Halaman

27 October 2013

Kolej Universiti Bestari ke arah universiti wakaf pertama

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Kolej Universiti Bestari (UCB) bakal menjadi universiti wakaf pertama di negara ini apabila sumber kewangannya dikutip daripada sumber wakaf bukan sahaja dalam negara, malah melibatkan umat Islam seluruh dunia.

Menurut Pengurusi Lembaga Pengelola UCB, Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansur, langkah pertama telah dimulakan dengan derma wakaf tanah di kampus tetap UCB seluas 320 ekar pada Disember 2010.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen UCB Kali Pertama yang berlangsung di TH Hotel, semalam.

Turut hadir Canselor UCB, Tan Sri Samsudin Osman, Pro-Canselor UCB, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom dan Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh serta Naib Canselor UCB, Prof. Dr. Mustapha Ismail.

Seramai 580 graduan UCB telah menerima sijil dan diploma mereka pada majlis konvokosyen yang berlangsung meriah.

“Umat Islam boleh membeli satu lot tanah dengan harga RM30 satu kaki persegi di kaunter Pos Malaysia dan cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Malaysia.

“Hasil daripada pembelian ini akan diwakafkan kepada UCB dan diharapkan dapat membantu golongan miskin dan anak yatim yang tidak berpeluang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi”, katanya.

UCB yang terletak di Putera Jaya, Bandar Permaisuri sebelum ini dikenali sebagi Kolej Teknologi Bestari (KTB).

 

Lebih 1500 warga kerja TM sertai KASTEL 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 1500 warga kerja Telekom Malaysia (TM) dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berkampung di Terengganu bagi menyertai ‘Karnival Sukan TM 2013’ (KASTEL 2013) bermula 24 hingga 27 Oktober.
Pengerusi TM, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie berkata, penganjuran KASTEL masuk tahun ke-7 bertujuan menghimpun dan mengeratkan hubungan sesama anggota TM dari seluruh negara.

“KASTEL 2013 memberi peluang kepada warga kerja TM berjumpa sahabat dan rakan sekerja sekali gus menyemarakkan semangat 1TM.

“Karnival sukan ini juga merupakan medan mempromosikan gaya hidup sihat kepada semua anggota TM ke arah melahirkan tenaga kerja yang sihat dan aktif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian KASTEL 2013 di Dataran Batu Burok, malam kelmarin.

Majlis perasmian KASTEL 2013 telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman; Pengurus Besar Negeri TM Terengganu, Tuan Haji Hamidun Ismail serta Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) , Encik Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Tambah beliau, setiap tahun Kelab TM negeri akan menjadi tuan rumah bagi KASTEL secara bergilir-gilir dan pada tahun lepas telah diadakan di Melaka.

Katanya, selari dengan TMT 2013, penganjuran KASTEL di Terengganu sungguh istimewa kerana membuka peluang kepada warga kerja TM menikmati keindahan negeri yang penuh dengan kepelbagaian budaya ini.

Bertemakan ‘Terengganu... Negeri Cantik, Budaya Menarik', KASTEL 2013 menyaksikan penyertaan 15 kontijen yang mewakili anggota TM dari semua negeri bersaing dalam sembilan acara sukan.

Antaranya, bola sepak, hoki, ping pong, bola tampar, badminton, dart, sepak takraw, bola jaring dan ‘Larian Pantai Batu Burok’.

 

Seni gamelan kian gah di persada hiburan dunia

Dato' Mohd Jidin
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Penglibatan pasukan gamelan yang lebih besar pada tahun ini berbanding 2008 dan 2010 memberi petanda bahawa seni gamelan mempunyai peminat yang tersendiri dan semakin gah di persada industri hiburan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Mohd Shafee Penglibatan kumpulan tersohor luar negara seperti kumpulan Gamelan Wasabi, Jepun; Gamelan Sangri la, Bali; Gamelan Central Conservatory, China; Gamelan Melayu Nusantara, United Kingdom serta beberapa kumpulan gamelan lain sudah pasti mengundang rasa kagum terhadap seni gamelan warisan berzaman ini.


