan pemuda ini,” katanya.


 

Dapatkan sijil kesihatan viterinar sebelum sembelihan korban

Oleh; Esah Abdullah 

Orang ramai yang ingin membuat penyembelihan ternakan korban sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi diminta membuat permohonan awal bagi mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar.
Dr Marzuki


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Viterinar (JPV) negeri, Dr Marzuki Zakaria berkata, setiap ternakan yang ingin dikorbankan sama ada lembu atau kambing perlu mendapat sijil tersebut di JPV daerah atau negeri selain syarat-syarat korban lain.

“Perkara ini perlu dipandang serius kerana kita masih belum menerima sebarang permohonan lagi walaupun tempohnya semakin dekat tibanya hari raya dan sebaik-baiknya permohonan awal digalakkan bagi memudahkan urusan.

“Kebiasaannya, mereka akan mula membuat permohonan pada saat akhir. Apabila permohonan dibuat, jabatan akan membuat pemeriksaan setiap ternakan korban sebelum Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah dikeluarkan bagi memastikan ternakan yang akan disembelih sihat dan bebas daripada penyakit,” katanya.

Menurutnya, sekiranya ternakan tersebut akan disembelih di masjid, surau, padang awam, balai raya dan rumah persendirian, selain daripada Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah, Permit Penyembelihan Luar juga perlu dipohon oleh pihak pengurusan ternakan korban atau mana-mana individu yang akan menjalankan aktiviti korban sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh penyembelihan korban.

Katanya, pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan terhadap ternakan yang dipelihara di negeri ini dan tahap kesihatan terjamin namun prosedur tersebut perlu dipatuhi supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.

Beliau turut memberi jaminan ternakan lembu untuk keperluan hari raya termasuk dijadikan korban mencukupi namun permit untuk membawa masuk ternakan itu masih dibuka sebagai persediaan jika berlaku kekurangan bekalan.

Katanya, pada tahun lepas kira-kira 2,700 ekor lembu dan 100 ekor kambing dikorbankan sempena Aidiladha di negeri ini.

Sementara itu, pemantauan turut dilakukan di sempadan negeri bagi mencegah kegiatan penyeludupan ternakan itu terutama menjelang hari raya, walaupun tahun lepas tiada tangkapan yang dibuat namun kegiatan seperti ini mungkin berlaku pada saat-saat akhir menjelang hari raya terutama ketika orang ramai mula sibuk membuat pelbagai persiapan.

 

Lima belas pasukan berentap merebut kejuaraan Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-17

Oleh: Aida Abd Rahman

YB A Latif memasukkan keris pesaka kedalam sarung sebagai gimik perasmian
Sebanyak 15 pasukan bakal berentap untuk merebut juara keseluruhan Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-17 Piala YAB Perdana Menteri 2013, bermula semalam

Kejohanan yang berlangsung lima hari itu menyaksikan pertembungan sengit bekas juara empat tahun berturut-turut, Pahang dan tempat ketiga tahun lalu yang disandang pasukan tuan rumah, Terengganu dalam mempertahankan kedudukan masing-masing menerusi dua kategori utama yang dipertandingkan.

Timbalan Pengerusi Pengelola Kejohanan, Datuk Zubir Embong berkata, pertandingan yang diadakan setiap tahun itu bukan sahaja bertujuan untuk mengenal pasti atlet ke kejohanan Sukan SEA 2014 nanti, malah bagi mencungkil bakat baru dalam arena sukan persilatan bahkan menjadi medan buat Persatuan Silat Kebangsaan (Pesaka).

 “Selain 13 kontinjen negeri yang bertanding kejohanan ini turut disertai dua kontijen dari Gayung Fattani dan Gayung Malaysia untuk memeriahkan lagi pertandingan.

 “ Pada kejohanan ini, seramai 500 atlet bakal bersaingan dalam 28 acara iaitu 20 dalam acara silat olahraga lelaki dan wanita manakala lapan lagi menerusi acara silat seni bagi lelaki serta wanita,” katanya di majlis perasmian yang berlangsung di Gerbang Persilatan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.



