Halaman

28 October 2013

UMT sasar tambah pelajar kepada 8500 orang menjelang 2015

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merancang meningkatkan bilangan pelajar kepada 8500 orang menjelang 2015 dan kepada 10000 orang apabila negara mencapai status maju pada tahun 2020.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, UMT berusaha memantapkan dan meningkatkan kualiti program sedia ada agar dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dihasilkan sekali gus menarik minat bakal pelajar ke UMT.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, kita bercadang memperkenalkan pelan strategik bagi menambat hati pelajar cemerlang di peringkat sekolah lagi.

“Melalui pelan ini, kita bercadang untuk mengadakan program-program yang melibatkan pelajar cemerlang di peringkat sekolah khususnya pelajar tingkatan 4 dan 5,” ujarnya.

Katanya, pelajar tersebut akan didedah dan diperkenalkan kepada UMT supaya menarik minat mereka untuk menyambung pengajian di sini apabila tamat persekolahan nanti.

“Selain itu, kita juga bercadang umtuk memperkenalkan program kontinum diploma-sarjana muda-sarjana melalui laluan pantas (fast-track) kepada pelajar cemerlang lepasan SPM.

Pada masa ini, UMT mempunyai sekitar 7000 pelajar prasiswazah dan 763 pelajar pascasiswazah.