Halaman

20 November 2013

Kerajaan negeri bakal bina terusan di Kemaman awal tahun depan

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan membina terusan sepanjang dua kilometer dianggarkan bernilai RM20 juta bermula dari Kampung Kemunting hingga Sungai Bukit Kuang dalam kawasan industri Teluk Kalong, Kemaman.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pembinaan terusan yang bertujuan memudahkan laluan tongkang dalam kawasan industri terbabit bakal bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

“Pembinaan terusan itu yang melalui jajaran Sungai Bukit Kuang melibatkan pelebaran dan mendalamkan dasar sungai berkenaan bagi memudahkan operasi sektor industri, khususnya berkaitan besi keluli di kawasan tersebut.

"Mengikut perancangan, terusan itu akan dibina dengan keluasan 150 meter dan kedalaman air lapan meter bagi memudahkan laluan kapal dan tongkang ke kawasan perindustrian.

"Pembinaan terusan itu juga sebagai sebahagian kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada pelabur dalam industri besi untuk menjimatkan kos pengangkutan bagi mengangkut pelbagai barang ke kilang di kawasan industri itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau Sungai Bukit Kuang yang akan menjadi tapak jajaran pembinaan terusan berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, beberapa pelabur yang bakal membuka kilang besi di Teluk Kalong menyuarakan kelegaan mereka dengan kemudahan itu.

 

PTNT kenal pasti peninju Sukma tahun depan

Persatuan Tinju Negeri Terengganu (PTNT) mengenal pasti enam peninju untuk mewakili Terengganu di Sukma Perlis tahun depan.

Setiausaha PTNT, Encik Rosli Zakaria berkata tiga daripada peninju itu pernah mewakili Terengganu pada Sukma Pahang 2012 manakala tiga lagi adalah muka baharu.

"Kami masih dalam proses mencari dua lagi peninju untuk melengkapkan pasukan tinju Terengganu ke sukan dwitahunan itu," katanya.

Beliau berkata tiga peninju yang mewakili Terengganu pada Sukma Pahang 2012 ialah Mohd Hafizuddin Hakim Mohd Zahari yang merupakan pemenang pingat emas kategori 52kg; Nik Mohd Akhbar Nik Safii (kategori 64kg); dan Mohd Sufian Abdullah (69kg).

Muka baharu yang disenaraikan ialah Mohd Isamuddin Afif Mat Zaid (kategori 49kg); Wan Zulrusydi Wan Saiful Zamri (56kg); dan Mohd Azreen Yakub (60kg).

Encik Rosdi berkata dua lagi peninju bagi kategori 71kg dan 80kg mungkin dicari di kalangan peninju-peninju muay thai di daerah Besut.

Beliau berkata PTNT akan menempatkan peninju-peninju itu di kompleks sukan negara Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk latihan bersama peninju-peninju negara mulai 22 Nov hingga 31 April 2014.

Enam pelumba tersenarai ke GP Indonesia

Terengganu membariskan enam pelumba berbakat bagi menghadapi kejohanan lumba basikal siri akhir GP Indonesia yang akan berlangsung di Jawa Tengah pada 11 hingga 16 Disember ini.

Jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata Terengganu kini menduduki tangga pertama dengan mengumpul 80 mata.

"Kita sedang fokus untuk menghadapi saingan akhir GP Indonesia dan sasaran kita untuk muncul sebagai juara dalam kejohanan itu," katanya.

 Menurut Syed Mohd Hussaini, pelumba yang dipilih untuk membawa cabaran Terengganu di kejohanan itu merupakan atlet Sukma yang berpotensi.

Mereka terdiri daripada Mohd Badrul Hakimi Hamid, Mohd Azri Ahmad, Cheku Samir Cheku Ramli, Mohd Zulkifli Hamdan, Nor Aiman Zarif dan Mohd Hariq Huzni Othman.

Beliau berkata pelumba Terengganu akan menyertai dua lagi kejohanan di peringkat kebangsaan iaitu Kejohanan Trek Remaja di Cheras pada 28 Nov hingga 1 Dis dan SportExcel Remaja di Rompin, Pahang mulai 6 hingga 8 Disember.