Turut hadir merasmikan kejohanan, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang.



 Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalan Presiden Pesaka, Datuk Md Suhaimi Md Shah.

Menurutnya, juara kejohanan bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, kedua RM1,500 manakala tempat ketiga RM1,000.

Manakala pengurus pasukan Terengganu, Encik Nashruddin Hamzah berkata, tuan rumah meletakkan sasaran empat pingat emas pada kejohanan ini, masing-masing daripada kategori silat olahraga dan silat seni.
Katanya, sasaran itu dilihat realistik berbanding pencapaian tempat ketiga tahun lalu dan mengharapkan atlet Terengganu mampu melakukan kejutan untuk terus kekal dalam tiga kelompok terbaik kejohanan.

 “Bagi kejohanan kali ini kita menghantar seramai 21 peserta dengan gandingan muka lama dan baru khususnya atlet pelapis bagi projek Sukma 2014 nanti,” katanya.



Beri pendidikan terbaik untuk anak- isteri MB.

Oleh: Aminudin Ismail. 
Gambar Ihsan: Sapavi (Pejabat Kemas Terengganu).

SETIU: Ibubapa perlu meluangkan lebih masa terhadap anak-anak dengan memberi ilmu dan pendidikan yang sempurna kepada mereka sejak kecil lagi supaya apabila meningkat dewasa kanak-kanak itu dapat menjadikan ilmu yang diberi ibubapa sebagai panduan untuk masa depan.

Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Norliza Mahmud, berkata dengan ilmu dan panduan hidup yang diberi ibubapa sekurang-kurangnya ia boleh menghalang anak-anak daripada melakukan perkara yang tidak baik.

“Sebenarnya kanak-kanak ini dilahirkan putih bersih tanpa noda dan dosa, kita sebagai ibubapalah yang akan mencorakannya menjadi manusia yang baik dan sempurna. Mereka ini diberi oleh Allah s.w.t akal dan fikiran serta kebolehan dan keupayaan.

“Seawal tadika ini kanak-kanak harus diberi ruang untuk menentukan kebolehan masing-masing. Kita juga sebagai ibubapa perlu mendidik serta memberi pelajaran yang terbaik kepada anak-anak anugerah Allah ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi KEMAS Terengganu 2013, yang diadakan di Sungai Tarom, di sini, semalam.

Pertandingan bolesepak turut diadakan.
Dalam pada itu, To' Puan Seri Norliza berkata, program Hari Potensi Kemas Terengganu 2013 itu banyak memberi faedah kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mengenengahkan bakat semulajadi mereka dalam bidang-bidang tertentu dan dapat membentuk minda menjadi lebih baik.

Sehubungan itu, beliau berharap KEMAS dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti seumpama itu supaya kanak-kanak sentiasa dapat didedahkan dengan perkara-perkara yang boleh membantu perkembangan minda mereka supaya dapat melahirkan lebih ramai anak-anak yang pintar menjelang 2020.

Beliau mengingatkan warga Kemas supaya terus menyumbang dan bersama-sama berkongsi idea ke arah memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.

Turut hadir pada majlis perasmian penutup program itu ialah Penolong Pengarah operasi (I) KEMAS Terengganu, Zarina Razlan dan isteri wakil-wakil rakyat Parlimen Setiu.

Sementara itu, lebih 500 murid Tadika KEMAS seluruh Terengganu hadir menjayakan program Hari Potensi Kemas peringkat negeri Terengganu itu. pelbagai acara diadakan, antaranya ialah sukan, persembahan, syarahan kanak-kanak dan majlis penyampaian anugerah.



Tiga rumah bertanding Sukan SKKBTD.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Rumah merah ketika acara perbarisan.
JABI: Tidak sebagai mana biasa, empat rumah yang bertanding di kejohanan sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Tok Dor (SKKBTD) mungkin agak berlainan kerana hanya tiga rumah yang bertanding bagi merebut gelaran juara sukan sekolah itu.

