Halaman

09 December 2013

Puteri UMNO Besut bantu mangsa banjir di Dungun


Puteri UMNO Besut menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Dungun.

Oleh: Mohammad Ishak 

Tersentuh dengan nasib malang yang menimpa penduduk yang terbabit dengan bencana banjir di daerah Dungun membangkitkan kesedaran kepada ahli Puteri Umno Besut untuk mencurah khidmat bakti menolong mereka yang ditimpa kesusahan.

Berikutan itu ahli Puteri mengadakan gerakan mengumpul pelbagai jenis pakaian dan makanan daripada penduduk sekitar daerah Besut untuk memberi bantuan kepada mangsa terbabit.

Ketua Puteri Umno Bahagian, Eernisalwani Saidi berkata, menerusi usaha itu pihaknya berjaya mengumpul pelbagai jenis barangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Dungun.

Katanya, hasil kejayaan itu ahli jawatankuasa Puteri menghantar sebuah van untuk diagihkan kepada mangsa dalam misi bantuan kemanusiaan yang dilakukan oleh Puteri Umno

Mengetuai skuard bantuan itu, Erniesalwani bersama enam ahli jawatankuasa lain pagi inim berlepas ke Dungun untuk menyerahkan bantuan dengan kerjasama Puteri Umno Dungun.

“Saya berharap dengan adanya sumbangan seperti ini ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terjejas dengan bencana berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mendapatkan sumbangan daripada orang ramai di sekitar daerah Besut akan diteruskan oleh Puteri Umno dan bantuan akan disalurkan kepada pihak berkaitan di Dungun dari masa ke semasa.

08 December 2013

Sekitar Hari Ke Lima Banjir Di Chukai: Kami Pasrah.

Bersih..Seorang pekerja kedai tayar membersih tayar yang ditengelami air.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

CHUKAI: Selepas lima hari banjir besar melanda beberapa tempat di daerah ini termasuklah sekitar bandar ini , hari ini (8.12.2013) (hari ke lima banjir) kebanyakan penduduk sekitar Chukai sudah pulang ke rumah masing-masing untuk membersih rumah mereka.

Tinjauan Teganukita di beberapa taman perumahan petang tadi, mendapati semua mangsa banjir reda dengan apa yang berlaku ke atasnya biarpun hampir 80 peratus barangan dalam rumah mereka rosak termasuklah perabot, perkakas elektrik dan kenderaan.

Cuci..seorang remaja sedang menyimpan bilik di rumah bapa saudaranya.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohd, 45, dari Batu 2, Jalan Chukai- Air Putih berkata, dia yang hari ini baru pulang ke rumahnya sudah menjangka apa akan berlaku di dalam rumahnya selepas banjir kerana air melimpahi rumahnya hingga ke paras dada.

“Ketika kejadian saya tiada di kampung kerana bertugas di negeri Sembilan, saya pulang banjir tengah besar. Apa yang saya fikirkan ialah anak dan isteri dan saya bersyukur kerana mereka semua selamat walaupun hampir semua peralatan rumah rosak termasuklah dua kereta dan dua buah motosikal,” katanya.

Begitu juga dengan seorang kakitangan Petronas, Zakaria Deraman, 51 dari Taman Permai Jaya, berkata, beliau menganggap yang belaku adalah atas kehendak Allah dan pasrah terhadap apa yang berlaku biarpun hatinya mungkin sebak kerana hampir kesemua peralatan rumahnya rosak termasuklah kenderaan.

Reda..Zakaria menunjukan dua motosikalnya yang rosak.
“Saya reda, yang penting semua ahli keluarga selamat. Harta benda boleh dicari semula. Semua ini ujian Allah untuk kita. Boleh dikatakan hampir kesemua perabot dan peralatan elektrik dalam rumah saya tidak boleh digunakan. Dua buah kereta saya iaitu sebuah Merc. dan sebuah proton Persona serta dua motosikal di tengelami air,” katanya.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar banjir di Chukai hari ke lima:-

Masih banjir..sebuah rumah di Batu 3 masih ditengelami air.
Pulang..penduduk pulang membersih rumah.

Simpan..antara barangan yang ditengelami air.
Perihatin..seorang kakitangan syarikat swasta membahagikan makanan.
Buka..sebahagian kedai yang sudah di buka.


Perihatin..GPMS Malaysia turut membantu mangsa banjir

Niaga..beberapa peniaga berniaga di tepi jalan di Binjai.


Pulih..bandar Chukai semakin pulih.

Terima kasih..seorang warga emas menerima sumbangan makanan.

