Halaman

20 November 2013

PAMERAN HAIWAN BERBISA MENDAPAT SAMBUTAN PENGUNJUNG

Oleh: Ruslan AR 

Pameran Haiwan Berbisa 2013 yang bermula 18 November di Muzium Negeri Terengganu telah mendapat sambutan yang baik dari para pengunjung dengan kehadiran hampir setiap masa pameran.
  Beberapa spesis ular seperti tedung, kapak, sawa, orok-orok telah dipamerkan selain kala jengking, ikan yang bersengat, obor-obor dan sebagainya yang dikatogerikan sebagai berbisa.
 Apa yang paling menarik minat ialah pertunjukan bermain dengan ular yang juga turut diadakan untuk ditonton secara dekat oleh para pengunjung.
 Bayaran masuk dikenakan RM5 kepada orang dewasa dan RM2 kepada kanak-kanak.
 Pameran dijangka berakhir pada 31 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib sewaktu merasmikannya berkata, pengelolaan pameran begini mampu memenuhi cita rasa masyarakat umum.
 Beliau berharap orang ramai dari dalam dan luar Terengganu, terutama sempena cuti sekolah dapat mengunjungi pameran yang sungguh unik itu.
 Menurut Pengarah Muzium, Haji Mohd Yusof Abdullah pameran ini merupakan kesinambungan kepada  Pameran Haiwan Berbisa yang pernah diadakan oleh Muzium Negeri Terengganu dalam tahun 2010.  Pameran yang lalu itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelawat yang terdiri daripada pelawat dalam dan luar negeri di mana hampir 100 ribu pelawat telah mengunjunginya dan beliau berharap sambutan yang sama atau lebih lagi pada kali ini.
 Katanya sejajar dengan pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 oleh kerajaan negeri, Muzium Negeri Terengganu sebagai salah satu tempat tumpuan pelancong, turut mengambil bahagian dalam usaha menarik pelancong ke negeri ini dengan menyediakan beberapa produk yang menarik kepada mereka.
  Oleh itu katanya, pameran Haiwan Berbisa ini yang diadakan dalam musim cuti akhir penggal persekolahan untuk memberi peluang seluruh keluarga melawat pameran ini.