Halaman

02 November 2013

Kegagalan saksi tampil, bantut kes jenayah seksual : Prof Datin Noor Aziah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan saksi kejadian gangguan seksual tampil membantu memberi keterangan kepada pihak berkuasa menyebabkan banyak kes jenayah melibatkan wanita itu gagal diselesaikan dengan cepat, kata Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

“Kesukaran orang ramai tampil menjadi saksi setiap kes walaupun mereka mengetahui secara langsung dan berada di tempat kejadian menimbulkan masalah untuk mempercepatkan proses perundangan kes gangguan seksual.

 “Oleh itu, kesedaran orang ramai perlu dipertingkatkan lagi menerusi pelbagai forum, seminar dan juga diskusi yang dilaksanakan pelbagai pihak dan agensi bagi membantu menangani, memberi keyakinan sekaligus memperkasakan lagi kedudukan serta martabat golongan wanita di negara kita,” katanya di Seminar Perundangan Dan Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu 2013, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Program dirasmikan Penaung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II Puspanita Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Maimunah Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Insan Yayasan Islam Terengganu (YIT), Ustaz Ahmad Fadluldin Mohamad.

Seramai 1,000 ahli Puspanita seluruh Terengganu hadir ke majlis itu.

Selain itu, Prof Datin Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata enam punca wanita sering mendiamkan diri dan tidak melaporkan gangguan seksual yang dihadapi mereka adalah disebabkan perasaan malu, kesan publisiti, bimbang diperbodohkan, takut dibuang kerja, tiada dan tidak mengetahui prosedur membuat laporan serta tiada keyakinan kepada sistem perundangan yang ada.

Katanya, kesan gangguan seksual boleh mengakibatkan implikasi kepada maruah dan semangat, selain produktiviti kerja merudum, tempat bekerja sebagai tempat menakutkan dan keselamatan pekerja terancam.