Halaman

03 November 2013

96 pasukan kesihatan hadapi banjir

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menubuhkan 96 pasukan khas di seluruh negeri bagi menghadapi banjir tahun ini.

Daripada jumlah itu, 45 pasukan perubatan manakala 51 pasukan kesihatan yang mengandungi tiga hingga empat kakitangan jabatan berkenaan yang akan bertugas membantu mangsa banjir.

Pengarah jabatan itu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman, pasukan perubatan akan bersiap sedia memberi rawatan apabila ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir yang disediakan.

“Manakala pasukan kesihatan pula akan membuat pemantauan dari aspek kebersihan dengan membuat pemeriksaan di pusat-pusat pemindahan bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat digunakan,” katanya.

Selain itu, jabatan berkenaan juga akan memberi perhatian khusus kepada keperluan asas mangsa banjir seperti bekalan air bersih dan tandas, bagi memastikan mereka tidak dijangkiti penyakit merbahaya.

MBKT tubuh pasukan khas

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Encik Ghani Idris berkata pasukan tersebut akan mengawasi kejadian pokok tumbang, longkang tersumbat dan sebagainya.

"Kita telah meletakkan pasukan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam itu yang dijangka berlaku pertengahan November ini," katanya.

Encik Ghani berkata sebagai langkah awal, tindakan membaik pulih jalan-jalan berlubang telah dilakukan bagi mengelak kemalangan semasa banjir.

“MBKT akan membuka bilik gerakan banjir di Kelab Eksekutif MBKT di Batu Buruk, tahun ini, sebagaimana dilakukan tahun-tahun lepas.

 “Justeru, pihak kami mengingatkan orang ramai terutamnya yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air, supaya waspada ketika musim tengkujuh,” katanya.

 

UCB lahir jururawat berkualiti-Naib Canselor.

Oleh: Aminudin Ismail.

Dr.Mustaffa...bantu penuntut.
SETIU: Hampir keseluruhan penuntut Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Bestari (UCB) mampu mendapat pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian di kolej universiti itu selepas mereka menamatkan pengajian dalam bidang itu.

Naib Censelornya, Dr. Mustaffa Ismail berkata, kebanyakan penuntut yang menamatkan pengajian dalam bidang itu akan terus mendapat pekerjaan setelah mereka menerima diploma masing-masing.

"Kita mempunyai kira-kira lebih 200 penuntut dalam bidang ini yang menamatkan pengajian mereka pada setiap tahun dan hampir kesemuanya berjaya mendapat pekerjaan di hospital kerajaan dan swasta.

"Pihak kami sentiasa berusaha supaya bukan sahaja lepasan diploma jururawat ini mudah mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka di UCB malah juga bidang-bidang  pengajian lain," katanya. 

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, UCB mengharapkan konsep wakaf yang diperkenalkan bagi menjayakan pengurusan kolej universiti yang sedang menuju kepada universiti penuh itu akan mendapat sambutan daripada orang ramai.

"Kita mengharapkan lebih ramai yang akan menyertai pembelian lot-lot tanah ini untuk diwakafkan bagi menjayakan usaha kami menjadikan UCB ini sebuah universiti berkonsepkan Islam menjelang 2016," katanya.

 

02 November 2013

KPM akan laksana kokurikulum Ulul Albab

Oleh: Suriati Ali 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri melaksanakan kokurikulum Ulul Albab, mulai tahun depan.

 Menteri Pendidikan II,Dato' Seri Idris bin Jusoh, berkata pihak mencadangkan agar kokurikulum itu diguna pakai bermula tahun depan, tetapi jika sekolah yang terpilih melaksanakan program berkenaan belum bersedia, dari aspek peralatan pembelajaran dan kemampuan penerimaan pelajar, ia boleh ditangguhkan ke tahun seterusnya.

 “KPM serius ingin melaksanakannya kerana ia bukan saja mampu membantu meningkatkan kesedaran terhadap pembelajaran Agama Islam malah dapat menghafaz, memahami Al-Quran, Hadith dan mengamalkan cara Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran Perdana dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kalam Jama'i Sekolah-Sekolah KPM di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Seri Idris Jusoh turut memberitahu, Program Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain (j-QAF ) merupakan satu pendekatan pembelajaran agama Islam di setiap sekolah di negara ini, bermula awal 2005 lalu.

