Halaman

31 October 2013

YB Khairy minta padang rumput sintetik siap ikut jadual

Oleh: Suriati Ali

Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin mengingatkan kontraktor pembinaan Padang Rumput Sintetik, di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu, menyiapkan projek itu dengan kadar segera.

 Katanya, dia kecewa dengan kelewatan projek itu yang sepatutnya siap mengikut jadual pada akhir Disember ini.

“Pihak kami sebolehnya tidak mahu masalah kerja-kerja tanah yang dilapor punca kelewatan 67 hari itu dijadikan alasan oleh kontraktor untuk terus melengahkan projek.

 "Saya sudah minta kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau perkembangan projek ini dan memastikannya siap ikut jadual," katanya kepada pemberita, selepas melawat projek itu, hari ini.

YB Khairy turut memberitahu kontraktor juga bakal berdepan tindakan denda jika gagal mematuhi tarikh yang dipersetujui dalam kontrak itu.

 “Projek itu yang bermula 2 Julai lepas dijadualkan siap hujung tahun ini namun setakat ini pembinaannya hanya siap 12 peratus,” katanya.

 Padang bernilai RM1.8 juta itu merupakan yang kedua di Terengganu selepas padang pertama di Kampung Tok Jiring siap pada awal Februari lalu.

 Setakat ini 10 daripada 30 padang sintetik berjaya disiapkan mengikut jadual di seluruh negara.