Halaman

29 October 2013

UniSZA bakal terima 250 pelajar Islam Nigeria pertengahan Disember

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menerima 250 pelajar pascasiswazah beragama Islam dari negeri Kono, Nigeria pada pertengahan Disember ini.

Naib Canselornya, Prof Dr. Yahaya Ibrahim (gambar) berkata, kesemua pelajar berkenaan merupakan pemegang ijazah kelas pertama dan kedua atas yang dipilih oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Kono dan layak setelah menjalani temuduga khas selepas ditapis oleh wakil UniSZA.

“Usaha ini adalah hasil perjanjian persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara UniSZA dengan North West University, Kano pada awal tahun ini.

“Dalam kunjungan balas UniSZA ke Nigeria atas undangan negeri Kano iaitu sebuah negeri di utara Nigeria yang terletaknya North West University pada 17 hingga 23 Oktober 2013 lalu, kerajaan negeri Kono dan universiti berkenaan berminat menghantar sejumlah pelajar pasca siswazah ke UniSZA.

“Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman bersama tiga lagi delegasi iaitu Pendaftar, Nordin Jusoh; Timbalan Pendaftar, Zameri Zulkifli dan wakil Pusat Pengajian Siswazah, Dr. Adam Abdullah,” ujarnya pada sidang media khas di UniSZA, hari ini.

Katanya, dalam lawatan tersebut wakil UniSZA mengadakan temuduga khas kepada pelajar yang dicadangkan oleh kerajaan Kano.Daripada temuduga itu, diputuskan sejumlah 250 orang pelajar akan diterima masuk dalam program pascasiswazah di peringkat Master dan PHD di UniSZA.

“Keseluruhan pelajar terpilih merupakan pelajar Islam yang mempunyai pencapaian akademik yang baik dan akan ditempatkan di lapan fakulti yang ada di UniSZA.

“Semua pelajar berkenaan dibiayai oleh kerajaan negeri Kano yang mana telah diperakui oleh Menteri Pelajaran Kono,”ujarnya.

Menurut beliau, pelajar yang bakal mengikuti progam di peringkat Master akan belajar di UniSZA antara setahun hingga dua tahun manakala antara tiga hingga empat tahun bagi program PHD.

Katanya, pelajar berkenaan akan ditempatkan berdasarkan bidang pengajian yang mereka ikuti termasuk di kampus antarabangsa Kuala Lumpur, kampus utama Gong badak dan juga Besut.

Tambah beliau, UniSZA memilih untuk bekerjasama dengan negeri Kano bagi pegambilan pelajar ini kerana Kano merupakan negeri Islam terbawah di Nigeria.

“Saya merasakan kita perlu mengambil tanggungjawab ini kerana kerajaan Kano dan Nigeria sendiri merupakan sebuah negara yang kaya tetapi rakyatnya miskin.

“Jadi tahap pendidikan rakyatnya masih rendah. Dengan itu, mereka memerlukan satu sistem pendidikan yang baik dan banyak perkara yang boleh dipelajari hasil kerjasama ini kerana kita merupakan sebuah negara Islam contoh di peringkat dunia,” katanya.

Katanya, dengan kedatangan ke sini, secara tidak langsung mereka dapat mempelajari bagaimana sebuah negara Islam membangunkan sistem pendidikan yang kreatif kepada rakyat dan turut memberi keuntungan kepada kedua-dua negara.

“Kelebihan pelajar Nigeria yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik dapat mempertingkatkan kemahiran Bahasa Inggeris pelajar kita apabila bergaul dengan mereka.

Katanya, antara sebab negeri Kono memilih UniSZA kerana universiti ini berteraskan Islam dan mengenakan yuran yang agak murah berbanding universiti lain serta kemudahan yang lengkap untuk menampung keperluan pelajar mereka.

Menurut Prof Dr. Yahaya, setakat ini UniSZA mempunyai 66 pelajar antarabangsa daripada negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan juga negara Timur Tengah dan ini merupakan kali pertama UniSZA mengambil kumpulan pelajar daripada sebelah Afrika iaitu Nigeria.