Halaman

20 November 2013

Sultan Mizan menitahkan supaya khazanah hutan terus dipulihara

 Oleh: Suriati Ali

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya khazanah hutan di Terengganu terus dipulihara supaya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh generasi akan datang.

 Titah baginda, inisiatif penanaman semula pokok bakau di kawasan tertentu, termasuk kawasan paya bakau Kerteh sudah tentu dapat membantu kerajaan mengekalkan hutan bakau secara kekal.

 “Program-program yang dapat meningkatkan penglibatkan masyarakat umum terutama pelajar universiti dengan secara sukarela memulihara hutan itu sewajar dirangka dengan kadar segera.

 “Hutan bakau merupakan satu ekosistem unik yang menjadi habitat kepada pelbagai spesis flora, fauna daratan dan hidupan marin,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam pesembahan ucapan sempena Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (Eco Care) di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, hari ini.



 Sultan Terengganu turut bertitah sikap manusia yang sering mengganggu keseimbangan ekologi secara keterlaluan, antara faktor berlakunya bencana alam.

 “Tindakan yang dilakukan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial, mahu untung lebih boleh mencetuskan pelbagai ketidakseimbangan ekologi.

“Akhirnya, negara dan rakyat menjadi mangsa pecemaran alam dan kesihatan juga boleh terjejas. Jika perkara itu berlaku, terpaksa pula membayar harga perubatan di mana hospital mahu pun klinik,” titah baginda.

Titah baginda, beta berharap agar agensi tertentu seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut bersama-sama memberi sumbangan dan komitmen dalam perkara itu.

“Beta yakin usaha menanam semula dan memulihara tumbahan ini merupakan pendekatan mitigasi yang proaktif dan perlu diberi keutamaan kepada semua pihak.

“Di samping itu, beta juga ingin menyarakan agar kesedaran awam mengenai fungsi hutan bakau dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa,” titah baginda.