Halaman

29 October 2013

70,000 pelajar ikuti KAFA

Oleh: Suriati Ali 

Kira-kira 70,000 pelajar sekolah rendah di negeri ini sedang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sebagai langkah mendidik mereka mendalami ilmu al-Quran dan perkara asas berkaitan fardu ain.

Program KAFA yang diselia Yayasan Terengganu (YT) dibimbing 3,200 guru bertauliah membabitkan kira-kira 3,000 kelas, termasuk surau, balai raya dan bangunan persendirian.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, pelajar berusia antara lapan hingga 12 tahun yang mengikuti program itu akan dibimbing mengikut garis panduan supaya mampu menguasai Al-Quran dan memahami serta mengamal perkara asas fardu ain.

“Apa yang membanggakan pencapaian Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) sentiasa meningkat, hampir setiap tahun.

“Bagi tahun 2012 terdapat seramai 189,590 orang calon UPKK Terengganu dan seramai 181,631 calon lulus (99.99%),” katanya.

Katanya, Terengganu juga memperoleh pencapaian terbaik di mana mendapat tempat kedua jumlah murid yang mendapat 8A (seramai 3,784 orang) dan tempat ketiga UPKK dengan Gred purata sekolah (GPS) 1.64.

“Mendahului Gred Purata Sekolah (GPS) adalah Negeri Selangor dengan GPS 1.55, diikuti Melaka GPS 1.59. “UPKK menjadi kriteria utama yang diambil kira bersama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), untuk kemasukan pelajar-pelajar ke Sekolah Menengah Agama Negeri-Negeri dan Persekutuan, ke tingkatan satu.

 “Perkara ini secara tidak langsung telah mendorong dan memberi motivasi bagi murid-murid untuk mengikuti kelas KAFA,” katanya.

 

Terengganu jadi tumpuan venue sukan

Oleh: Suriati Ali 

Terengganu bakal menjadi venue utama dalam beberapa kejohanan sukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sebagai langkah mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Terbaru, lebih 3,000 atlet berkampung sejak awal minggu lalu dalam beberapa siri kejohanan yang diadakan sekaligus mampu memperkenalkan keunikan Terengganu kepada pihak luar.

 Aktiviti itu, termasuk Kejohanan Taekwando Sekolah-sekolah Malaysia; Kejohanan Sukan Mahasiswa; Kejohanan Sukan Mahasiswa UiTM (KARiSMA); Sukan MAKSAK sepak takraw, badminton serta Kejohanan Sukan Telekom Malaysia.

Ketua Sekretariat TMT), Encik Ahmad Fathil Abd Ghani berkata sejak dilancarkan awal tahun ini, lebih 20 kejohanan sudah berlangsung dalam usaha mempergiatkan promosi TMT.

“Pemilihan Terengganu sebagai lokasi penganjuran acara sukan bukan saja disebabkan negeri ini mempunyai prasarana yang baik, malah turut menyediakan destinasi dan produk pelancongan yang menarik.

 “Selain menyertai sukan dipertandingkan, atlet terbabit berpeluang melihat dan merasai sendiri hidangan tempatan tersohor seperti nasi dagang, kuih muih, keropok lekor dan juga barangan cederamata,” katanya.

Katanya, malah ada beberapa lagi acara sukan di peringkat antarabangsa bakal berlangsung seperti Kejohanan Perahu Layar (Monsun Cup) yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan depan.

“Dijangka sebanyak 12 pasukan perahu layar akan tiba di negeri ini bagi menyertai sirkit terakhir sebelum dinobatkan selaku juara `World Match Racing Tour,” katanya.

 

Jaga kebajikan saudara baru, kekal beragama Islam : Dato' Mohd Rozali

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menasihatkan semua pihak yang berhasrat untuk membawa masuk 'saudara baru' dari luar Terengganu memeluk Islam di negeri ini supaya bertanggungjawab menjaga kebajikan golongan itu agar lebih terbela dan kekal beragama Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Rozali Saleh berkata, pihaknya mahu mengelak berlaku masalah penjagaan kebajikan dan bimbingan yang berterusan terhadap golongan mualaf berkenaan berikutan saudara baru itu bukan berasal dari negeri ini.

“Jadi kita berharap, jika boleh pihak yang bertanggungjawab membawa mereka memeluk Islam itu mengambil inisiatif melakukannya segera di negeri masing-masing bagi mengelak timbul kesulitan, malah cara itu juga tidak menepati syarak memandangkan perjalanan jauh dan melambatkan urusan murni itu.

