Pelbagai aktiviti haram yang dijalankan di Tasik Kenyir hingga menyebabkan berlaku kepupusan bermacam-macam spesies ikan air tawar di tasik berkenaan sejak kebelakangan ini berkurangan dengan kehadiran ‘Kenyir Rangers’ yang memantau kawasan itu.
‘Kenyir Rangers’ dianggotai oleh beberapa jabatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhilitan.
Penubuhan pasukan penguatkuasa tersebut pada tahun 1994 hasil inisiatif Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk meningkatkan pengawasan terhadap aktiviti penangkapan ikan secara haram di Tasik Kenyir, terutama yang menggunakan pukat.
Penolong Pengurus Bahagian Pengawasan dan Aset KETENGAH, Che Zamri Che Lah berkata pihaknya sering melakukan operasi bagi mengekang kegiatan ini.
Operasi yang dikenali sebagai Operasi Rondaan Bersepadu sering kali diadakan dengan mengenal pasti tempat yang dipasang pukat dan bubu.
Bagi tahun ini, pihak KETENGAH telah melakukan rondaan sebanyak empat kali di mana yang terbaru diadakan selama dua hari dan berakhir semalam.
“Selain memancing, aktiviti lain seperti memukat dan memasang bubu adalah tidak dibenarkan di kawasan ini.
“Disebabkan oleh kegiatan tidak bertimbang rasa ini, ramai pemancing pulang hampa apabila hasil yang diperoleh tidaklah seperti yang digemburkan sebagai lubuk ikan”, katanya.
Tambahnya lagi,operasi ini turut melibatkan rumah bot sama ada mereka ada menggunakan alatan yang tidak dibenarkan atau tidak.
Papan tanda amaran turut dipasang oleh pihak KETENGAH bagi memberi peringatan kepada pemancing supaya tidak melakukan aktiviti yang dihalang oleh agensi ini.