Halaman

21 November 2013

Paras sungai di Setiu susut sedikit hari ini.

Dalam...pemandangan Sungai Setiu di Kampung Buruk jam 12 tengahari tadi.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Kekurangan taburan hujan malam tadi menyebabkan paras air beberapa sungai di daerah Setiu menunjukan sedikit penurunan.

Tinjauan Teganukita tengahari tadi di Sungai Chalok mendapati paras air sudah menampakan penurunan berbanding semalam, bagaimanapun ianya masih diperingkat bertahan hari ini berikutan hujan sejak pagi tadi sehingga awal petang.

Manakala Sungai Setiu pula tidak banyak berubah berbanding semalam, airnya masih belum mencecah ke paras bahaya iaitu kira satu hingga dua meter lagi untuk melimpahi tebing.

Banyak..Sungai Tarom hampir melimpahi tebing tengahari tadi.
Bagaimanapun, Sungai Tarom , dekat sini menampakan sedikit peningkatan pada hari ini berbanding semalam iaitu hanya kira-kira satu meter lagi untuk melimpahi tebing.

Sungai Tarom adalah paling cepat melimpah sekiranya berlaku hujan berterusan dan kawasan yang terbabit dengan sungai itu ialah Kampung Buluh Hilir dan Kampung Tasek.

Ramalan cuaca meramalkan hujan di peringkat kuning berlaku di beberapa tempat di daerah Besut dan Setiu, hari ini yang boleh mengakibatkan kawasan rendah dinaiki air.

Tinjauan juga mendapati, pencari ‘ikan darat’ sudah mula menjual hasil tangkapan mereka di beberapa tempat dan ianya menjadi sumber pendapatan sampingan golongan petani berikutan tidak dapat mengusahakan tanaman mereka sepanjang musim tengkujuh ini.

Manakala penjual gerai tepi jalan raya di sekitar Chalok sudah mula menjual pelbagai jenis ubi antaranya ialah ubi kayu dan ubi keledek dan sambutanya amat mengalakan dari penguna jalan raya Kuala Terengganu ke Kota Baharu.