Peserta luar negara menunjukkan persembahan gamelan.
“Penglibatan kumpulan profesional tempatan seperti kumpulan gamelan Hands Percussion, Rhythms in Bronze, Swakarya Pak Ngah Production serta penampilan kumpulan gamelan Suktra Terengganu dan kumpulan gamelan Saga Warisan Terengganu juga sudah pasti menimbul rasa teruja kita untuk menghayati persembahan mereka,” katanya ketika berucap sempena Festival Gamelan Sedunia 2013, di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong, mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Dato’ Mohd Jidin berkata, usaha menganjurkan festival ini amatlah bertepatan, agar generasi muda kita mendapat pendedahan yang sewajarnya, khususnya dalam aspek seni gamelan ini.

“Festival ini diharapkan menjadi katalis, penunjuk jalan serta pencetus kesedaran baru dan yang paling penting mampu menanam semangat di kalangan generasi muda hari ini agar mereka mampu menjadi barisan pelapis yang kenal sejarah dan cakna budaya warisan leluhur kita.

 “Menjadi harapan saya juga agar semua para peminat gamelan bakal menikmati satu bentuk hiburan yang bermutu tinggi melalui persembahan yang bakal ditonjolkan oleh setiap kumpulan yang mengambil bahagian dalam festival yang akan bermula sebentar lagi," katanya.

Menurutnya, semua peserta perlu merebut peluang sebaik-baiknya agar kita semua mampu mempelajari dan menghayati suatu daripada persembahan pasukan gamelan yang hebat dari benua Eropah, Oceania dan juga dari benua Asia ini.

Dalam pada itu, pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 juga turut memacu perkembangan sektor perlancongan negeri dengan pelaksanaan pelbagai program sama ada oleh pihak kerajaan dan juga swasta. 

Selain itu, pada bulan ini sahaja, selain Festival Gamelan Sedunia ini, terdapat 3 program lain termasuk program Karnival Sukan Telekom Malaysia yang melibatkan lebih 1,400 orang kakitangan Telekom Malaysia (25 hingga 27 Oktober), Karnival Sukan Mahasiswa UiTM seluruh Malaysia (25 hingga 31 Oktober) dan Kejohanan Sepaktakraw dan Badminton Maksak (24 hingga 27 Oktober).

Dalam Festival Gamelan pada tahun ini sebanyak 17 pasukan dari dalam dan juga dari luar negara menunjukkan kehebatan masing-masing mempersembahkan seni gamelan selama tiga malam berturut-turut. 

“Sama-samalah kita harapkan agar kesemua acara yang berlangsung ini bakal membawa impak yang amat positif kepada iklim kebudayaan, kesenian dan seterusnya membawa kepada perkembangan dalam sektor perlancongan secara total,” katanya.

 

Terengganu jadi hab rujukan gamelan seluruh dunia

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri berharap Festival Gamelan Sedunia 2013 akan memberikan impak yang besar bukan sahaja dalam aspek kemasukan penggiat gamelan dari luar negara ini, malah menjadikan Terengganu sebagai hab rujukan gamelan di seluruh dunia.

Haji Mohd Zubir menyempurnakan majlis perasmian Festival Gamelan Sedunia 2013 di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, berkata pihaknya berharap apabila disebut sahaja gamelan, semua pihak terbayang, menyebut dan juga merujuk kepada negeri Terengganu.



“Saya merasakan ini bukanlah satu khayalan, malahan ia merupakan suatu impian yang menuntut semua pihak berganding bahu untuk menjayakannya. Jadikan festival ini sebagai satu titik pemulaan ke arah menjayakan usaha murni ini.

