Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menubuhkan jawatankuasa khas melalui pasukan media sosial bagi menangani isu kristianisasi, liberalisme dan syiah yang boleh memporak-perandakan masyarakat khususnya golongan muda masa kini.
Yang Dipertuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata saluran media sosial seperti Twitter, Facebook, instagram dan juga laman web menjadi medium paling berkesan bagi memantau isu negatif tiga serangkai itu.
“Selain penggunaan saluran media sosial, wacana seumpama ini juga penting bagi menyedarkan pimpinan masyarakat seperti Pengerusi JKKK, penghulu, ketua kampung, pengurus agensi, ketua jabatan dan sebagainya adalah pemimpin tempatan yang perlu memahami isu ini.
“Selain itu juga program yang sama juga harus dilaksanakan di masjid dan surau bagi memberi kesedaran kepada semua masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kesedaran dan pemahaman orang ramai berkaitan isu ini kian meningkat pada masa kini berbanding dahulu apabila ramai menganggap syiah itu sebahagian daripada mazhab.
Katanya, sekiranya tiada inisiatif dari pelbagai pihak bagi mengekang masalah dan punca isu ini menular bukan sahaja memberi kesan kepada pemesongan akidah, malah menjejaskan kestabilan dan keharmonian negara.
Oleh itu, beliau berkata, persiapan dan perancangan menangani masalah itu ibarat `sediakan payung sebelum hujan’, iaitu mengambil langkah pencegahan awal sebelum ia semakin menular dan sukar dibendung dalam masyarakat.
“Daripada akar, dari pucuk yang baru tercetus itu kita harus buang, sehingga akar umbi kerana dalam realiti sejarah dunia sejak dari awal syiah itu timbul kerana golongan itu berasal dsari politik, mana-mana negara yang membiarkan kumpulan itu bertapak, pastinya akan mencetuskan huru-hara di kalangan umat Islam.
“Jadi kita tidak akan membenarkan soal kestabilan umat Islam itu diperjudikan dalam konteks negara kita,” katanya.