Halaman

27 October 2013

Terengganu sasar 35,000 pelajar khatam al-Quran menjelang 2015

Kerajaan Terengganu mensasarkan 35,000 pelajar KAFA akan khatam Quran menjelang 2015.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu mensasarkan kira-kira 35,000 pelajar Kelas Fardu Ain (KAFA) atau 50 peratus daripada keseluruhan pelajar di negeri ini akan khatam al-Quran menjelang 2015.

Dato' Seri Haji Ahmad Said
 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya yakin bilangan itu mampu dicapai kerana bilangan pelajar yang berjaya khatam meningkat hampir setIap tahun.

 Katanya, perkara itu dapat dibuktikan apabila seramai 20,133 pelajar dibawah seliaan Yayasan Terengganu (YT) itu berjaya khatam pada 2011, diikuti 21,610 pelajar (2012) dan 24,330 pelajar pada tahun ini.

“Peningkatan itu menunjukkan semangat dan kerjasama antara pelbagai pihak untuk bersama-sama melihat pelajar Terengganu cinta dan celik al-Quran.

 “Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sanggup mengeluarkan belanja besar iaitu hampir RM36 juta setahun untuk menjayakan perkara mulia ini.

“Apa yang dibelanjakan itu, termasuk bayaran kepada guru KAFA, imam, bilal dan pelbagai program mengimarahkan masjid,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, lebih 70,000 pelajar KAFA sedang mendalami ilmu al-Quran d membabitkan kira-kira 3,000 guru di seluruh negeri pada masa sekarang..

 “Program ini dijalankan di 410 premis membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), masjid, surau dan balai raya.

“Program KAFA berkonsepkan pendidikan agama peringkat rendah bagi menyokong dan memperkukuhkan pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

 “Pelajar diberi penekanan dan tumpuan kepada amali serta kemahiran membaca al-Quran mengikut tajwid dan fadru ain di samping kemahiran dalam penulisan dan pembacaan jawi,” katanya.

,