Halaman

31 October 2013

Fahami hak wanita dalam perundangan : To' Puan Norliza

Oleh: Aida Abd Rahman



Setiap wanita memiliki hak dalam rumah tangga, di tempat kerja dan sebagai anggota masyarakat boleh mengambil tindakan undang-undang jika berdepan masalah dan gangguan sebagaimana diperuntukkan dalam perundangan negara.

Penaung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, berkata banyak hak-hak wanita yang terdapat dalam perundangan , tetapi luar pengetahuan golongan itu kerana tidak mendapat pendedahan yang tepat dan sewajarnya.

 “Saya sangat berharap dengan adanya seminar sebegini, dapat membantu serta memberi ilmu pengetahuan kepada semua. Tajukyang sangat khusus ini begitu penting kerana di dalamnya kita dapat mengetahui hak-hak kaum wanita.

“Dengan informasi yang disampaikan oleh barisan panel tadi, membuka minda dan pemikiran kita bahawa keistimewaan kaum hawa diletakkan tinggi dalam Islam,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Perundangan Dan Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu 2013, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II Puspanita Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Maimunah Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Insan Yayasan Islam Terengganu (YIT), Ustaz Ahmad Fadluldin Mohamad.



Turut hadir, dua ahli panel, Penolong Pengarah Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pahang, Ustaz Badly Shah Alaudin dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datin Noor Aziah Mohd dan moderatornya, Ustaz Haji Muhammad Ramli Haji Nuh.

To’ Puan Seri Hajah Norliza berkata, menerusi seminar juga mampu memberi kefahaman bagaimana wanita boleh mempertahankan diri dan mencegah jenayah yang semakin menjadi-jadi pada masa kini.

Katanya, program anjuran Puspanita dengan kerjasama YIT itu juga dapat menyebarluas kefahaman mengenai keindahan dan keistimewaan perundangan yang boleh digunapakai dan melindungi hak wanita.



“Pada masa yang sama, program ini juga menjadi medium yang dapat menarik perhatian kepada masalah, isu dan keperluan golongan wanita yang perlu dikenalpasti,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan wanita bahawa kebahagiaan golongan itu terletak di tangan masing-masing untuk memilih yang terbaik buat diri kita.

Katanya, wanita tidak seharusnya berputus-asa apabila berdepan dengan masalah kerana akan ada jalan penyelesaian serta hikmah pada setiap kejadian.