Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) yang dibarisi kelompok antikerajaan dan pro pembangkang merupakan kumpulan `minoriti dalam minoriti’ yang bertindak mewujudkan kekacauan dan menjejaskan keharmonian yang dikecapi negara sejak merdeka.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata hampir 70 peratus Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menganggotai Comango tidak berdaftar, sebahagiannya berdaftar di bawah Pendaftar Syarikat (ROC) dan sebahagian kecil lagi berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Tetapi disebabkan mereka gambarkan kepada masyarakat dunia bahawa mereka mewakili suara Malaysia dengan gabungan yang sebegitu besar.
“Ini yang saya risau kerana mereka memberikan tanggapan yang negatif kepada masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, seolah-olah Malaysia ini menafikan hak majoriti, walhal kelompok yang dikatakan `minoriti dalam minoriti’ yang bersuara ini yang cuba mencetuskan sesuatu yang cuba memprorak-perandakan keharmonian yang selama ini kita capai dalam tempoh merdeka,” katanya di sidang media sempena Wacana Pemantapan Akidah 2013 (kristianisasi, liberalisme & syiah) peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir , Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.
Sehubungan itu, Dr Asyraf berkata, Malaysia menghantar 20 wakil rasmi ke Mesyuarat Semakan Berkala Universal Mengenai Prestasi Hak Asasi Manusia (UNHRC), Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geneva, Switzerland bertujuan memberi pendedahan dan perspektif sebenar serta berbeza dengan apa yang cuba dituntut oleh Comango.
Katanya, anggota GabunganPertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) itu terpilih menerusi satu bengkel yang dilaksanakan sebulan lalu, ke Geneva bagi memberi penjelasan sebenar kepada isu yang dibawa oleh Comanggo yang cuba mewujudkan persepsi Kerajaan Malaysia tidak menghormati prinsip hak asasi manusia, selain meletakkan Islam dan agama lain di tahap yang tidak sama rata.
“Selain itu isu syiah dan murtad yang diperbesar-besarkan (oleh Comango). Muslim UPRo ke sana menerusi pembiayai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yadim bagi menjelaskan amalan hak asasi negara kita di mana hak asasi negara kita tidak boleh lari dengan amalan dan tradisi negara yang berteraskan agama dan juga adat timur yang kita pertahankan selama ini.
“Malaysia antara negara yang paling banyak menerima persoalan kerana dalam sesi di Geneva itu setiap negara akan menyerahkan laporan. Sementara Comanggo akan menyerahkan tuntutan mereka dan menggambaran Malaysia ini melakukan pelbagai pencabulan hak asasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau belum mendapat gambaran jelas dari Muslim UPRo apakah negara luar bersedia menerima jawapan yang diberikan oleh wakil dari Malaysia itu.
Dalam pada itu, beliau berkata negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) amat menyokong prinsip yang didukung oleh Kerajaan Malaysia, tetapi negara barat yang banyak disogokkan dengan aspek liberalisme dan pluralisme, lebih cenderung mengatakan Malaysia sudah melakukan pencabulan hak asasi.
Menurutnya, sekiranya Comango terus diberi kebebasan bersuara dan memberi persepsi negatif terhadap Kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa boleh menyebabkan negara ini akan ditekan secara berterusan di PBB, selain mampu mempertahankan kedudukan Islam mengikut perkara asas yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, pada Khamis lalu, 54 NGO yang menganggotai Comango menghantar laporannya kepada PBB yang mengandungi tuntutan yang boleh disifatkan sebagai keterlaluan dan menghakis kedaulatan dan kedudukan Islam dalam negara.
Antara tuntutan Comango adalah menuntut kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragamadengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan keislaman seseorang itu.