Halaman

27 October 2013

Bekas Ketua Setiausaha Negara dilantik Canselor pertama UCB

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih) 

Bekas Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman dilantik sebagai Canselor Kolej Teknologi Bestari (UCB) yang pertama, berkuatkuasa semalam, (26 Oktober).

Perlantikan itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Dato’ Dr Haji Tengku Mahmud Mansor pada Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen yang berlangsung di hadapan kira-kira 1,000 pelajar dan tetamu majlis itu.

Selain itu, UCB juga melantik bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Alimudin Mohd Don dan Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Wan Ismail Wan Yusoh sebagai Pro-Canselor.

UCB yang telah ditubuhkan pada tahun 1998 sebelum ini dikenali sebagai Kolej Teknologi Bestari (KTB) seterusnya dinaik taraf menjadi kolej universiti pada Ogos 2012.

Sepanjang 15 tahun beroperasi, UCB telah melahirkan lebih 5,000 graduan dalam pelbagai bidang di peringkat sijil dan diploma.

Dalam majlis ini, Tan Sri Samsudin sempat menyampaikan sijil dan diploma kepada 580 graduan yang tamat pengajian mereka.