Halaman

19 November 2013

TEMCO tepat ke arah transformasi minda, fizikal masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin (TEMCO) 2013 menjadi satu daripada acara sepanjang sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dan bertepatan dengan usaha menggarapkan Dasar Transformasi Nasional kerajaan ke arah transformasi minda serta fizikal masyarakat untuk lebih berjaya di masa depan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Kerajaan negeri telah menyusun atur pelbagai strategi dan penjenamaan produk dan destinasi pelancongan melalui penganjuran acara, program dan aktiviti MICE (Meeting, Incentive, Conference & Exhibition) yang berteraskan kekuatan dan keunikan produk pelancongan Negeri Terengganu, katanya ketika beucap sempena merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan seminar dua hari itu.

Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Tengku Sri Paduka Raja. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Haji Wan Supian Wan Ishak.

Menteri Besar berkata pelbagai aktiviti telah dan akan diadakan seperti Kapas-Marang International Swimathon, Kenyir Boat-On-The-Road, Pertandingan Bot Berhias, Festival Gamelan Antarabangsa, Terengganu International Islamic Art Festival, The International Offroad Challenge of  Malaysia-Terengganu International Rainforest Challenge 2013 dan seminar-seminar seperti Kenyir Bird & Nature Quest dan Terengganu International Conference.

“Dengan pelbagai penganjuran acara dan seminar yang telah diadakan, ianya telah memberi kesedaran kepada pelancong dalam dan luar negara mengenai usaha memelihara sumber alam semula jadi yang menjadi teras tarikan pelancong ke Terengganu.

 “Galakan dan promosi melalui penganjuran Tahun Melawat Terengganu 2013 juga telah berjaya memberi impak kepada wujudnya peluang-peluang keusahawanan bukan sahaja di dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan marin, malah dalam industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, antara usaha yang mendapat manfaat termasuk penyediaan perkhidmatan pakej-pakej pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, hasil kraftangan, penyediaan penginapan dan makan minum yang dapat dimanfaatkan dan mapu menjana tranformasi bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat tempatan.