Halaman
02 November 2013
200 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Besut sertai latihan berjalan kaki
Pegawai Rela Daerah Besut, Abd Razak Ishak memegang jalur gemilang melepaskan peserta
Oleh: Mohammad Ishak
Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Daerah Besut, meningkatkan tahap kecergasan anggota di daerah itu dengan mengadakan sesi latihan berjalan kaki dalam usaha memantapkan lagi keupayaan mental dan fizikal ketika menjalankan tugas.
Bagi tujuan itu seramai 200 anggota kumpulan pertama dipilih menyertai latihan yang diadakan pada waktu malam.
Pegawai Rela Daerah, Abd Razak Ishak berkata, pihaknya menetapkan laluan sejauh 10 kilometer bermula dari Kampung Bukit Payong dan berakhir di Kampung La, Hulu Besut.
Katanya, peserta termasuk wanita menunjukkan tahap kecergasan dan ketahan diri yang baik dan mampu menamatkan perjalanan tanpa menghadapi sebarang masalah.
Menurutnya, kejayaan program pertama itu menjadi asas kepada agensi terbabit untuk menganjurkan sesi latihan selanjutnya membabitkan semua anggota tanpa mengira pangkat.
Sementara itu, penyelaras Rela Mukim Hulu Besut, Abdul Rani Ibrahim berkata, menerusi latihan itu semua anggota mendapat sedikit pengalaman terutama berjalan kaki pada waktu malam pada jarak yang agak jauh.
Katanya, anggota terutama wanita sanggup meninggalkan keluarga dan anak kerana ingin mencuba pengalaman baru dengan berjalan kaki dan mereka mampu bersaing dengan anggota lelaki.