Halaman

27 October 2013

Lebih 1500 warga kerja TM sertai KASTEL 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 1500 warga kerja Telekom Malaysia (TM) dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berkampung di Terengganu bagi menyertai ‘Karnival Sukan TM 2013’ (KASTEL 2013) bermula 24 hingga 27 Oktober.
Pengerusi TM, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie berkata, penganjuran KASTEL masuk tahun ke-7 bertujuan menghimpun dan mengeratkan hubungan sesama anggota TM dari seluruh negara.

“KASTEL 2013 memberi peluang kepada warga kerja TM berjumpa sahabat dan rakan sekerja sekali gus menyemarakkan semangat 1TM.

“Karnival sukan ini juga merupakan medan mempromosikan gaya hidup sihat kepada semua anggota TM ke arah melahirkan tenaga kerja yang sihat dan aktif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian KASTEL 2013 di Dataran Batu Burok, malam kelmarin.

Majlis perasmian KASTEL 2013 telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman; Pengurus Besar Negeri TM Terengganu, Tuan Haji Hamidun Ismail serta Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) , Encik Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Tambah beliau, setiap tahun Kelab TM negeri akan menjadi tuan rumah bagi KASTEL secara bergilir-gilir dan pada tahun lepas telah diadakan di Melaka.

Katanya, selari dengan TMT 2013, penganjuran KASTEL di Terengganu sungguh istimewa kerana membuka peluang kepada warga kerja TM menikmati keindahan negeri yang penuh dengan kepelbagaian budaya ini.

Bertemakan ‘Terengganu... Negeri Cantik, Budaya Menarik', KASTEL 2013 menyaksikan penyertaan 15 kontijen yang mewakili anggota TM dari semua negeri bersaing dalam sembilan acara sukan.

Antaranya, bola sepak, hoki, ping pong, bola tampar, badminton, dart, sepak takraw, bola jaring dan ‘Larian Pantai Batu Burok’.