Halaman

21 November 2013

Isu alam sekitar jadi agenda utama

Oleh: Suriati Ali

 Isu kesedaran alam sekitar dan keperluan melindunginya menjadi agenda penting dalam pentadbiran kerajaan, terutama dalam membuat keputusan yang membabitkan pembangunan.

 Langkah itu cukup penting bagi memastikan keharmonian pelaksanaan setiap projek supaya alam sekitar tidak terjejas atau tidak akan mendatangkan masalah kepada persekitaran dan kesihatan masyarakat setempat.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pertimbangan seumpama itu cukup penting memandangkan kini bilangan penduduk semakin bertambah, kekurangan kawasan projek perumahan dan industri.

Katanya, keadaan itu pasti menjadi semakin mencabar di masa depan dan jika tidak dapat dielakkan, secara tidak langsung boleh mencetuskan pertembungan antara keperluan pembangungan dan penjagaan alam sekitar.

. “Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan usaha sama pelbagai pihak yang pasti dapat membantu mencapai kesejahteraan dan pembangunan seimbang.

 “Saya percaya bahawa kesedaran mengenai alam sekitar akan lebih berkesan jika dipupuk dari seawal usia,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (`Eco Care’), di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, semalam.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Eco Care.

Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri akan memastikan pembangunan di negeri ini terutama di kawasan perindustrian , bebas daripada sebarang pencemaran.

“Pihak kami bersedia menerima sebarang maklumat dan akan segera bertindak sekiranya mendapat tahu mana-mana pihak terbabit dengan isu pencemaran.

“Pada masa sama, berharap agar Eco Care dapat memainkan peranan utama dalam memberi kesedaran pemeliharaan alam sekitar, selain menerap nilai-nilai tidak suka pada pesekitaran kotor di kalangan pelajar,” katanya.