 

120 anggota bomba dan penyelamat sertai pertandingan kawad



Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 120 anggota bomba dan penyelamat yang mewakili 15 buah balai di negeri ini diuji dalam Pertandingan Kawad Kecekapan peringkat negeri di sini semalam.

Pertandingan tahunan itu yang membbitkan tiga acara utama iaitu membentang hos, teknik mengangkat mangsa dan kawad tangga berpasukan berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat Jertih.

Penolong Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Rosfarawadi Ismani Ismail berkata, menerusi pertandingan itu, tahap kecekapan dan kemahiran anggota dapat dinilai.

Selain itu katanya, semangat berpasukan yang sentiasa ditagih dalam melaksanakan tugasan harian dapat dipraktikkan dengan lebih berkesan.

Katanya,, kemahiran dan kecekapan anggota perlu sentiasa digilap dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutama apabila berlaku kes kebakaran ataupun kecemasan.

"Untuk mencapai tahap terbaik, mereka sentiasa didedahkan dengan latihan dan kursus bagi memperbaiki kecekapan dan kemahiran supaya bersedia dalam apa jua keadaan," katanya.

MYA cungkil bakat baru sukan pelayaran

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan pelayaran negara menerusi program Belia Belayar.

Golongan muda terutama pelajar sekolah mengasah bakat dalam sukan pelayaran.
Program empat hari sempena penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013, diadakan di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, bermula semalam (Selasa).

Pelajar diberi peluang mencuba mengedalikan Kapal Layar Piala Monsun yang diadakan di Pulau Duyung, semalam.
Program yang memberi pendedahan tentang aspek-aspek asas pelayaran kepada golongan muda terutama pelajar sekolah berusia dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun itu melibatkan 13 sekolah di sekitar daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MYA Encik Mazlan Othman berkata program itu berpotensi untuk mengenal pasti pelapis dalam sukan kapal layar terutama di kalangan golongan muda apabila mereka diberi peluang untuk mencuba sukan itu.

"Penganjuran program seperti ini memudahkan persatuan mencari bakat-bakat baharu yang berminat dalam sukan kapal layar selain memberi ruang kepada golongan itu mengasah kemahiran mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pada program itu seramai 832 pelajar diberi peluang mengemudi kapal layar bersama juragan yang menyertai Liga Layar Malaysia (LLM).

Tengku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim menyempurnakan pelepasan program itu.

Turut hadir Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Sementara itu Tunku Abdul Jalil selaku Pengerusi Innovatige Sdn Bhd yang merupakan penganjur Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013 berkata program seperti itu akan diteruskan pada masa depan bagi memberi peluang kepada golongan muda mencuba sukan berkenaan.

"Kami bermula dengan program kecil dan jumlah yang sedikit seperti ini namun kami berharap program ini menjadi permulaan untuk golongan muda bergiat serius dalam sukan pelayaran ini nanti," katanya.


19 November 2013

Peserta Seminar Lawat Setiu Wetland.

MAKLUMAT...Exco Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Dato' Mohd Jidin Shafee memberi penerangan sesuatu mengenai 'bird watching' kepada seorang Jawatankuasa Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin yang melawat Setiu Wetland, di Setiu, hari ini.

Jamu..peserta menjamu makanan tradisional.
Seramai kira-kira 150 peserta termasuk Jawatankuasa seminar menyertai lawatan itu selepas mereka menamatkan kursus di Hotel Primula, semalam.

Antara tempat-tempat menarik yang mereka lawati ialah kawasan ternakan ikan dalam sangkar, meneropong burung di Kampung Gong Batu dan hutan paya bakau.

Rakam...rakaman untuk slot Teganukita TV3
Peserta seminar juga dijamu dengan makanan tradisional penduduk Setiu antaranya ialah kuih buah berus dan juga makanan laut.

Beberapa peserta yang ditemui gembira dengan lawatan itu kerana mereka dapat menimba beberapa pengalaman baru yang sebelum ini tidak pernah mereka lihat.