Tenggelam..dua motosikal yang masih tengelam.

Berselut..pemandangan sebuah bilik mangsa banjir.

Bersih..seorang penduduk membersih ruang tamu rumah yang berselut.
Baiki..bengkel kereta jadi tumpuan.
Buka..kedai makan sudah banyak buka.

 

UMT akan membuat kajian atasi banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menjalankan satu kajian pembangunan penempatan penduduk yang terdedah dengan bencana banjir di Pantai Timur dalam masa terdekat.

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT akan memainkan peranan untuk membuat kajian itu memandangkan bencana banjir perlu ditangani oleh semua pihak termasuk penyelidik di pusat pengajian tinggi awam negara ini.

“ UMT mempunyai penyelidik dalam bidang kejuruteraan yang pakar mengenai hakisan tanah serta mengurus air yang sinonim dengan bencana banjir tetapi sebelum ini mereka tidak memberi penekanan terhadap isu banjir.

“Justeru, dengan adanya kajian itu nanti sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah banjir di negeri ini dalam tempoh jangka panjang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat mengenai pembentukan pusat pengajian dan pusat pendidikan UMT di Bangunan Canselori UMT, hari ini.

Katanya, kebanyakan daripada kita bercakap mengenai bencana alam seperti banjir selepas berlaku sesuatu peristiwa tersebut, bagaimanapun sepatutnya bencana itu ditangani lebih awal sebelum terjadi.

 “Sebagai sebuah universiti kita perlu memberikan tumpuan kepada usaha meminimumkan bencana alam contohnya banjir melalui pelbagai bentuk penyelidikan yang dapat mempengaruhi dasar sedia ada.

“Kalau kita mempunyai perancangan dan sokongan awal, kesan banjir itu akan sentiasa berkurangan,” ujarnya.

Menurut beliau, salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah para sainstis perlu mengenal pasti fenomena banjir secara lebih mendalam.

“Apabila sainstis boleh mengenali fenomena banjir secara terperinci, ia akan banyak membantu pihak bertangungjawab yang menjalankan sesuatu pembangunan di kawasan banjir melaksanakan kerja mereka secara lebih berstruktur dan sistematik,"katanya.

Tambah beliau, pihak tertentu sepatutnya mengelak daripada membangunkan penempatan di kawasan berisiko banjir kerana kawasan berkenaan seharusnya dibangunkan untuk tujuan lain yang tidak membebankan penduduk sekiranya banjir melanda contohnya diusahakan sebagai tanah pertanian.

 

Mangsa banjir ceria dikunjungi pemimipin

Oleh: Amirullah Othman

Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan berangan, YB A Latiff Awang ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh, Marang memberi keceriaan kepada mangsa banjir .

YB A Latiff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat negeri turun padang bagi berkongsi derita dan juga melihat keperluan semasa yang perlu disediakan kepada mangsa berkenaan.

 “Saya ucapkan takziah atas apa yang berlaku dan meminta mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir ini bersabar dan menerima ini sebagai ujian dari Allah swt.


“Sebagai wakil rakyat, saya sedaya upaya akan menjaga kebajikan mangsa banjir di seluruh Parlimen Marang dan bukan hanya tertumpu di DUN Pengkalan Berangan sahaja. Oleh itu, semua mangsa banjir tidak perlu risau dan susah hati kerana mereka bukan keseorangan, banyak pihak-pihak bersama dalam menghadapi bencana banjir ini,” katanya.

Beliau turut menasihati kepada semua yang terlibat dalam bencana banjir ini supaya menjaga keselamatan diri memandangkan dijangka akan ada gelombang kedua tidak lama lagi.

YB A Latiff turut menyampaikan sumbangan peribadi dalam kunjungan itu.

Selain itu, Jabatan dan agensi yang turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Marang, Pejabat Daerah Marang, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Marang, RELA Daerah Marang dan pelbagai agensi kerajaan yang lain serta NGO.

Sehingga kini, terdapat empat pusat pemindahan di Marang yang melibatkan 67 mangsa daripada 19 keluarga.

Antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh, Merchang ( 13 keluarga, 37 mangsa), Kampung Temala ( tiga keluarga, 19 mangsa) dan SK Kampung Jenang (dua keluarga, tujuh mangsa).

 

Nasib mangsa banjir terus mendapat perhatian

Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin bersama anggota Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin dan anggota PDRM sebelum bergerak ke Kemaman untuk bantuan mangsa banjir.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Penderitaan mangsa banjir di seluruh Terengganu terus mendapat perhatian pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam apabila tampil menyumbang barangan keperluan harian dan makanan.

