Halaman

27 October 2013

Kemiskinan tidak halang gapai kejayaan

Oleh : Mohd Hafizuddin Mat Tahar(pelatih)
‘Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih’. Itulah semangat yang dipegang Mohamad Nizam Suhaimie, 26, penerima Anugerah Tertinggi Canselor sempena Majlis Pemasyhuran Canselor & Konvokesyen Kali Pertama University College Bestari (UCB) Terengganu, semalam. 
Anak muda dari Perak yang mengikuti kursus Diploma Pengajian Perniagaan itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87 sekali gus berjaya menobatkan beliau antara penerima anugerah tertinggi pada majlis konvokesyen berkenaan.

Mohamad Nizam (gambar) berkata, kemiskinan tidak menjadi batu penghalang untuknya menggapai kejayaan dalam pelajaran.

“ Sejak dari bangku sekolah saya menanam cita-cita untuk menjejakkan kaki ke menara gading, tetapi disebabkan lahir dalam keluarga miskin hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan kerana saya nekad untuk bekerja terlebih dahulu bagi meringankan beban ibu bapa sebelum menyambung pengajian,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen tersebut.

Antara rahsia dinobatkan sebagai seorang pelajar terbaik pada hari bersejarah itu, Mohamad Nizam berkata, sikapnya yang suka bertanya pensyarah mengenai apa yang tidak difahaminya ketika di dalam kelas banyak membantu.

 “Pengurusan masa amat penting dalam kehidupan sebagai pelajar dan saya memanfaatkannya masa sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran walaupun kadang-kadang terpaksa tidur kurang lima jam sehari, ” kata anak pegawal keselamatan itu.

Anak kedua dari lima beradik yang bercita-cita menjadi ahli perniagaan itu, turut berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dalam bidang perniagaan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Mohamad Nizam yang bekerja dan menetap di Yayasan Amanah Normaisara Perak mendapat dorongan mentornya di yayasan berkenaan, Dr. Fazilah Nordin supaya menyambung pengajian yang tertanggung di UCB.

Mohamad Nizam berkata, minat dan dorongan ibu bapa menyebabkannya memilih mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan.

''Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua terutama ibu bapa , pensyarah dan rakan-rakan yang banyak memberi dorongan dan sokongan,'' katanya.

Seramai 580 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing di Majlis Pemasyhuran Canselor & Konvokesyen Kali Pertama University College Bestari (UCB) yang berlangsung di TH Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Canselor baru UCB, Tan Sri Samsudin Osman menyempurnakan majlis penyampaian sijil dan diploma kepada graduan pada majlis berkenaan.