Halaman

27 October 2013

Seni gamelan kian gah di persada hiburan dunia

Dato' Mohd Jidin
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Penglibatan pasukan gamelan yang lebih besar pada tahun ini berbanding 2008 dan 2010 memberi petanda bahawa seni gamelan mempunyai peminat yang tersendiri dan semakin gah di persada industri hiburan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Mohd Shafee Penglibatan kumpulan tersohor luar negara seperti kumpulan Gamelan Wasabi, Jepun; Gamelan Sangri la, Bali; Gamelan Central Conservatory, China; Gamelan Melayu Nusantara, United Kingdom serta beberapa kumpulan gamelan lain sudah pasti mengundang rasa kagum terhadap seni gamelan warisan berzaman ini.


Peserta luar negara menunjukkan persembahan gamelan.
“Penglibatan kumpulan profesional tempatan seperti kumpulan gamelan Hands Percussion, Rhythms in Bronze, Swakarya Pak Ngah Production serta penampilan kumpulan gamelan Suktra Terengganu dan kumpulan gamelan Saga Warisan Terengganu juga sudah pasti menimbul rasa teruja kita untuk menghayati persembahan mereka,” katanya ketika berucap sempena Festival Gamelan Sedunia 2013, di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong, mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Dato’ Mohd Jidin berkata, usaha menganjurkan festival ini amatlah bertepatan, agar generasi muda kita mendapat pendedahan yang sewajarnya, khususnya dalam aspek seni gamelan ini.

“Festival ini diharapkan menjadi katalis, penunjuk jalan serta pencetus kesedaran baru dan yang paling penting mampu menanam semangat di kalangan generasi muda hari ini agar mereka mampu menjadi barisan pelapis yang kenal sejarah dan cakna budaya warisan leluhur kita.

 “Menjadi harapan saya juga agar semua para peminat gamelan bakal menikmati satu bentuk hiburan yang bermutu tinggi melalui persembahan yang bakal ditonjolkan oleh setiap kumpulan yang mengambil bahagian dalam festival yang akan bermula sebentar lagi," katanya.

Menurutnya, semua peserta perlu merebut peluang sebaik-baiknya agar kita semua mampu mempelajari dan menghayati suatu daripada persembahan pasukan gamelan yang hebat dari benua Eropah, Oceania dan juga dari benua Asia ini.

Dalam pada itu, pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 juga turut memacu perkembangan sektor perlancongan negeri dengan pelaksanaan pelbagai program sama ada oleh pihak kerajaan dan juga swasta. 

Selain itu, pada bulan ini sahaja, selain Festival Gamelan Sedunia ini, terdapat 3 program lain termasuk program Karnival Sukan Telekom Malaysia yang melibatkan lebih 1,400 orang kakitangan Telekom Malaysia (25 hingga 27 Oktober), Karnival Sukan Mahasiswa UiTM seluruh Malaysia (25 hingga 31 Oktober) dan Kejohanan Sepaktakraw dan Badminton Maksak (24 hingga 27 Oktober).

Dalam Festival Gamelan pada tahun ini sebanyak 17 pasukan dari dalam dan juga dari luar negara menunjukkan kehebatan masing-masing mempersembahkan seni gamelan selama tiga malam berturut-turut. 

“Sama-samalah kita harapkan agar kesemua acara yang berlangsung ini bakal membawa impak yang amat positif kepada iklim kebudayaan, kesenian dan seterusnya membawa kepada perkembangan dalam sektor perlancongan secara total,” katanya.