Halaman

19 November 2013

Jaga kebersihan perlu bermula seawal usia

 Oleh: Suriati Ali

 Pembentukan budaya mencintai kebersihan sama ada berkaitan diri dan persekitaran alam sekitar sewajarnya bermula seawal usia.



Melalui usaha dan pendekatan itu secara langsung mampu mendidik kanak-kanak mengamalkan cara hidup sihat bermula dari rumah dan seterusnya bijak menjaga persekitaran negeri supaya lebih terurus.

 Setiausaha Kerajaaan Negeri, Dato’, Haji Mazlan Ngah, berkata faktor kritikal untuk menawan hati dan menarik lebih ramai pelancong ke sesebuah negeri adalah berkaitan kebersihan.



 Katanya, walaupun betapa cemerlang kejayaan yang telah dicapai, yang paling penting ialah pembangunan insanedan seboleh-bolehnya tidak mahu hanya dipenuhi dengan pembangunan fizikal semata-mata.

 “Di samping mengamalkan kebesihan diri dan persekitaran, kita perlu kaya dengan budi bahasa, mencintai ilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Mohd Yasim Awang, Majlis Penyampaian Hadiah sempena Program Pendidikan Kebersihan Sekolah-sekolah di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Encik Hashim Mohd Zin dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Tugas-tugas Khas, Haji Wan Mohammad Lotfi Wan Ismail.

 Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, bagi memastikan kesan positf yang berpanjangan, maka agenda kecemerlangan kebersihan mestilah diperkemaskan.

Katanya, dia berharap agar warga pendidik dan peljar bukan sahaja melaksanakan agenda kecemerlangan kebersihan di kawasan sekolah masing-masing saja, tetapi perlulan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pihak sekolah boleh merancang aktiviti kebersihan melibatkan masyarakat sekitar, termasuk bersama agensi dan persatuan berkaitan,” katanya.