Halaman

01 November 2013

65 kakitangan JKR naik pangkat tahun ini

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Syazni Zainudin, Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih) 

Seramai 65 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu menerima kenaikan pangkat sepanjang tahun ini.

Yang Di Pertua Kesatuan Pekerja-pekerja JKR Negeri Terengganu, Salleh Samat berkata, sebilangan besar kakitangan jabatan itu yang mengambil peperiksaan dalaman lulus dan berjaya dinaikkan pangkat.

“Pekerja yang berjaya lulus dalam ujian kenaikan pangkat nyata gembira apabila keputusannya dikeluarkan dalam peperiksaan yang dijalankan pada tahun lepas.

“Walaupun diberi kenaikan pangkat, mereka tidak akan dipindahkan ke cawangan lain dan akan terus kekal di tempat mereka bekerja sekarang”, katanya ketika ditemui semasa Mesyuarat Agung Kali Ke-40 Kesatuan Pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya Terengganu di PusatDagangan terengganu (TTC) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar serta Pengarah JKR Terengganu, Dato’ Ir Shafii Mohamad.

Salleh berkata, kebanyakan yang terlibat dalam kenaikan pangkat terdiri daripada tukang k2 dan k3.

Tambahnya lagi, jabatan juga turut memberi bantuan kepada ahli-ahli yang berdaftar dengan pihak kesatuan seperti bantuan kesihatan dan pendidikan kepada anak-anak ahli yang menyambung pelajaran.

“Lebih RM10, 000 setahun dibelanjakan untuk bantuan kesihatan dan RM15,000 pula dikeluarkan bagi bantuan pendidikan”, ujarnya.

 

Masjid Gong Terap beri keselesaan kepada jemaah.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail. 

Masjid Gong Terap, Setiu.
BAGI menampung jemaah solat Jumaat dan sembahyang dua hari raya yang semakin bertambah, kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir negeri Terengganu meluluskan pembinaan sebuah masjid baru di Kampung Gong Terap, Calok, Setiu yang lebih besar dan indah pada 2009 lalu.

Jika sebelum itu, jemaah terpaksa bersesak di bahagian sah belakang untuk bersolat tetapi dengan siapkan masjid baru itu, suasana yang lebih selesa dan tenang dapat dirasai jemaah untuk menunaikan solat fardu dan melakukan ibadah sunat.

Hashim..Imam1.
Imam(I)masjid itu, Hashim Shafie berkata, usaha Jawatankuasa Masjid dengan kerjasama Adun ketika itu untuk mendapatkan sebuah masjid baru tidak sia-sia apabila kerajaan bersetuju membina masjid baru di atas tanah yang sama dengan masjid asal iaitu seluas satu setengah ekar.

"Kami tidak menunggu terlalu lama untuk mendapat kelulusan membina masjid baru bagi mengantikan masjid lama yang tidak lagi dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat setiap tahun.

Keperihatinan kerajaan terhadap masalah yang kami hadapi ini memberi banyak keselesaan kepada jemaah," katanya mengenai masjid yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah itu.

Hashim berkata, pelbagai aktiviti keagamaan dilakukan di masjid itu, antaranya ialah sarahan agama pada setiap malam ahad dan kuliah jumaat.

"Seorang ustaz dari sebuah kolej mengajar agama pada setiap malam ahad dan seorang ustaz lagi dari kampung ini mengajar tafsir setiap kali sebelum masuk waktu solat jumaat. Sambutan orang ramai terhadap ceramah agama ini amat mengalakan iaitu kira-kira 50 orang hadir.

"Pada setiap malam jumaat pula diadakan bacaan yasin dan solat hajat manakala aktiviti lain ialah gotong-royong bersih masjid dan tempat akad nikah pasangan yang berkahwin," katanya.

Papan tanda masjid.
Masjid yang dikendalikan tiga iman dan tiga bilal itu juga mempunyai satu keunikan tersendiri ialah terdapat sebuah beduk lama yang dipercayai berusia lebih 50 tahun masih boleh digunakan.

"Masa saya mula datang ke kampung ini dahulu, beduk itu sudah ada malah hingga sekarang beduk itu kelihatan masih kukuh dan boleh dipukul dan mengeluarkan bunyi yang agak kuat," katanya.
Luas..ruang dalaman yang luas.

Seni...mimbar yang dihiasi khat.
Rehat...wakaf rehat disediakan.
Cantik...ruang letak kereta imam dan bilal.
Ukir...kayu ukiran juga terdapat di bahagian depan masjid.
Wuduk...kolah untuk berwuduk.
Lama..beduk berusia lebih 50 tahun.




