Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) yang baru, di Majlis Pelantikan dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.
Berkenan berangkat ke majlis itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Tengku Sri Temenggong Raja dan Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Tengku Bentara Raja dan Ketua Istiadat, Dato’ Bentara Luar.
Istiadat pelantikan diteruskan dengan Menteri Besar mengadap Sultan Mizan dan menyembah nama Exco baru itu.
Seterusnya, YB Haji Muhammad Pehimi melafaz sumpah serta menandatangani sumpah jawatan itu.
Turut hadir, semua Exco, Adun dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Pelantikan Exco baru berkenaan sebagai mengisi kekosongan jawatan tersebut berikutan kematian Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri pada 23 Jun lalu.