 “Malah, sudah sampai masanya untuk kita terus berusaha agar seni gamelan Melayu kita ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan seni gamelan lain seperti gamelan Jawa dan gamelan Bali yang mampu bertapak di seluruh pelusuk dunia dewasa ini,” katanya ketika merasmikan Festival Gamelan Sedunia 2013, di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

 Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Mohd Shafee dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.


Menteri Besar berharap semua pencinta serta penggiat gamelan jadikan festival itu sebagai satu inspirasi bagi melangkah lebih jauh serta membudayakan gamelan ke dalam roh seni negeri yang dicintai ini.

“Festival gamelan yang dianjurkan di Terengganu ini sahajalah kita berpeluang untuk menikmati ketiga-tiga jenis gamelan dunia, iaitu gamelan Melayu, gamelan Jawa dan juga gamelan Bali secara serentak dalam satu masa.

 "Atau dengan kata lain, hanya dalam festival ini sahaja ketiga-tiga jenis gamelan dunia dipertemukan. Pada saya, ini merupakan satu kelebihan serta satu kehebatan festival yang diadakan ini dan seharusnya disyukuri oleh kita semua,” katanya.

Menurutnya, menjadi harapan kita semua agar festival dwi tahunan yang diadakan buat kali ketiga ini bakal menjadi medan pertemuan pakar-pakar gamelan yang tersohor di seluruh dunia.

Katanya, penggiat serta pencinta seni gamelan tempatan seharusnya merebut peluang ini sebaik-baiknya untuk mempelajari, mencungkil serta menggali seribu satu rahsia dan informasi daripada pakar-pakar ini untuk dimanfaatkan ke arah perkembangan serta pembangunan seni gamelan tempatan, khususnya di Terengganu.

“Untuk merealisasikan hasrat murni seumpama ini, semua pihak seharusnya berganding bahu serta membentuk satu bentuk kerjasama yang erat. Jadikan festival gamelan ini sebagai suatu pemangkin dalam usaha kita untuk mengangkat seni gamelan, khususnya seni gamelan Melayu ke persada antarabangsa,” katanya.


26 October 2013

24,330 pelajar KAFA khatam al-Quran

 Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Seramai 24,330 pelajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari tahun dua hingga enam seluruh Terengganu berjaya khatam al-Quran pada tahun ini, berbanding 21,610 pelajar tahun lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan sijil kepada pelajar terbaik KAFA.
Majlis khatam al-Quran telah diadakan serentak hari ini di tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu (6,830); Besut (3,518); Setiu (3,198); Dungun (2,926); Kemaman (2,816);Marang (2,805) dan Hulu Terengganu 2,237.

 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan memastikan semua pelajar di sekolah rendah di negeri ini akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke tingkatan satu .

 Katanya, melalui perlaksaaan itu, dia percaya mampu dilaksanakan sebaiknya mungkin dengan kerjasama pebagai pihak.


“Kita beri penekanan khusus terhadap murid di sekolah rendah kerana apabila melangkah ke sekolah menengah, komitmen pelajar terhadap pengajian al-Quran semakin menurun mungkin disebabkan pelbagai tugasan perlu diuruskan .

 “Saya harap ibu bapa beri tumpuan dalam hal ini dan pastikan anak-anak mereka dapat khatam sebelum habis tahun enam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini .



Menteri Besar turut melahirkan rasa bangga di atas pencapaian pelajar-pelajar kelas KAFA yang mampu membawa negeri ini muncul negeri terbaik untuk lima tahun berturut-turut.

“Kerajaan negeri terima peruntukan berjumlah RM36 juta setahun daripada JAKIM bagi pembiayaan kelas-kelas KAFA di seluruh negeri.

 “Bayangkan berapa banyak yang dibelanjakan oleh Kerajaan Pusat untuk negeri-negeri bagi memastikan pendidikan agama generasi kecil ini terus subur dijiwa mereka,” katanya.