Iskandar giat bantu BN di Sungai Limau.

Oleh: Aminudin Ismail.

Tulus..Iskandar bersemangat memasang bendera parti.
BANDAR PERMAISURI: Sekalipun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat namun Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar sempat meluangkan masa berkunjung ke Sungai limau, Kedah untuk membantu jentera parti Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya kecil Dun itu pada Isnin ini (4hb November 2013).

Sebagai Exco Pemuda Umno Malaysia, adalah menjadi tugasnya untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya itu, kerana itulah beliau dan ketua pemuda serta beberapa jawatankuasa pemuda yang lain bertungkus-lumus menjalankan kempen supaya BN menang di Sungai Limau.

Pelbagai akviti dilakukan Iskandar dan rakan-rakan pemuda yang lain sepanjang berada di Sungai Limau termasuklah memasang bendera BN dan bergerak dari rumah ke rumah bertemu penduduk.

"Dengan usaha ini, saya mengharapkan penduduk Sungai Limau akan memilih BN pada pilihanraya kecil Isnin ini dan Insya Allah, kita akan dapat mandat semula kawasan ini selepas lama ditadbir pembangkang," katanya ketika dihubungi Teganukita.

Barikut ialah gambar-gambar aktiviti yang membabitkan Iskandar sepanjang berada di Sungai Limau, Kedah:-
Ronda..menaiki motosikal meronda kampung berkempen.
Mesra...walaupun baru kenal, Iskandar mesra dengan penduduk.


Sapa...Iskandar sedang menyapa seorang penduduk.  
Rapat...sedang berbincang sesuatu dengan Menteri Dalam Negeri.
Bergambar..Iskandar bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan rakan-rakan.
Bantu...Iskandar mengiringi calon BN berkempen.
Jelajah...bersama petugas BN menjelajah kampung.

 

31 October 2013

50 keluarga eKasih Daerah Besut dipilih menyertai kursus Modal Insan


Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 50 peserta yang tersenarai dalam eKasih dipilih menyertai Kursus Modal Insan Azam Tani peringkat daerah Besut semalam.
Kursus dua hari anjuran MARDI yang berlangsung di Demong Beach Resort, Besut, bertujuan memberi latihan kepada peserta Azam Tani sebelum mereka menyertai projek pilihan masing-masing.

Selain itu ia juga bertujuan memberi peluang kepada golongan miskin tegar menyertai aktiviti berasaskan penjanaanendapatan tambahan keluarga menerusi projek ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, merasmikan kursus berkenaan dan menyampaikan peralatan kepada peserta terbabit.

Antara peserta terbabit ialah tanaman, ternakan, pemerosesan makanan, perniagaan kecil berasaskan pertanian, menjahit pakaian dan perkhidmatan pertanian, bersih taman dan lanskap.

 Berucap ketika merasmikan kursus itu, Tengku Zaihan berkata, golongan miskin di negeri ini tidak pernah diabaikan sebaliknya, kerajaan menerusi pelbagai agensi berkaitan sentiasa memberi peluang untuk membina hidup lebih baik menerusi kegiatan ekonomi.

Katanya, selain menyediakan latihan dan bimbingan peserta juga diberi kemudahan pelbagai jenis peralatan untuk menjalankan perniagaan berasaskan bidang yang diceburi peserta.

Beliau berharap, selepas tiga bulan menyertai aktiviti berkenaan MARDI akan melakukan pemantauan terhadap semua pesertabagi mempastikan latihan dan kursus yang dihadiri dipraktikan di tempat masing-masing.


JKR terima laporan terperinci runtuhan bumbung Masjid Kampung Tebauk

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu telah menerima laporan terperinci mengenai runtuhan bumbung Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal daripada Unit Forensik JKR Pusat.

Pengarahnya, Dato’ Ir Shafii Mohamad (gambar) berkata, pihaknya baru mendapat laporan berkenaan dan akan membuat penilaian terhadap laporan itu.

“Setelah semua masalah dikenal pasti kita akan melaksanakan projek itu secepat mungkin, selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang meminta masjid berkenaan dibaik pulih dengan kadar segera supaya dapat digunakan dengan lebih selesa oleh orang ramai.

“Kita juga akan berbincang balik dengan kontraktor dan pembekal yang baru dilantik untuk melakukan kerja-kerja pemasangan semula bumbung Masjid Kampung Tebauk,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Mesyuarat Agung Kali-40 Kesatuan Pekerja-Pekerja JKR Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar serta Yang Di Pertua Kesatuan Pekerja-Pekerja JKR Negeri Terengganu, Salleh Samat.