Anggota Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin mengangkat barangan keperluan  ke dalam lori.
Usaha itu diharap meringankan beban dan penderitaan mangsa banjir yang kini mencapai 23,102 orang membabitkan 5,672 keluarga dan di tempatkan di 67 pusat permindahan banjir.

 Terbaru, inisiatif yang sama turut diambil Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin, Kuala Terengganu apabila menyumbang pelbagai jenis makanan seperti beras, biskut, minyak masak, susu tepung, susu pekat, milo, air minuman dan makanan ringan.


Komender Rejimen, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin,  berkata sumbangan berupa barangan makanan, terlebih dahulu akan diagihkan ke pusat pemindahan yang dikenalpasti mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi .

“Langkah ini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan jika sumbangan masih diperlukan, kami akan usahakan perkara sama dengan mengagihkan bantuan ke Dungun dan Hulu Terengganu.

 “Kami berbangga kerana kerjasama pelbagai pihak bukan sahaja NGO dan syarikat swasta, malah orang awam yang tampil membantu membolehkan kita mengumpul sumbangan kira-kira RM13,000,”katanya.

Tengku Baharuddin berkata, sumbangan kali ini lebih mengutamakan makanan dan minuman berdasarkan keperluan mangsa di pusat pemindahan hasil lawatan beliau sebelum itu. Beliau turut berharap mangsa yang terlibat dengan kejadian banjir redha dengan ujian, selain mengharapkan sumbangan itu mampu mengubat kesedihan mereka.

Pengerusi Persatuan Wanita Melayu Muda Terengganu, Puan Nordiana Shafie, berkata dia bangga kerana pelbagai NGO, syarikat swasta, orang awam bersama-sama kerajaan membantu mangsa banjir.

Katanya, pihaknya terpanggil melaksanakan kerja amal itu kerana dapat menyelami isi hati mangsa banjir yang memerlukan sokongan dan mahukan barangan keperluan harian.

 “Selain makanan, barangan keperluan lain seperti berus gigi, ubat gigi, sabun, selimut, tuala mandi dan sebagainya turut diagihkan, hasil sumbangan ahli dan orang ramai.

 “Jika diperlukan, bantuan seumpama ini akan diteruskan, termasuk mengagihkan kasut, beg dan pakaian sekolah pada minggu akhir cuti persekolahan ,” katanya.

 

Keprihatinan warga Terengganu bantu mangsa banjir

Petugas sedang mengangkat barang keperluan hasil sumbangan orang ramai ke atas lori untuk dihantar ke daerah Kemaman.
Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam tempoh kurang lima jam, pelbagai barangan makanan dan pakaian dianggarkan melebihi lima tan berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada pusat pemindahan mangsa banjir di sekitar Kemaman.

Inilah barangan sumbangan orang ramai untuk mangsa banjir di sekitar Kemaman.
KHAIRIL ZUHDI
Inisiatif berkenaan hasil kerjasama kakitangan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Terengganu dengan Kelab Motor Retro Terengganu bermula sejak jam 9 pagi hingga 5 petang, bertempat di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Terengganu, Encik Khairil Zuhdi Khairuddin, berkata pihaknya terpanggil untuk mengajak seluruh masyarakat di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik berganding bahu menunjukkan rasa cinta, kerjasama dan keprihatinan kepada mereka yang tidak bernasib baik terutama ketika berdepan musibah banjir di seluruh negeri.

“Timbul rasa ingin membantu mangsa banjir yang juga terdiri di kalangan saudara-mara dan rakan-rakan kita sendiri selepas melihat usaha yang dilaksanakan oleh sebuah kelab motor juga di Kuala Terengganu ini sejak semalam.

“Jadi selepas menghubungi Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Terengganu untuk menyediakan logistik bagi menghantar bekalan ini dan mendapat persetujuan beliau, saya mengerahkan petugas membuat promosi hebahan menerusi website dan Facebook sejak 9 malam tadi. Alhamdulillah sambutan amat di luar jangkaan pada hari ini,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Encik Khairil berkata, usaha itu bukan sahaja disertai lebih 10 petugas, malah beberapa orang awam secara sukarela turut menghulurkan kerahan tenaga membantu mengangkat barangan yang dibawa orang ramai dari but kenderaan yang tidak putus-putus tiba di pusat pengumpulan barang berkenaan.

Malah, menurutnya, pihaknya juga berbangga dan terharu apabila ada orang perseorangan yang tampil membantu untuk menyediakan lori bagi mengangkut dan memindahkan barangan itu ke pusat pemindahan nanti.