Rumah-rumah itu iaitu Rumah Merah, Biru dan Kuning manakala 48 acara sukan, balapan dan sukaneka dipertandingkan membabitkan kira-kira 150 murid.

Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh, berkata keadaan itu agak unikdan jarang berlaku di sekolah lain bagaimanapun dia mengharapkan setiap pasukan bersungguh-sungguh bertanding untuk mencapai kejayaan dalam kejohanan sukan itu.

Katanya, setiap pelajar juga perlu menyeimbangkan antara sukan dan pelajaran supaya mereka tidak ketinggalan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Zulkifly rasmi sukan SKKBTD, Wan Kuntum (kiri)
Menurutnya, beberapa athlet ternama di negara ini yang berjaya mencipta nama dalam bidang sukan tetapi cemerlang dalam pelajaran seharusnya menjadi contoh kepada pelajar yang meminati bidang sukan.

“Kita semua kenal dengan beberapa bekas athlet negara seperti Marina Chin, Rabuan Pit, Zaiton Othman dan lain-lain, mereka ini adalah athlet yang menjadi kebanggan negara tetapi mereka mampu belajar hingga ke peringkat tinggi dan memegang jawatan yang baik.

“Murid-murid semua perlu mencontohi mereka, jika meminati bidang sukan, kita perlu berjaya dalam kedua-dua bidang itu supaya masa depan kita lebih baik. Pelajaran amatlah penting bagi kita kerana pada masa depan seseorang itu perlu mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan jika mahu ke universiti,” katanya.

Sementara itu, Guru Besarnya, Wan Kuntum Wan Abdullah berkata, beliau mengharapkan kejohanan sukan itu akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

"Selain itu, saya juga mengharapkan supaya kejohanan sukan ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain dan dapat melahirkan athlit yang menjadi kebanggaan sekolah suatu hari nanti," katanya melalui buku cenderamata.


07 October 2013

Terengganu sedia kongsi Konsep ‘Ulul Albab’

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri sedia berkongsi kejayaan Konsep 'Ulul Albab' yang diperkenalkan di Terengganu demi memartabatkan bidang pendidikan negara sekali gus melahirkan generasi pewaris yang cemerlang akademik dan sahsiah diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu, YB Ghazali Taib berkata, kerajaan negeri menyambut baik hasrat kerajaan Kedah yang tertarik dengan program tersebut dan mahu dilaksanakan di negeri itu.

“Ia merupakan suatu pengiktirafan kepada negeri Terengganu apabila kerajaan Kedah sudi mencontohi dan mengaplikasikan apa yang telah kita laksanakan.

“Demi membangunkan anak bangsa khususnya dalam aspek pendidikan, kerajaan negeri berbesar hati bekerjasama dengan kerajaan Kedah untuk merealisasikan Konsep 'Ulul Albab' di negeri tersebut menjadi kenyataan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Dialog Bersama Exco Pendidikan Kedah dan Exco Pendidikan Terengganu di Riyaz Heritage, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Dato’ Haji Tajul Urus Mat Zain berkata, apa yang menarik mengenai Konsep ‘Ulul Albab’ ia merupakan suatu kaedah memantapkan lagi pendidikan sedia ada khususnya dari segi peningkatan jati diri contohnya seperti penghafalan al-Quran.

 “Selain meningkatkan ilmu agama dan keintelektualan pelajar, ia turut memprogramkan mereka supaya tidak membuang masa kerana disamping mempelajari kurikulum biasa, masa pelajar akan dipenuhi dengan program-program ‘Ulul Albab’.

Dato’ Haji Tajul Urus berkata, beliau akan meminta Jabatan Pelajaran Kedah mengkaji secara lebih terperinci mengenai perkara tersebut yang turut mendapat sokongan daripada YAB Menteri Besar Kedah.

