Halaman

27 October 2013

Terengganu jadi hab rujukan gamelan seluruh dunia

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri berharap Festival Gamelan Sedunia 2013 akan memberikan impak yang besar bukan sahaja dalam aspek kemasukan penggiat gamelan dari luar negara ini, malah menjadikan Terengganu sebagai hab rujukan gamelan di seluruh dunia.

Haji Mohd Zubir menyempurnakan majlis perasmian Festival Gamelan Sedunia 2013 di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, berkata pihaknya berharap apabila disebut sahaja gamelan, semua pihak terbayang, menyebut dan juga merujuk kepada negeri Terengganu.



“Saya merasakan ini bukanlah satu khayalan, malahan ia merupakan suatu impian yang menuntut semua pihak berganding bahu untuk menjayakannya. Jadikan festival ini sebagai satu titik pemulaan ke arah menjayakan usaha murni ini.

 “Malah, sudah sampai masanya untuk kita terus berusaha agar seni gamelan Melayu kita ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan seni gamelan lain seperti gamelan Jawa dan gamelan Bali yang mampu bertapak di seluruh pelusuk dunia dewasa ini,” katanya ketika merasmikan Festival Gamelan Sedunia 2013, di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

 Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Mohd Shafee dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.


Menteri Besar berharap semua pencinta serta penggiat gamelan jadikan festival itu sebagai satu inspirasi bagi melangkah lebih jauh serta membudayakan gamelan ke dalam roh seni negeri yang dicintai ini.

“Festival gamelan yang dianjurkan di Terengganu ini sahajalah kita berpeluang untuk menikmati ketiga-tiga jenis gamelan dunia, iaitu gamelan Melayu, gamelan Jawa dan juga gamelan Bali secara serentak dalam satu masa.

 "Atau dengan kata lain, hanya dalam festival ini sahaja ketiga-tiga jenis gamelan dunia dipertemukan. Pada saya, ini merupakan satu kelebihan serta satu kehebatan festival yang diadakan ini dan seharusnya disyukuri oleh kita semua,” katanya.

Menurutnya, menjadi harapan kita semua agar festival dwi tahunan yang diadakan buat kali ketiga ini bakal menjadi medan pertemuan pakar-pakar gamelan yang tersohor di seluruh dunia.

Katanya, penggiat serta pencinta seni gamelan tempatan seharusnya merebut peluang ini sebaik-baiknya untuk mempelajari, mencungkil serta menggali seribu satu rahsia dan informasi daripada pakar-pakar ini untuk dimanfaatkan ke arah perkembangan serta pembangunan seni gamelan tempatan, khususnya di Terengganu.

“Untuk merealisasikan hasrat murni seumpama ini, semua pihak seharusnya berganding bahu serta membentuk satu bentuk kerjasama yang erat. Jadikan festival gamelan ini sebagai suatu pemangkin dalam usaha kita untuk mengangkat seni gamelan, khususnya seni gamelan Melayu ke persada antarabangsa,” katanya.