"Lebih baik kita ambil mereka yang dari Terengganu untuk masuk Islam di sini, tak perlu bawa orang luar Terengganu untuk memeluk Islam di sini memandangkan setiap negeri mempunyai  pusat dan jabatan agama yang boleh menjalankan urusan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Wacana Pemantapan Akidah (Kristianisasi, Liberalisme dan Syiah) peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dato’ Mohd Rozali yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu juga tidak menolak terdapat mualaf yang kembali kepada agama asal mereka disebabkan beberapa faktor termasuk akibat dipulau keluarga sendiri serta menjadi mangsa ugutan pihak lain.

Berdasarkan rekod, purata kira-kira 100 orang setahun memeluk agama Islam di negeri ini yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bukan warganegara termasuk Vietnam, Myanmar, Filipina dan Thailand.

Dalam pada itu, katanya, Maidam memperuntukkan kira-kira RM8 juta setahun bagi keperluan golongan asnaf mualaf di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan golongan mualaf di negeri ini kerana pelbagai bantuan disediakan termasuk bantuan pembiayaan perubatan, keperluan harian seperti makan minum, bantuan sara diri secara bulanan, pengajaran agama, bantuan modal dan persekolahan anak-anak di seluruh negeri Terengganu.


Dua puluh tujuh sekolah berisiko dilanda banjir

Sebanyak 27 buah sekolah rendah dan menengah di empat daerah di Terengganu terletak di kawasan berisiko dilanda banjir semasa musim tengkujuh ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Tuan Haji Zakaria Husin berkata semua sekolah berkenaan di daerah Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu sudah diberi taklimat persediaan bagi menghadapi bencana akhir tahun itu.

“Pihak pengurusan beberapa sekolah di daerah berkenaan telah diberi taklimat mengenai persediaan bagi menempatkan mangsa banjir di sekolah masing-masing,” katanya.

 Menurutnya, kebanyakan sekolah di negeri itu sedangkan menjalankan peperiksaan akhir tahun dan proses mengembalikan pinjaman buku teks akan bermula minggu depan sebelum cuti sesi persekolahan bermula 15 November ini.


28 October 2013

Maidam sedia pembiayaan perubatan secara percuma kepada mualaf

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyediakan kemudahan pembiayaan perubatan dan rawatan secara percuma kepada semua mualaf di seluruh Terengganu sejak awal tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Rozali Saleh, golongan berkenaan yang mahu mendapatkan kemudahan itu perlu mendaftar dan memberi maklumat mengenai klinik dan ubatan yang digunakan untuk rujukan Maidam serta pusat rawatan berkenaan.

“Jika masa lalu, ada kesukaran sedikit, mereka (mualaf) datang ambil bantuan RM100 balik, dan selepas tempoh enam bulan mereka datang lagi, kadangkala tanpa menemui pegawai mereka balik, dan perkara ini berlaku di masa lalu.

 “Saya beri jaminan, jika sekarang kalau mereka datang ke Pejabat Maidam sekiranya memerlukan bantuan, datang jumpa saya atau pegawai, kita akan ambil nama dia, maklumat klinik dan ubatan itu,” katanya katanya kepada pemberita, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Mohd Rozali yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, Maidam akan menjelaskan bil perubatan itu secara terus kepada klinik terbabit berdasarkan tuntutan pusat rawatan berkenaan.

Menurut beliau, bantuan pembiayaan perubatan disediakan kepada golongan itu diberikan tanpa had serta kadar caj rawatan, sebaliknya bergantung kepada keperluan pesakit itu sendiri.

“Kita akan bayar terus kepada kilinik sebagaimana tuntutan klinik berkenaan. Jadi, mereka tidak lagi perlu perlu datang ke pejabat kita,” katanya.

Menurutnya, Maidam bukan hanya menyediakan bantuan pembiayaan perubatan, bantuan lain termasuk keperluan harian seperti makan minum, bantuan sara diri secara bulanan, pengajaran agama, bantuan modal dan persekolahan anak-anak di seluruh negeri Terengganu.


UMT sasar tambah pelajar kepada 8500 orang menjelang 2015

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merancang meningkatkan bilangan pelajar kepada 8500 orang menjelang 2015 dan kepada 10000 orang apabila negara mencapai status maju pada tahun 2020.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, UMT berusaha memantapkan dan meningkatkan kualiti program sedia ada agar dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dihasilkan sekali gus menarik minat bakal pelajar ke UMT.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, kita bercadang memperkenalkan pelan strategik bagi menambat hati pelajar cemerlang di peringkat sekolah lagi.

