Kerajaan negeri akan memastikan jalan utama melalui pantai yang menghubungkan Kemaman ke Kuala Terengganu dinaiktaraf menjadi empat lorong menjelang 2018.
Kerja menaiktaraf jalan yang sedang giat dilaksanakan mengikut beberapa fasa sejak beberapa tahun lalu bermula dari Dungun hingga Kemaman, kini menelan belanja sekitar RM80 juta dan akan diteruskan lagi dengan peruntukan kira-kira RM40 juta.
“Kita sedang menaik taraf jalan kepada empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu secara berperingkat. Selepas sahaja jambatan Bukit Kuang siap, Insya-Allah tahun depan pada Mac atau April, tender akan dikeluarkan untuk projek naik taraf jalan bermula dari Bukit Kuang, Kijal hingga persimpangan lampu isyarat Bukit Anak Dara.
“Selain itu, kerja naik taraf sekarang sedang berjalan antaranya dari Bandar Baru Kijal hingga simpang Bandar Baru Kijal, dari simpang Bandar Baru Kijal ke Resort World Kijal (RWK) serta dari Mesra Mall hingga ke lampu isyarat Kemasik. Projek itu sepatutnya sudah siap tetapi mengalami kelewatan sedikit akibat masalah pemaju”, katanya kepada pemberita di program Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 2013 di Mini Stadium, Kerteh, semalam.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sebaik sahaja projek menaiktaraf jalan dari Kemaman ke Kuala Terengganu siap,fasa seterusnya akan bersambung pula dari Kuala Terengganu hingga ke Besut.
Katanya, projek menaiktaraf jalan itu juga melibatkan laluan maut di Bukit Bauk, Dungun yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan laluan itu lebih selamat dan lancar. Menurutnya, pada tahun depan juga, jalan dari RWK hingga kawasan persimpangan lampu isyarat Kemasik turut akan dilebarkan menjadi empat lorong.
“Projek naik taraf jalan di Kemaman ini dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi dan apabila siap dari Kemaman terus ke Paka, Dungun akan menjadi empat lorong.
“Di Dungun, projek melebarkan jalan menjadi empat lorong itu telah siap dari Rantau Abang hingga ke Kampung Kolam dan dalam tempoh sebulan lagi, kerja-kerja menambun tanah akan dilakukan dari Kampung Kolam itu hingga kira-kira 200 meter daripada jambatan Sungai Merchang (Marang) sehingga selesai jalan utama di Marang.,” katanya.