Dato' Mohd Jidin mengharapkan Setiu Wetland akan terus dikunjungi pelancong untuk menikmati pelbagai keunikan di kawasan pelancongan Daerah Setiu itu:- oleh: Aminudin Ismail

 

Jaga kebersihan perlu bermula seawal usia

 Oleh: Suriati Ali

 Pembentukan budaya mencintai kebersihan sama ada berkaitan diri dan persekitaran alam sekitar sewajarnya bermula seawal usia.



Melalui usaha dan pendekatan itu secara langsung mampu mendidik kanak-kanak mengamalkan cara hidup sihat bermula dari rumah dan seterusnya bijak menjaga persekitaran negeri supaya lebih terurus.

 Setiausaha Kerajaaan Negeri, Dato’, Haji Mazlan Ngah, berkata faktor kritikal untuk menawan hati dan menarik lebih ramai pelancong ke sesebuah negeri adalah berkaitan kebersihan.



 Katanya, walaupun betapa cemerlang kejayaan yang telah dicapai, yang paling penting ialah pembangunan insanedan seboleh-bolehnya tidak mahu hanya dipenuhi dengan pembangunan fizikal semata-mata.

 “Di samping mengamalkan kebesihan diri dan persekitaran, kita perlu kaya dengan budi bahasa, mencintai ilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Mohd Yasim Awang, Majlis Penyampaian Hadiah sempena Program Pendidikan Kebersihan Sekolah-sekolah di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Encik Hashim Mohd Zin dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Tugas-tugas Khas, Haji Wan Mohammad Lotfi Wan Ismail.

 Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, bagi memastikan kesan positf yang berpanjangan, maka agenda kecemerlangan kebersihan mestilah diperkemaskan.

Katanya, dia berharap agar warga pendidik dan peljar bukan sahaja melaksanakan agenda kecemerlangan kebersihan di kawasan sekolah masing-masing saja, tetapi perlulan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pihak sekolah boleh merancang aktiviti kebersihan melibatkan masyarakat sekitar, termasuk bersama agensi dan persatuan berkaitan,” katanya.

 






Banjir, sayangkan nyawa dari hartabenda-JPAM Setiu.

Bersedia...beberapa anggota JPAM Setiu sedia hadapi banjir.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Ada segelintir mangsa banjir di daerah ini lebih mementingkan harta benda daripada nyawa apabila mereka sanggup tunggu sehingga air naik ke paras bahaya untuk menyelamatkan barangan mereka tanpa menghiraukan keselamatan diri.

Azwan..buat persediaan awal.
Menceritakan perkara itu kepada Teganukita, Ketua Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Setiu, Staff Muda (SM) Mohd Azwan Abdullah berkata, pihaknya pernah mengalami pengalaman demikian dalam usaha memindahkan mangsa banjir pada musim banjir tahun lalu.

“Dalam usaha memintakan mangsa banjir ke tempat yang lebih selamat, pihak kami mendapati ada segelintir mangsa banjir yang tidak membuat persiapan awal.

“Ini dapat dilihat apabila kami terpaksa menunggu mereka dalam masa yang agak lama untuk berpindah kerana mereka ini mahu mengambil barang-barang berharga terlebih dahulu sebelum berpindah sedangkan air sedang naik begitu cepat ketika itu.

“Mereka ini lebih sayangkan harta dari nyawa sendiri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka membuat persediaan lebih awal” kata Azwan.

Sehubungan itu, Azwan meminta kerjasama orang ramai supaya membuat persiapan awal pada musim tengkujuh ini dan bukannya menyimpan barang-barang berharga apabila hanya selepas air melimpahi kawasan rumah mereka.

Dalam pada itu, seramai enam anggota tetap JPAM Setiu dan kira-kira 50 anggota sukarela sudah bersiap sedia untuk menghadapi musim banjir tahun ini.

“Empat buah bot dan beberapa kenderaan disediakan pihak JPAM untuk kerja-kerja menyelamat musim banjir tahun ini. Semua anggota kami termasuk anggota sukarela sudah diberi latihan awal untuk menghadapi musim banjir.