 

3,518 pelajar daerah Besut khatam Al-Quran


Muhamad Pehimi (tengah) bersama pelajar cemerlang

Oleh: Mohammad Ishak 

Yayasan Islam Terengganu (YIT) sekali lagi meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran secara besar-besaran yang diadakan serentak di seluruh negeri Terengganu, hari ini.

Di Besut seramai 3,518 pelajar dari 43 sekolah menyertai majlis yang berlangsung di Masjid Nasiruddin Shah,Kampung Raja, Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Muhamad Pehimi Yusof, merasmikan program berkenaan dan menyampaikan sijil kepada pelajar dan sekolah terbaik UPKK untuk tahun 2012.
















Majlis Khatam Al-Quran itu berjaya menarik ramai pelajar menyertainya pada setiap akhir tahun bagi menilai dan menguji kecekapan pelajar dalam membaca ayat suci Al-Quran.


Muhamad Pehimi ketika merasmikan majlis itu, memuji penganjur terutama Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang sentiasa ke hadapan meningkatkan pembelajaran Al-Quran dikalangan pelajar.

Katanya, pembabitan guru Kafa juga satu usaha murni oleh Kerajaan Pusat yang turut membantu tenaga pengajar bagi membolehkan pelajar belajar Al-Quran secara sistematik dan kaedah yang betul daripada guru-guru terlatih.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa jangan hanya mengejar untuk mendapaatkan keputusan cemerlanag dalam peperiksaan sahaja sebaliknya tumpuan juga patut diberikan kepada pengajian Al-Quran.

Bajet rakyat, penjawat awam terima bonus, BR1M naik

Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semalam membawa berita baik kepada seluruh rakyat negara ini.

 Manakala kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, bagi meringankan beban mereka, terutama perbelanjaan anak-anak sekolah pada akhir tahun.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2014, semalam.
Golongan pesara pula akan menerima Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250. "Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.


Sementara itu, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

 Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54. Bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara,

 Najib berkata kerajaan juga bersetuju menambah baik sebanyak 81 skim perkhidmatan daripada pelbagai peringkat mulai November ini. Perdana Menteri berkata pada Julai lepas, kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

 Di samping itu, katanya kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum.

 Mengenai BR1M 3.0, Najib berkata pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah.

 Najib mencadangkan caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

 "Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan sebanyak RM700," katanya.

 NaJib berkata bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang menerima bantuan BR1M sebanyak RM450, juga akan menerima caruman i-BR1M bernilai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500. Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6

25 October 2013

Zakaria akan terus bantu penduduk.

Oleh: Aminudin Ismail.

Zakaria...banyak bantu penduduk.
SEKALIPUN sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pendidik namun tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kampung (JKKK) tidak pernah diabaikan malah sejak memegang jawatan itu kira-kira tiga penggal lalu, pelbagai usaha dilakukanya untuk membantu penduduk termasuklah mendapatkan rumah PPRT.

"Sejak memegang jawatan Pengerusi JKKK hampir 15 tahun lalu, adalah menjadi tanggungjawab saya membantu penduduk dan memajukan kampung ini. Sebagai pembantu kepada wakil rakyat adalah menjadi kewajipan saya untuk menyelesaikan masalah penduduk.

"Setakat ini seramai 10 keluarga di kampung ini, berjaya mendapatkan rumah PPRT dan lebih 40 buah rumah sudah baikpulih hasil bantuan kerajaan Barisan Nasional," kata Zakaria Abdul Rahman, Pengerusi JKKK Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit itu.

Zakaria yang menang jawatan AJK Bahagian pada pemilihan UMNO Setiu baru-baru ini, berkata, selain itu antara usahanya ialah mendapatkan sebuah padang futsal di kampungnya dan membantu penduduk mendapatkan jalan ke kawasan perumahan dan kebun.

"Jalan-jalan ini memberi keselesaan kepada penduduk untuk keluar masuk ke rumah atau ke kebun mereka," katanya yang memegang jawatan AJK Bahagian sejak tiga penggal lalu dan jawatan AJK Pemuda Setiu selama empat penggal itu.

