Halaman

21 November 2013

MOSTI peruntuk RM2.9 bilion untuk pembangunan dan pengkomersilan

Oleh: Noraini Jusoh

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan 16 jenis dana berbentuk geran dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.9 bilion yang merangkumi fasa pembangunan dan pengkomersilan (R D&C).

 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, dana-dana tersebut ditawarkan kepada syarikat-syarikat SME, Institusi Penyelidikan dan Institusi Pengajian Tinggi untuk menjalankan projek-projek R D&C yang meliputi sektor ICT, bioteknologi, industri, teras sains dan teknologi (TS&T) dan SEA TO SPACE (S2S).

“Di antara dana yang disediakan oleh MOSTI di bawah RMKe-9 adalah Scienfund, Technofund, Innofund, Econtent, Demonstrator Applicatin Grant Sheme Roll-Out (DAGS) dan Technology Development,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sesi dialog Menteri MOSTI bersama penerima dan pemohon dana serta taklimat mengenai dana R D&C MOSTI peringkat zon Timur di UMT, hari ini.

Katanya, di bawah RMKe-9, sejumlah 4566 projek telah diluluskan melalui dana R,D&C MOSTI.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3797 projek telah berjaya disiapkan, manakala selebihnya di pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Sehingga 31 Ogos 2013, daripada sejumlah RM2.9 bilion peruntukan yang disalurkan untuk membiayai projek R D&C oleh MOSTI dan agensi, sejumlah RM2.3 bilion nilai jualan telah dijana,” jelasnya.

Tambah beliau, sebanyak 313 projek telah dikomersilkan daripada 1288 projek yang berpotensi dan sebanyak 14320 peluang pekerjaan telah diwujudkan.

 Katanya, ssebanyak 107 projek telah diluluskan di Zon Timur merangkumi Kelantan, Pahang dan Terengganu dengan jumlah RM63.88 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah 44 projek oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah diluluskan dengan pembiayaan bernilai RM10.3 juta.

 “Manakala, sejumlah 14 projek dengan pembiayaan sebanyak RM11.16 juta telah diluluskan untuk universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya.

 “Sementara, dalam tempoh RMKe-10 pula, 35 projek bernilai RM14.59 juta telah diluluskan di zon Timur secara keseluruhan dan 20 projek yang diluluskan adalah kepada UMT dengan jumlah peruntukan bernilai RM4.85 juta.

Untuk UMP, 8 projek diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.44 juta,”jelasnya.