 “Melalui pelaksanaan program j-QAF ini, kebanyakan pelajar bukan saja mampu khatam al-Quran lebih awal iaitu sebelum menjejak kaki ke sekolah menengah malah dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.



 “Apa yang membanggakan, minat pelajar terhadap bahasa Arab terus mendapat respon positif, sehingga mampu mengikuti program `coral speaking’ dalam bahasa itu dengan baik,” katanya.

 

MB lawat PDM Gelang Patah

Menteri Besar Terengganu ,Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengadakan kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gelam 3 di Sungai Limau, Kedah yang merupakan ‘anak angkat’ kepada Umno Negeri Terengganu, petang semalam.

Kira-kira 500 orang hadir bagi memeriahkan majlis itu dan meraikan Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Terengganu.

Berucap pada majlis itu, Menteri Besar meminta agar pengundi di Gelam 3 berfikir banyak kali untuk mengundi calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau kali ini. Beliau berkata, sepanjang lima penggal PAS mentadbir DUN Sungai Limau, tidak ada sumbangan kepada pengundi di kawasan itu semalam ini.

“Apa sumbangan PAS kepada Pengundi di DUN Sungai Limau selama ini dari segi kebajikan,pembangunan,sosioekonomi,pelajaran & kesihatan? DUN inilangsung tidak membangun,” katanya

Katanya, adalah amat dikesali kawasan itu jauh ketinggalan walaupun bekas wakil rakyat kawasan DUN Sungai Limau juga bekas Menteri Besar Kedah.

“Oleh itu, saya menyeru semua pengundi PDM Gelam 3 agar mengundi Barisan Nasional bagi menjamin perubahan yang akan dibawa oleh Kerajaan Kedah kepada penduduk di Gelam 3 khasnya.

 “Apa lagi rakyat daripada PAS Masa mereka menjadi kerajaan di Kedah ini apa PAS buat untuk Rakyat Sungai Limau ini. Tiada apa pun.

 “Kini tiba masanya untuk berubah dengan mengundi BN di hari pembuangan undi nanti.. contoh dah ada dengan apa yang berlaku kepada rakyat sungai limau ini.Marilah kita sama-sama berhijrah dari PAS kepada BN kali ini, dan ambil kesempatan Hijrah yang akan berlaku selapas 5 haribulan ini,” katanya.

 Selepas kenduri itu, Menteri Besar sempat melawat sembilan buah rumah dibawah jagaan Perhubungan Negeri Terengganu di PDM Gelam 3.

Antara rumah yang dilawatinya ialah PuanHajjah Robiah Harun yang berumur 73 tahun dan mengalami sakit lumpuh separuh badan. Menteri Besar menghulurkan bantuan sebuah kerusi roda kepada Hajjah Robiah bagi memudahkan pesakit itu bergerak.


Banyak sekolah di Terengganu ada akses internet berkelajuan tinggi

Lebih 90 peratus sekolah di Terengganu sudah dilengkapi kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang mempermudah proses pembelajaran secara maya atau VLE.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Ghazali Taib berkata kadar itu meliputi 447 daripada 494 sekolah di Terengganu.

Hasrat ini direalisasikan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi YTL Communications Sdn Bhd yang menyediakan kemudahan Internet 4G dan VLE di Terengganu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Profesionalisme Pengurusan VLE Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu semalam.

Mengenai VLE, Ghazali berkata setakat September lepas sebanyak 694 guru dari 347 sekolah sudah menerima latihan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin yang turut hadir berkata, sehingga kini 1,396 pelajar telah menerima latihan VLE

VLE merupakan sebahagian daripada 1BestariNet iaitu portal pembelajaran yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran selain merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar.

