Halaman

31 October 2013

50 keluarga eKasih Daerah Besut dipilih menyertai kursus Modal Insan


Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 50 peserta yang tersenarai dalam eKasih dipilih menyertai Kursus Modal Insan Azam Tani peringkat daerah Besut semalam.
Kursus dua hari anjuran MARDI yang berlangsung di Demong Beach Resort, Besut, bertujuan memberi latihan kepada peserta Azam Tani sebelum mereka menyertai projek pilihan masing-masing.

Selain itu ia juga bertujuan memberi peluang kepada golongan miskin tegar menyertai aktiviti berasaskan penjanaanendapatan tambahan keluarga menerusi projek ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, merasmikan kursus berkenaan dan menyampaikan peralatan kepada peserta terbabit.

Antara peserta terbabit ialah tanaman, ternakan, pemerosesan makanan, perniagaan kecil berasaskan pertanian, menjahit pakaian dan perkhidmatan pertanian, bersih taman dan lanskap.

 Berucap ketika merasmikan kursus itu, Tengku Zaihan berkata, golongan miskin di negeri ini tidak pernah diabaikan sebaliknya, kerajaan menerusi pelbagai agensi berkaitan sentiasa memberi peluang untuk membina hidup lebih baik menerusi kegiatan ekonomi.

Katanya, selain menyediakan latihan dan bimbingan peserta juga diberi kemudahan pelbagai jenis peralatan untuk menjalankan perniagaan berasaskan bidang yang diceburi peserta.

Beliau berharap, selepas tiga bulan menyertai aktiviti berkenaan MARDI akan melakukan pemantauan terhadap semua pesertabagi mempastikan latihan dan kursus yang dihadiri dipraktikan di tempat masing-masing.