“Melalui pelan ini, kita bercadang untuk mengadakan program-program yang melibatkan pelajar cemerlang di peringkat sekolah khususnya pelajar tingkatan 4 dan 5,” ujarnya.

Katanya, pelajar tersebut akan didedah dan diperkenalkan kepada UMT supaya menarik minat mereka untuk menyambung pengajian di sini apabila tamat persekolahan nanti.

“Selain itu, kita juga bercadang umtuk memperkenalkan program kontinum diploma-sarjana muda-sarjana melalui laluan pantas (fast-track) kepada pelajar cemerlang lepasan SPM.

Pada masa ini, UMT mempunyai sekitar 7000 pelajar prasiswazah dan 763 pelajar pascasiswazah.






YB. A.Latiff pemimpin berwawasan, cakna rakyat

Oleh : Amirullah Othman 




Ketua Umno Bahagian Marang, Y.B. A. Latiff Awang, yang baru dipilih memegang jawatan itu pada 19 Oktober lalu, dilihat amat sesuai menerajui bahagian ini dan pemilihannya amat tepat kerana beliau merupakan wakil rakyat tunggal Barisan Nasional (BN) yang menang pada Pilihanraya Umum Ke- 13.

Beliau juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu yang boleh mengembalikan penyatuan dan kesetiaan bagi mengukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan ahli UMNO selepas pemilihan kepimpinan UMNO Bahagian Marang selesai bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke 14 nanti.


Y.B A.Latiff bukan sahaja dilihat sebagai pemimpin pilihan rakyat dari akar umbi, namun beliau mampu dan mempunyai kelebihan untuk menjadikan Marang sebagai sebuah daerah yang beridentiti dan bertransformasi.

Beliau juga mampu mengubah lanskap politik di Bahagian Marang dengan suntikan semangat baru yang lebih segar untuk merampas kembali DUN Rhu Rendang, DUN Bukit Payong, DUN Alor Limbat serta Parlimen Marang, di samping mengekalkan kemenangan di DUN Pengkalan Berangan.

Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat ini bertekad menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin dalam memperjuangkan inspirasi dan keluhan masyarakat di peringkat akar umbi.

 “Saya akan memastikan keperluan masyarakat di setiap cawangan diberikan perhatian dan pembangunan pula akan dijalankan secara lebih menyeluruh di seluruh parlimen Marang,” katanya ketika ditemui Teganukita.

Beliau memberi jaminan untuk menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan Marang akan menjadi sebuah daerah yang beridentiti dan bertransformasi dalam sektor pelancongan, pertanian, perikanan, perindustrian, perniagaan termasuk sektor pendidikan dan latihan kemahiran.

 “ Sebagai wakil rakyat tunggal daripada Barisan Nasional di Marang, saya bertanggungjawab membantu kerajaan dalam membawa perubahan khususnya perubahan ekonomi dalam kalangan masyarakat masih banyak yang perlu dilakukan”, katanya .

 

Kementerian Pendidikan akan manfaatkan peruntukan kerajaan

Oleh: Mohammad Ishak

Idris ketika melawat pamerah bilik sejarah di SMK Seri Pelagat,Besut
Kementerian Pendidikan akan mafaatkan peruntukan RM54.6 bilion daripada bajet yang diummkan Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri,Dato'Seri Najib Tun Razak, jumaat lalu untuk meningkatkan sistem pendidikan negara

Menteri Pendidikan II,Dato' Seri Idris Jusoh berkata, peruntukan terbesar yang diberikan kepada kementerian terbabit membuktikan kerajaan mengutamakan pendidikan bagi mempastikan semua rakyat mendapat faedah.

Katanya, kementerian akan memberi fokus kepada pencampaian akademik pelajar,kemahiran dan Teknoli Maklumat (IT) selaras dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, insentif lain yang diummkan kerjaan termasuk pembinaan lebih banyak sekolah baru,geran penyelidikan,penyelenggaran bangunan dan boucur buku sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasakan bidang pendididikan.

“Menerusi pelan pembangunan pendidikan juga kementerian berharap guru memberi perhatian serius terhadap bidang akademik pelajar supaya mereka dapat menerimnya secara kolektif,” katanya selepas merasmikan Hari Ucapan dan Anugerah Kecemerlangan, Sekolah Menengat Seri Pelagat, dekat sini, semalam.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, kementerian juga akan menubuhkan lebih banyak institusi kemahiran bagi memberi peluang pelajar yang gagal dalam akademik dapat meneruskan minat mereka dalam pelbagai bidang kemahiran.

