Halaman

22 November 2013

PCG pupuk kesedaran pulih hutan paya bakau

Oleh: Suriati Ali 

Petronas Chemicals Group (PCG) giat meneruskan usaha memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau selepas menyedari hakikat pentingnya ekosistem itu untuk terus diwarisi oleh generasi pada masa depan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Dr. Abd. Hapiz Abdullah, berkata pihaknya sedar akan kepentingan dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan negara di mana kami beroperasi dan ini merupakan salah satu daripada pelbagai pendekatan.

 ''Segala usaha kami selaku anak syarikat Petronas adalah bertujuan mencapai objektif perniagaan di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap pembangunan sosioekonomi dan alam sekitar yang berterusan.

''Justeru, PCG telah menjadikan ecoCare sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tunggak kendaliannya yang tertumpu kepada usaha perhutanan semula dan pemulihan habitat hutan paya bakau yang sensitif dari segi ekologi termasuk di sepanjang Sungai Kerteh," ujar beliau kepada media baru-baru ini.



 Katanya, Pusat Pendidikan Alam Sekitar (`Eco Care’) yang dibiayai sepenuhnya oleh PCG dan diurus oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), mencerminkan komitmen berterusan PCG sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dalam melindungi alam sekitar melalui pemuliharaan dan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat.

 "PCG benar-benar komited dalam memastikan kejayaan ecoCare kerana program ini memperlihatkan keprihatinan kami terhadap alam sekitar, khususnya Sungai Kerteh yang berhampiran dengan loji kami," ujarnya.

Bersama-sama dengan MNS, PCG telah menjalinkan kerjasama erat dengan masyarakat setempat untuk memastikan habitat di sepanjang sungai dan persekitarannya sentiasa dipantau dan diselenggara.

Menyingkap rentetan kegiatannya, ecoCare yang dimulakan pada Oktober 2005 melibatkan usaha-usaha penghutanan semula dan pemulihan habitat hutan paya bakau yang sensitif dari segi ekologi dan tumbuh-tumbuhan pesisir pantai di sepanjang Sungai Kerteh dan juga di beberapa kawasan di negeri-negeri lain.

Dr Abd Hapiz turut memberitahu sehingga kini, lebih 7,000 benih pokok bakau telah ditanam di atas permukaan terhakis meliputi 11,000 meter persegi di sepanjang Sungai Kerteh yang dijayakan oleh anak syarikat PCG, Petronas Chemicals Olefins Sdn. Bhd, Petronas Chemicals Glycols Sdn. Bhd. dan Petronas Chemicals Derivatives Sdn. Bhd.

“'Di dalam mencapai aspirasi untuk melestarikan alam sekitar, kami berusaha untuk sentiasa bertanggungjawab terhadap bumi kita, berkongsi amalan terbaik dan memimpin untuk meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar yang indah ini," ujarnya.