Halaman

29 October 2013

Jaga kebajikan saudara baru, kekal beragama Islam : Dato' Mohd Rozali

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menasihatkan semua pihak yang berhasrat untuk membawa masuk 'saudara baru' dari luar Terengganu memeluk Islam di negeri ini supaya bertanggungjawab menjaga kebajikan golongan itu agar lebih terbela dan kekal beragama Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Rozali Saleh berkata, pihaknya mahu mengelak berlaku masalah penjagaan kebajikan dan bimbingan yang berterusan terhadap golongan mualaf berkenaan berikutan saudara baru itu bukan berasal dari negeri ini.

“Jadi kita berharap, jika boleh pihak yang bertanggungjawab membawa mereka memeluk Islam itu mengambil inisiatif melakukannya segera di negeri masing-masing bagi mengelak timbul kesulitan, malah cara itu juga tidak menepati syarak memandangkan perjalanan jauh dan melambatkan urusan murni itu.

"Lebih baik kita ambil mereka yang dari Terengganu untuk masuk Islam di sini, tak perlu bawa orang luar Terengganu untuk memeluk Islam di sini memandangkan setiap negeri mempunyai  pusat dan jabatan agama yang boleh menjalankan urusan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Wacana Pemantapan Akidah (Kristianisasi, Liberalisme dan Syiah) peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dato’ Mohd Rozali yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu juga tidak menolak terdapat mualaf yang kembali kepada agama asal mereka disebabkan beberapa faktor termasuk akibat dipulau keluarga sendiri serta menjadi mangsa ugutan pihak lain.

Berdasarkan rekod, purata kira-kira 100 orang setahun memeluk agama Islam di negeri ini yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bukan warganegara termasuk Vietnam, Myanmar, Filipina dan Thailand.

Dalam pada itu, katanya, Maidam memperuntukkan kira-kira RM8 juta setahun bagi keperluan golongan asnaf mualaf di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan golongan mualaf di negeri ini kerana pelbagai bantuan disediakan termasuk bantuan pembiayaan perubatan, keperluan harian seperti makan minum, bantuan sara diri secara bulanan, pengajaran agama, bantuan modal dan persekolahan anak-anak di seluruh negeri Terengganu.