Menurut Dato’ Ir Shafii, pihaknya terpaksa mengambil masa sebelum kerja-kerja baik pulih dijalankan kerana banyak perkara yang perlu dikenalpasti dan disiasat dengan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sebelum ini, Teganukita melaporkan sebahagian bumbung dan siling Masjid kampung Tebauk, Bukit Tunggal runtuh dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi 29 September lalu.

Hampir 20 peratus atau keluasan 10x15 meter bumbung di bahagian ruang solat yang bernilai RM5.8 juta itu runtuh dipercayai berpunca daripada masalah kekuda.

Bagaimanapun, masjid yang dibina pada Januari 2010 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2011 itu masih dapat digunakan setelah ia didapati selamat, kecuali bahagian yang terlibat dengan runtuhan yang terpaksa ditutup berikutan kerja kajian yang perlu dilakukan oleh Unit Forensik.

Bahagian lain masjid dapat digunakan bagi tujuan solat dan sebagainya kerana hasil pemeriksaan mendapati tiada tanda runtuhan berikutan bumbung masjid tersebut dibina secara berasingan.

 

Fahami hak wanita dalam perundangan : To' Puan Norliza

Oleh: Aida Abd Rahman



Setiap wanita memiliki hak dalam rumah tangga, di tempat kerja dan sebagai anggota masyarakat boleh mengambil tindakan undang-undang jika berdepan masalah dan gangguan sebagaimana diperuntukkan dalam perundangan negara.

Penaung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, berkata banyak hak-hak wanita yang terdapat dalam perundangan , tetapi luar pengetahuan golongan itu kerana tidak mendapat pendedahan yang tepat dan sewajarnya.

 “Saya sangat berharap dengan adanya seminar sebegini, dapat membantu serta memberi ilmu pengetahuan kepada semua. Tajukyang sangat khusus ini begitu penting kerana di dalamnya kita dapat mengetahui hak-hak kaum wanita.

“Dengan informasi yang disampaikan oleh barisan panel tadi, membuka minda dan pemikiran kita bahawa keistimewaan kaum hawa diletakkan tinggi dalam Islam,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Perundangan Dan Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu 2013, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II Puspanita Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Maimunah Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Insan Yayasan Islam Terengganu (YIT), Ustaz Ahmad Fadluldin Mohamad.



Turut hadir, dua ahli panel, Penolong Pengarah Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pahang, Ustaz Badly Shah Alaudin dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datin Noor Aziah Mohd dan moderatornya, Ustaz Haji Muhammad Ramli Haji Nuh.

To’ Puan Seri Hajah Norliza berkata, menerusi seminar juga mampu memberi kefahaman bagaimana wanita boleh mempertahankan diri dan mencegah jenayah yang semakin menjadi-jadi pada masa kini.

Katanya, program anjuran Puspanita dengan kerjasama YIT itu juga dapat menyebarluas kefahaman mengenai keindahan dan keistimewaan perundangan yang boleh digunapakai dan melindungi hak wanita.



“Pada masa yang sama, program ini juga menjadi medium yang dapat menarik perhatian kepada masalah, isu dan keperluan golongan wanita yang perlu dikenalpasti,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan wanita bahawa kebahagiaan golongan itu terletak di tangan masing-masing untuk memilih yang terbaik buat diri kita.

Katanya, wanita tidak seharusnya berputus-asa apabila berdepan dengan masalah kerana akan ada jalan penyelesaian serta hikmah pada setiap kejadian.









Cabaran Nafiizwan berakhir


Cabaran Malaysia di Kejohanan Skuasy Lelaki Dunia 2013 di Manchester, England, berakhir apabila pemain nombor dua kebangsaan Mohd Nafiizwan Adnan kalah dalam pusingan kedua kejohanan itu pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut laman web kejohanan itu www.mensworldsquashchampionship2013.com, pemain kelahiran Terengganu berusia 27 tahun itu memberi tentangan sengit kepada pemain pilihan ke-14 dari Australia Cameron Pilley dalam pertarungan selama 80 minit sebelum mengakhiri perlawanan dengan 9-11, 3-11, 11-9 dan 6-11 di National Squash Centre di Manchester.