200 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Besut sertai latihan berjalan kaki


Pegawai Rela Daerah Besut, Abd Razak Ishak memegang jalur gemilang melepaskan peserta

Oleh: Mohammad Ishak 

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Daerah Besut, meningkatkan tahap kecergasan anggota di daerah itu dengan mengadakan sesi latihan berjalan kaki dalam usaha memantapkan lagi keupayaan mental dan fizikal ketika menjalankan tugas.

Bagi tujuan itu seramai 200 anggota kumpulan pertama dipilih menyertai latihan yang diadakan pada waktu malam.

Pegawai Rela Daerah, Abd Razak Ishak berkata, pihaknya menetapkan laluan sejauh 10 kilometer bermula dari Kampung Bukit Payong dan berakhir di Kampung La, Hulu Besut.

Katanya, peserta termasuk wanita menunjukkan tahap kecergasan dan ketahan diri yang baik dan mampu menamatkan perjalanan tanpa menghadapi sebarang masalah.

Menurutnya, kejayaan program pertama itu menjadi asas kepada agensi terbabit untuk menganjurkan sesi latihan selanjutnya membabitkan semua anggota tanpa mengira pangkat.

Sementara itu, penyelaras Rela Mukim Hulu Besut, Abdul Rani Ibrahim berkata, menerusi latihan itu semua anggota mendapat sedikit pengalaman terutama berjalan kaki pada waktu malam pada jarak yang agak jauh.

Katanya, anggota terutama wanita sanggup meninggalkan keluarga dan anak kerana ingin mencuba pengalaman baru dengan berjalan kaki dan mereka mampu bersaing dengan anggota lelaki.

Kegagalan saksi tampil, bantut kes jenayah seksual : Prof Datin Noor Aziah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan saksi kejadian gangguan seksual tampil membantu memberi keterangan kepada pihak berkuasa menyebabkan banyak kes jenayah melibatkan wanita itu gagal diselesaikan dengan cepat, kata Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

“Kesukaran orang ramai tampil menjadi saksi setiap kes walaupun mereka mengetahui secara langsung dan berada di tempat kejadian menimbulkan masalah untuk mempercepatkan proses perundangan kes gangguan seksual.

 “Oleh itu, kesedaran orang ramai perlu dipertingkatkan lagi menerusi pelbagai forum, seminar dan juga diskusi yang dilaksanakan pelbagai pihak dan agensi bagi membantu menangani, memberi keyakinan sekaligus memperkasakan lagi kedudukan serta martabat golongan wanita di negara kita,” katanya di Seminar Perundangan Dan Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu 2013, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Program dirasmikan Penaung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II Puspanita Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Maimunah Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Insan Yayasan Islam Terengganu (YIT), Ustaz Ahmad Fadluldin Mohamad.

Seramai 1,000 ahli Puspanita seluruh Terengganu hadir ke majlis itu.

Selain itu, Prof Datin Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata enam punca wanita sering mendiamkan diri dan tidak melaporkan gangguan seksual yang dihadapi mereka adalah disebabkan perasaan malu, kesan publisiti, bimbang diperbodohkan, takut dibuang kerja, tiada dan tidak mengetahui prosedur membuat laporan serta tiada keyakinan kepada sistem perundangan yang ada.

Katanya, kesan gangguan seksual boleh mengakibatkan implikasi kepada maruah dan semangat, selain produktiviti kerja merudum, tempat bekerja sebagai tempat menakutkan dan keselamatan pekerja terancam.


Khouluddin rapat dengan penduduk.

Khouluddin..Pengerusi JKKK Calok Kedai.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

HUBUNGAN eratnya dengan penduduk kampung dan sikapnya yang suka membantu menjadikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Chalok Kedai, Setiu, Wan Mohd Khouluddin Ab. Rahman begitu disenangi penduduk setempat.

Khouluddin yang memegang jawatan Pengerusi JKKK sejak lima tahun lalu itu, berkata, sebagai orang yang diamanahkan untuk mentadbir kampungnya, beliau perlu berlaku adil kepada semua penduduk dalam usahanya membantu mereka.