Zakaria berkata, beliau akan terus menabur bakti kepada penduduk kampungnya selagi mendapat kepercayaan wakil rakyat kawasanya dan penduduk.

"Di dalam usaha saya untuk membantu penduduk dan memajukan kampung, saya juga mempastikan UMNO dan Barisan Nasional akan sentiasa mendapat tempat di hati penduduk supaya pembangunan akan dapat diteruskan," katanya.

 

Besut lancar sukarelawan bencana


Pegawai Daerah Besut.A Rahim Jusoh memakai topi dan vest kepada sukarelawan

Oleh: Mohammad Ishak 

Pejabat Daerah Besut (PDB) menubuhkan pasukan sukarelawan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berkenaan dengan menubuhkan Sukarelawan Bencana bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tugas jika berlaku bencana di daerah itu.

Pelancaran Sukarelawan Bencana itu dilakukan Pegawai Daerah Besutr, A Rahim Jusoh di Damai Beach Resort  dekat Jertih semalam yang disertai kira-kira 80 anggota sukarelawan yang tanpil secara sukarela untuk memberi khidmat jika diperlukan.

Sukarelawan terbabit ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Belia dan individi yang berminat dalam kerja-kerja kesukarelawan. A Rahim ketika mela ncarkan program itu memuji kesediaan sukarelawan terbabit yang tanpil mendaftar diri untuk menjad i sukarelawan.

Katanya, program dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut dan Mercy Malaysia diharap dapat membantu pihak berkuasa setempat dalam menjalankan tugas menyelamat dan mengagihkan bantuan keperluan terutama mangsa banjir.

Menurutnya, daerah itu yang kerap dilanda banjir pada setiap hujung tahun perlu membuat persediaan awal dengan menyediakan tenaga manusia, kemudahan asas dan bantuan kemanusiaan supaya apabila berlaku banjir semua keperluan sudah tersedia.

Beliau berkata, sukarelawan terbabit akan dilatih oleh agensi keselamatan dan bencana alam bagi memastikan mereka mahir dan tahu selok belok ketika menyertai kerja menyelam at dan selepas berlakunya banjir.

Katanya, pada peringkat awal sukarelawan akan membantu JKM menyediakan bungkusan bekalan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan yang mudah berlaku banjir.

Pemimpin masyarakat yang hadir sempena pelancaran Sukarelawan Bencana Daerah Besut.

JPS kenalpasti 198 kawasan berisiko banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengenalpasti 198 kawasan yang sering dilanda banjir di seluruh negeri melibatkan 30 di Besut, Setiu (21), Kuala Terengganu (17), Marang (27), Hulu Terengganu (29), Dungun (32) dan Kemaman (42).

Sehubungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula telah menetapkan 437 pusat pemindahan yang berupaya menampung 53,172 mangsa banjir iaitu 47 di Kuala Terengganu melibatkan 11,170 mangsa, 57 di Kemaman (12,180 mangsa), 52 di Dungun (10,015 mangsa), 141 di Besut (14,722 mangsa), 81 di Hulu Terengganu (8,950 mangsa), 25 di Marang (3,700 mangsa) dan 35 di Setiu (2,435 mangsa).

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, berrkata sebanyak 15 tandas bergerak yang kini ditempatkan di Kem 512 Askar Wataniah Padang Midin, Kuala Terengganu akan digerakkan ke pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri itu sebaik pusat-pusat itu dibuka.

 "Mulai bulan ini, semua bekalan makanan akan diagihkan kepada pangkalan hadapan di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat semasa mengenai banjir boleh menghubungi bilik gerakan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu di talian 09-6222231 dan 09-6316021; bilik gerakan pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di talian 09-6354743 dan bilik gerakan JKR negeri melalui 09-6274092.

 Orang ramai juga boleh melayari laman web rasmi kerajaan negeri dihttp://etindakan.terengganu.gov.my dan laman web MKN dihttp://portalbencana.mkn.gov.my