Halaman

29 October 2013

Terengganu jadi tumpuan venue sukan

Oleh: Suriati Ali 

Terengganu bakal menjadi venue utama dalam beberapa kejohanan sukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sebagai langkah mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Terbaru, lebih 3,000 atlet berkampung sejak awal minggu lalu dalam beberapa siri kejohanan yang diadakan sekaligus mampu memperkenalkan keunikan Terengganu kepada pihak luar.

 Aktiviti itu, termasuk Kejohanan Taekwando Sekolah-sekolah Malaysia; Kejohanan Sukan Mahasiswa; Kejohanan Sukan Mahasiswa UiTM (KARiSMA); Sukan MAKSAK sepak takraw, badminton serta Kejohanan Sukan Telekom Malaysia.

Ketua Sekretariat TMT), Encik Ahmad Fathil Abd Ghani berkata sejak dilancarkan awal tahun ini, lebih 20 kejohanan sudah berlangsung dalam usaha mempergiatkan promosi TMT.

“Pemilihan Terengganu sebagai lokasi penganjuran acara sukan bukan saja disebabkan negeri ini mempunyai prasarana yang baik, malah turut menyediakan destinasi dan produk pelancongan yang menarik.

 “Selain menyertai sukan dipertandingkan, atlet terbabit berpeluang melihat dan merasai sendiri hidangan tempatan tersohor seperti nasi dagang, kuih muih, keropok lekor dan juga barangan cederamata,” katanya.

Katanya, malah ada beberapa lagi acara sukan di peringkat antarabangsa bakal berlangsung seperti Kejohanan Perahu Layar (Monsun Cup) yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan depan.

“Dijangka sebanyak 12 pasukan perahu layar akan tiba di negeri ini bagi menyertai sirkit terakhir sebelum dinobatkan selaku juara `World Match Racing Tour,” katanya.