“Sebagai perintis, kita akan memilih satu sekolah agama rakyat untuk laksanakan program ini dan menyasarkan Konsep ‘Ulul Albab’ terlaksana di negeri Kedah pada tahun 2015.

Katanya, sekiranya program ini boleh berjaya di Terengganu, beliau yakin ianya juga boleh berjaya di kedah.

Konsep 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.

 

Umno Terengganu tampil lapan calon rebut jawatan dalam Umno Pusat

Oleh; Esah Abdullah 

Umno Perhubungan Negeri Terengganu menampilkan lapan calon bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Malaysia dalam pemilihan parti itu pada November depan.

Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pengajian Tinggi dan Pelajaran 11, Dato’ Seri Idris Jusoh menawarkan diri untuk calon MKT.

Dato’ Seri Idris, Ahli Parlimen Besut merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Besut yang menang tidak bertanding dalam percalonan Umno bahagian itu baru-baru ini.

Manakala Dato’ Seri Ahmad Shabery, Ahli Parlimen Kemaman juga diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman.

Dato’ Seri Idris dan Dato’ Ahmad Shabery merupakan penyandang MKT .

Manakala Bendahari Pergerakan Wanita Perhubungan Terengganu yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Marang (menang tidak bertanding) Senator To’ Puan Zaiton Mohd Amin merupakan calon tunggal dari negeri ini untuk merebut jawatan Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

Tiga calon Pemuda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Setiu, YB Iskandar Jaafar; Encik Abdul Aziz Ismail dan Encik Mohd Husaimi Hussin turut menawarkan diri untuk jawatan Exco Pemuda Umno Malaysia.

Manakala dua calon Puteri bagi merebut jawatan Exco Pusat ialah Naib Ketua Pergerakan Puteri Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Puteri Bahagian Kemaman, Puan Asfalinda Anuar dan Exco Pergerakan Puteri Terengganu Puan Normadiana Kamaruddin.

Majlis pengenalan calon-calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Exco Pergerakan Sayap Umno diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam. Lebih 2,000 calon seluruh negara hadir.

KRT Kampung Molek anjur gotong royong

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA



Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Molek mengadakan aktiviti sukaneka pada 5 Oktober lalu bertempat di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun bermula jam 9.00 pagi.

 Pengerusinya, Zakaria Husain berkata, tujuan sukaneka ini diadakan ialah bagi mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli dengan penduduk kampung.


Beliau berkata, selain itu ia juga mampu membawa kepada kesefahaman dan kecaknaan jiran sekampung walaupun berlainan ideologi, agama dan kaum.

 “Kita sedar bahawa bukan semua penduduk kampung mempunyai fahaman politik yang sama tetapi tujuan kita mengadakan program sukaneka ini ialah bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan terutama di kalangan kanak-kanak.

“Pihak KRT sangat berharap agar tali persaudaraan yang selama ini berpecah akibat fahaman politik yang berbeza dapat ditautkan kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita pada Program Sukaneka Peringkat KRT Kampung Molek yang disertai seramai kira-kira 80 orang penduduk kampung termasuk kanak-kanak.

Di antara acara yang diadakan ialah pertandingan melukis bagi kanak-kanak berumur satu sehingga enam tahun manakala kanak-kanak Tadika dijemput menyertai acara mewarna lukisan.

Bagi memeriahkan majlis, acara selambut kasih terbuka untuk ibu bapa secara berpasangan dengan menggunakan belon berisi air dan telur mentah turut diadakan di samping cabutan nombor bertuah.

Selain itu, KRT Kampung Molek juga mendapat kerjasama daripada pemilik kereta antik serta motosikal berkuasa besar di sini turut mempamerkan kenderaan mereka.

 Zakaria berkata, KRT Kampung Molek juga baru sahaja diluluskan penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan pihak KRT mengharapkan kerjasama dari semua penduduk kampung terutamanya lelaki untuk mendaftarkan diri sebagai ahli rondaan SRS.