“Saya memegang jawatan ini kerana saya begitu berminat untuk membantu penduduk. Melalui jawatan inilah saya berpeluang membantu seluruh masyarakat di kawasan saya yang memerlukan bantuan dan semua penduduk berhak mendapat apa jua bentuk bantuan sekiranya mereka layak,” katanya.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Chalok Kedai selama dua penggal itu, mula menjadi ahli UMNO sejak berusia 21 tahun dan aktif dalam UMNO di kampungnya selepas menduduki jawatan AJK Pemuda.

“Tujuan saya aktif dalam UMNO dan Barisan Nasional ini, adalah kerana saya yakin bahawa parti inilah mampu memajukan dan memakmurkan kira-kira seramai 800 penduduk kawasan ini,” kata bapa kepada lima anak itu.

Khouluddin bersama Dato'Sabri dan Dato' Mohd Jidin.
Sepanjang memegang jawatan Pengerusi JKKK, Khouluddin, berjaya membantu penduduk kampungnya untuk mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan, antaranya ialah rumah PPRT, bantuan membaiki rumah, dan jalan raya.

“Setakat ini, sebanyak tujuh buah rumah PPRT berjaya dibina dan lebih 20 buah rumah dibaiki untuk penduduk yang layak. Beberapa jalan untuk keselesaan penduduk juga sudah dibina di kampung ini termasuklah jalan Batu Hampar ke Felda Calok Barat sejauh lima kilometer,” katanya.

Menurutnya, beliau kini sedang berusaha untuk mempercepatkan pembinaan sebuah sekolah rendah baru di kampungnya kerana sekolah yang asal agak jauh dari penempatan penduduk.

"Kerajaan sudah meluluskan pembinaan sekolah itu tetapi atas beberapa sebab, pembinaannya belum bermula dan jika semuanya selesai, Insya Allah, penduduk kampung ini akan mendapat sebuah sekolah rendah yang baru," katanya.


JPNDS urus lebih 100 pelanggan sehari.

JPNDS
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

LAYANAN baik serta urusan cepat adalah antara faktor, Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Setiu (JPNDS) yang terletak di Bandar Permaisuri, tidak pernah menerima aduan rasmi rungutan orang ramai sepanjang operasinya sejak hampir 30 tahun lalu.

Terletak berhampiran Pejabat Daerah Setiu, JPNDS mula beroperasi di daerah Setiu pada 1983 lalu dan berpindah ke bangunan sendiri pada 2001 dengan mempunyai pelbagai kelengkapan moden bagi memudahkan urusan dengan orang ramai.

Shukri...khidmat terbaik.
Pegawainya, Mohd Shukri Mohd Nor, kira-kira 100 hingga 150 pelanggan berurusan dengan PPDS pada setiap hari dan kebanyakannya untuk mendaftar kelahiran dan membuat kad pengenalan. 

"Setakat ini kita belum menerima komen negatif mengenai urusan kaunter malah ada yang berterima kasih atas khidmat yang kami berikan dan pihak kami mengharapkan semua kakitangan dapat memberi khidmat yang terbaik sepanjang masa.

"Selain daftar kelahiran dan membuat kad pengenalan, urusan lain ialah daftar kematian, daftar anak angkat, daftar perkahwinan dan permohonan kewarganegaraan," katanya mengenai JPNDS yang bermoto "Rakyat Di Hati JPN" itu.

Mohd Shukri berkata, kepada warganegara Malaysia yang tidak mempunyai dukomen kelahiran kerana sesuatu sebab seperti terpisah dengan keluarga ataupun kematian ibubapa bolehlah datang ke JPNDS.

"Kita akan cuba membantu mereka ini untuk mendapatkan surat beranak ataupun kad pengenalan tetapi dengan syarat mereka adalah warganegara Malaysia," katanya.

Menurutnya, JPNDS juga meminta orang ramai yang belum mengambil kad pengenalan dan Mykid yang siap supaya datang menuntutnya kerana pihaknya akan melupuskan kad pengenalan dan Mykid itu apabila sampai tempohnya.
Layan..seorang kakitangan sedang melayani pelanggan.
Rehat..pondok rehat untuk orang-ramai.
Indah..pokok bunga ditanam untuk indahkan kawasan.