Halaman

28 October 2013

Maidam sedia pembiayaan perubatan secara percuma kepada mualaf

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyediakan kemudahan pembiayaan perubatan dan rawatan secara percuma kepada semua mualaf di seluruh Terengganu sejak awal tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Rozali Saleh, golongan berkenaan yang mahu mendapatkan kemudahan itu perlu mendaftar dan memberi maklumat mengenai klinik dan ubatan yang digunakan untuk rujukan Maidam serta pusat rawatan berkenaan.

“Jika masa lalu, ada kesukaran sedikit, mereka (mualaf) datang ambil bantuan RM100 balik, dan selepas tempoh enam bulan mereka datang lagi, kadangkala tanpa menemui pegawai mereka balik, dan perkara ini berlaku di masa lalu.

 “Saya beri jaminan, jika sekarang kalau mereka datang ke Pejabat Maidam sekiranya memerlukan bantuan, datang jumpa saya atau pegawai, kita akan ambil nama dia, maklumat klinik dan ubatan itu,” katanya katanya kepada pemberita, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Mohd Rozali yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, Maidam akan menjelaskan bil perubatan itu secara terus kepada klinik terbabit berdasarkan tuntutan pusat rawatan berkenaan.

Menurut beliau, bantuan pembiayaan perubatan disediakan kepada golongan itu diberikan tanpa had serta kadar caj rawatan, sebaliknya bergantung kepada keperluan pesakit itu sendiri.

“Kita akan bayar terus kepada kilinik sebagaimana tuntutan klinik berkenaan. Jadi, mereka tidak lagi perlu perlu datang ke pejabat kita,” katanya.

Menurutnya, Maidam bukan hanya menyediakan bantuan pembiayaan perubatan, bantuan lain termasuk keperluan harian seperti makan minum, bantuan sara diri secara bulanan, pengajaran agama, bantuan modal dan persekolahan anak-anak di seluruh negeri Terengganu.