Katanya, guru juga perlu memberi perhatian terhadap masalah sosial, nilai kemanusiaan dan mendekati pelajar miskin supaya mereka tidak diabaikan dalam pembelajaran di sekolah.

Mengulas isu lembu korban di sebuah sekolah yang mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak, Idris berkata, pentadbir sekolah termasuk pengetua dan guru besar dinasihatkan supaya berbincang dengan pihak tertentu sebelum aktiviti keagamaan dapat dijalankan di sekolah bagi mengelak sensitiviti pihak lain.

“Menerusi perbincangan dan persetujuan semua pihak diharap sesuatu aktiviti terutama yang mengaitkan keagamaan dapat dihindarkan daripada berlakunya salah faham dan rasa kurang senang pihak lain,” katanya.

Kelompok syiah perlu ditangani segera : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kewujudan kelompok syiah di kalangan masyarakat negara ini perlu ditangani segera kerana boleh memecah-belahkan masyarakat Islam di rantau ini yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Sememangnya kebanyakan daripada kita mengetahui banyak perkara yang menunjukkan kesesatan syiah.

“Selain dari segi akidah yang menyeleweng, terdapat juga amalan seperti nikah mutaah yang berleluasa di kalangan pengikut Syiah,” katanya ketika berucap sempena Wacana Pemantapan Akidah 2013 (kristianisasi, liberalisme & syiah) peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.



Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Menteri Besar, berkata amalan seperti itu bukan sahaja memalukan tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada institusi kekeluargaan.

 “Ini jelas sekali bertentangan dengan ajaran sebenar Islam yangamat emmenting pemeliharan susur galur keturunan.

 “Ajaran dan fahaman syiah bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam dan menjadi ancaman kepada perpaduan umat, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara khususnya di Malaysia,” katanya.



Beliau berkata, fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya berkembang di Malaysia berdasarkan kepada percanggahan yang terdapat dalam fahaman tersebut sama ada dari sudut akidah, syariah dan pelbagai penyelewengan yang lain.

Menurutnya, umat Islam sewajarya sedar pada masa kini, pelbagai pihak sedang cuba menangkis kedudukan Islam dan kesucian agama di negara ini yang dilakukan tanpa henti dan jemu.





Terengganu jadi lokasi pertemuan pakar gamelan

 Oleh: Suriati Ali




 Kerajaan negeri berharap Festival Gamelan Sedunia terus bertapak di Terengganu kerana mampu memberi pendedahan seni dan maklumat bercorak pembelajaran kepada masyarakat setempat, terutama pecinta budaya.

 Pada masa sama, menjadi medan pertemuan ramai pakar dan peminat gamelan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Jepun dan Thailand yang menyertai festival itu.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Mohd Shafie, berkata pihaknya sebolehnya mahu menjadikan Terengganu sebagai plaftform mengenengahkan pelbagai seni gamelan, termasuk budaya Melayu kepada aktivis luar negara.



“Sudah sampai masa dan ketikanya untuk menjadikan gamelan Melayu ini menjadi hebat dan bertaraf lima bintang, setanding dengan gamelan-gamelan lain yang sudah tersohor sebagaimana gamelan Jawa dan Bali,.

“Langkah itu dianggap penting kerana mampu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk menggalakkan pelancong terus mengunjungi negeri ini sekaligus mampu memperkenalkan budaya dan keindahan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Festival Gamelan Sedunia 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaaan Negeri (Pengurusan), Mat Yasin Awang dan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Encik Mohd Yusof Abdullah Festival selama tiga hari itu bermula 25 Oktober disertai 15 kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara, membabitkan kumpulan gamelan profesional, kumpulan Institusi Pengajian Tinggi dan kumpulan pelajar sekolah.



Antara kumpulan yang menyertai, termasuk Sanggar Singamurthi, Seni Benawa, Garasi dari Indonesia; Lambangsari, Japan Gamelan, Jepun dan Club dan Gastarana dari Bukit Tinggi Sumatera.



Manakala kumpulan dari dalam negara pula adalah seperti Hand Percussion, Istana Budaya, Akademi Senibudaya dan Warisan Malaysia, Kumpulan Kesenian Kerajaan Terengganu dan Kumpulan Warisan Negeri Terengganu.

Encik Mohd Yusof berkata, festival itu memberikan nafas baru kepada kesinambungan dan perkembangan muzik itu agar terus subur dan tersohor di serata negara.

“Festival itu akan diteruskan kerana sememangnya mampu memberi ruang kepada masyarakat terutama pelajar bidang berkaiatan supaya dapat mengenali dan mencintai seni gamelan,” katanya.