Terdahulu, pemain nombor satu negara Ong Beng Hee terkeluar daripada kejohanan apabila kalah dalam tiga set kepada pemain pilihan ke-11 Omar Mosaad dari Mesir pada Selasa. Pada pusingan ketiga, Pilley akan bertemu pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Ramy Ashour dari Mesir, manakala Mosaad dijadual berdepan dengan pemain nombor empat dunia Nick Matthew dari England.


Anak Terengganu mara ke pusingan kedua kejohanan skuasy dunia

Atlet kelahiran Terengganu, Mohd Nafiizwan Adnan yang juga pemain nombor dua Malaysia, mengiringi Ong Beng Hee ke pusingan kedua Kejohanan Dunia Skuasy Lelaki 2013 di Manchester, England.

Pemain berusia 27 tahun itu mendapat tentangan hebat daripada pemain Mesir Mazen Hesham sebelum menang 11-8, 12-10, 4-11, 8-11, 13-11 dalam perlawanan penuh mendebarkan di Manchester Central Convention Complex pada pagi Selasa.

Terdahulu, Beng Hee menempah tempat ke pusingan kedua setelah mengalahkan Karim Abdel Gawad, juga dari Mesir, dalam satu lagi perlawanan lima set pada Isnin untuk menentang pemain pilihan ke-11 Omar Mosaad, semalam.

Mohd Nafiizwan berkata dia hilang fokus dalam set ketiga dan keempat, yang menyebabkan lawannya mengambil kesempatan daripada itu.

"Dalam set kelima, saya rasa saya bernasib baik! Dia berada hampir dengan mata penamat 10/7, tapi saya bertahan di situ dan cuba untuk kekal di gelanggang dengan membalas semua pukulannya.

"Dia (Mazen) agak kurang bernasib baik, tapi dia boleh menjadi pemain hebat, cuma hari ini bukan harinya dan harinya akan datang nanti," demikian kata Mohd Nafiizwan yang dipetik daripada laman web kejohanan ini www.mensworldsquashchampionship2013.com.

Mohd Nafiizwan dijangka menghadapi perjalanan getir pada pusingan kedua apabila menentang pemain pilihan ke-14 Australia Cameron Pilley pada pukul 4 petang waktu tempatan (12 tengah hari Rabu, waktu Malaysia).

 Mereka pernah bertemu dua kali iaitu pada pusingan kedua Kejohanan Dunia 2012 di Qatar dan pusingan pertama Kuwait PSA Cup pada awal Mac tahun ini, yang dimenangi pemain Australia itu.

YB Khairy minta padang rumput sintetik siap ikut jadual

Oleh: Suriati Ali

Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin mengingatkan kontraktor pembinaan Padang Rumput Sintetik, di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu, menyiapkan projek itu dengan kadar segera.

 Katanya, dia kecewa dengan kelewatan projek itu yang sepatutnya siap mengikut jadual pada akhir Disember ini.

“Pihak kami sebolehnya tidak mahu masalah kerja-kerja tanah yang dilapor punca kelewatan 67 hari itu dijadikan alasan oleh kontraktor untuk terus melengahkan projek.

 "Saya sudah minta kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau perkembangan projek ini dan memastikannya siap ikut jadual," katanya kepada pemberita, selepas melawat projek itu, hari ini.

YB Khairy turut memberitahu kontraktor juga bakal berdepan tindakan denda jika gagal mematuhi tarikh yang dipersetujui dalam kontrak itu.

 “Projek itu yang bermula 2 Julai lepas dijadualkan siap hujung tahun ini namun setakat ini pembinaannya hanya siap 12 peratus,” katanya.

 Padang bernilai RM1.8 juta itu merupakan yang kedua di Terengganu selepas padang pertama di Kampung Tok Jiring siap pada awal Februari lalu.

 Setakat ini 10 daripada 30 padang sintetik berjaya disiapkan mengikut jadual di seluruh negara.

 

MBKT tubuh pasukan khas hadapi banjir

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Ghani Idris berkata pasukan tersebut akan mengawasi kejadian pokok tumbang, longkang tersumbat dan sebagainya.

 "Kita telah meletakkan pasukan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam itu," katanya di Kuala Terengganu.

Ghani berkata sebagai langkah awal, tindakan membaik pulih jalan-jalan berlubang telah dilakukan bagi mengelak kemalangan semasa banjir.


Beliau berkata MBKT akan membuka bilik gerakan banjir di Kelab Eksekutif MBKT di Batu Buruk, tahun ini, sebagaimana dilakukan tahun-tahun lepas.

 Justeru, beliau mengingatkan orang ramai terutamnya yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air, supaya waspada ketika musim tengkujuh.