“Kami akan sentiasa berhubung dengan Bilik Gerakan Banjir Daerah dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bagi mempastikan pasukan kami akan tiba ditempat yang memerlukan bantuan dengan segera,” katanya.
Pejabat JPAM Setiu di Kampung Guntung.
Bincang..tiga anggota JPAM sedang berbincang sesuatu.


TEMCO tepat ke arah transformasi minda, fizikal masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin (TEMCO) 2013 menjadi satu daripada acara sepanjang sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dan bertepatan dengan usaha menggarapkan Dasar Transformasi Nasional kerajaan ke arah transformasi minda serta fizikal masyarakat untuk lebih berjaya di masa depan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Kerajaan negeri telah menyusun atur pelbagai strategi dan penjenamaan produk dan destinasi pelancongan melalui penganjuran acara, program dan aktiviti MICE (Meeting, Incentive, Conference & Exhibition) yang berteraskan kekuatan dan keunikan produk pelancongan Negeri Terengganu, katanya ketika beucap sempena merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan seminar dua hari itu.

Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Tengku Sri Paduka Raja. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Haji Wan Supian Wan Ishak.

Menteri Besar berkata pelbagai aktiviti telah dan akan diadakan seperti Kapas-Marang International Swimathon, Kenyir Boat-On-The-Road, Pertandingan Bot Berhias, Festival Gamelan Antarabangsa, Terengganu International Islamic Art Festival, The International Offroad Challenge of  Malaysia-Terengganu International Rainforest Challenge 2013 dan seminar-seminar seperti Kenyir Bird & Nature Quest dan Terengganu International Conference.

“Dengan pelbagai penganjuran acara dan seminar yang telah diadakan, ianya telah memberi kesedaran kepada pelancong dalam dan luar negara mengenai usaha memelihara sumber alam semula jadi yang menjadi teras tarikan pelancong ke Terengganu.

 “Galakan dan promosi melalui penganjuran Tahun Melawat Terengganu 2013 juga telah berjaya memberi impak kepada wujudnya peluang-peluang keusahawanan bukan sahaja di dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan marin, malah dalam industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, antara usaha yang mendapat manfaat termasuk penyediaan perkhidmatan pakej-pakej pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, hasil kraftangan, penyediaan penginapan dan makan minum yang dapat dimanfaatkan dan mapu menjana tranformasi bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat tempatan.

 

18 November 2013

Kanak-kanak Pulau Redang berkhatan.

Tenang...seorang kanak-kanak ditenteramkan oleh ibunya sambil diperhati Bazlan (kanan)
Oleh: Aminudin Ismail. 
Gambar Ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit). 

PULAU REDANG: Beberapa dari 11 kanak-kanak dari Kampung Baru, di sini rasa agak 'gementar' ketika mahu berkhatan dalam satu majlis khatan beramai-ramai yang diadakan di Klinik Kesihatan Pulau Redang, hari ini.

Bagaimanapun, perasaan gementar kanak-kanak itu hilang apabila selesai acara makan pulut kuning selain ditenteramkan oleh dua orang doktor, kakitangan yang bertugas serta ibubapa masing-masing.

Majlis Khatan Beramai-ramai anjuran Komuniti 1Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Bazlan menyuap pulut kuning.
Bazlan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua penganjur itu serta penduduk Kampung Baru Pulau Redang kerana memberi kerjasama menganjurkan majlis khatan itu.

"Saya ucap terima kasih kepada Komuniti 1Malaysia dan Jabatan Penerangan kerana menganjurkan program ini. Semoga usaha ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang untuk kebaikan penduduk Pulau Redang.

"Terima kasih juga kepada semua yang terlibat termasuklah kakitangan Klinik Kesihatan Pulau Redang dan penduduk semua," katanya
Tunggu giliran..kanak-kanak bersedia untuk dikhatankan.
Kenangan...kanak-kanak,petugas dan ibubapa bergambar kenangan bersama Bazlan

.