“Kita bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang sedang dirundung masalah dan memerlukan sokongan kita, malah usaha sebegini juga membuktikan masyarakat Terengganu amat prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan tanpa mengira sesiapa.

“Kita juga bersedia dan tidak mustahil untuk meneruskan usaha murni itu sekiranya masih ada sambutan dan keperluan berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata  JPAM juga bersedia menyediakan lori muatan lima tan jika lori tiga tan yang dipersetujui awal pihak berkenaan tidak dapat menampung barangan berkenaan.


Bazlan Kota Janji.

Puashati...Bazlan meninjau kerja mengali parit.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BATU RAKIT: Selepas menyelami sendiri kesusahan yang dialami oleh penduduk beberapa kampung di kawasanya yang sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman mengotakan janjinya memperelokan sistem saliran di kampung terbabit untuk mengelakan berlakunya banjir.

Baru-baru ini, kerja-kerja mengali parit dan mencuci longkang dilakukan di Kampung Kubur Timah sebagai permulaan dengan mengali beberapa parit besar dan mengadakan kalvet di beberapa tempat bagi membolehkan air dapat mengalir dengan sempurna.

Bazlan berkata, kerja-kerja mengali parit dan memasang kalvet itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

"Saya mengharapkan dengan kerja-kerja yang dilakukan ini dapat mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di beberapa kampung di kawasan ini, antaranya ialah Kampung Kubur Timah, Pengkalan Atap, Pecah Rotan dan Kampung Darat.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Penghulu Mukim yang memberi kerjasama mengatasi masalah ini." katanya.

Sebelum itu Bazlan meninjau permasalahan banjir di kampung-kampung terbabit dan berjanji membantu mengatasi masalah itu dengan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi mengali parit dan mengadakan kalvet serta mengadakan longkang besar di tepi jalan utama.

 

JPAM lancar 32 unit kenderaan bantu operasi banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu melancarkan 32 unit kenderaan bagi operasi pemindahan dan penghantaran makanan kepada mangsa banjir di beberapa daerah yang terjejas akibat bencana itu, di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Pengarah JPAM Terengganu, Encik Mohd Zubir Mohd Juzad, lori 3 tan hingga 5 tan, bot dan kenderaan pacuan empat roda digerakkan bersama-sama kenderaan pasukan penyelamat lain untuk membantu mangsa banjir.

"JPAM Terengganu juga telah mengerahkan seramai 250 anggota skuad utama yang sangat terlatih dan mempunyai asas dalam paramedik, ke Kemaman.

 "Jika keperluan semakin mendesak, kita akan menambah lagi seramai 1,500 anggota dari skuad bantuan bagi memastikan operasi menyelamatkan mangsa banjir berjalan lancar," katanya ketika ditemui di pusat pengumpulan barangan untuk mangsa banjir di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, dalam menghadapi bencana banjir, JPAM diberi peranan untuk menjadi kumpulan bertindak di barisan depan untuk memindahkan dan menghantar bekalan makanan kepada mangsa ke pusat penempatan sementara dengan menggunakan logistik yang ada.

"Kita sebelum ini memang sedia ada satu platun yang dianggotai 30 anggota di setiap daerah dan kini kita membantu mangsa banjir di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu," katanya.


07 December 2013

Jalan Chukai-Kuantan melalui Geliga sudah boleh dilalui.

KUALA TERENGGANU: Jalan yang menghubungkan Bandar Chukai ke Kuantan melalui Geliga sudah boleh dilalui semua kenderaan bermula awal pagi tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) daerah Kemaman ketika dihubungi hari ini (jam 7.30 pagi) memberitahu jalan kembali pulih seperti biasa berikutan air yang melintasi jalan surut awal pagi tadi.

"Jalan untuk ke Kuantan boleh dilalui sejak awal pagi tadi, bagaimanapun di Chendor (Kuantan) hanya sebelah jalan sahaja di buka di sebuah jambatan di tempat itu kerana mengalami kerosakan. 

"Orang ramai boleh juga mengunakan jalan alternatif iaitu jalan Jerangau- Jabor melalui Beris Meraga-Seri Bandi-Padang Kubu untuk ke arah Kuantan atau Kuala Lumpur. Manakala Jalan Chukai ke Air Putih masih belum boleh dilalui kenderaan kerana masih ada air yang melintas jalan di beberapa tempat, pagi ini," katanya.

Dalam pada itu, bekalan elektrik yang terputus di beberapa kawasan sejak banjir melanda bandar Chukai dan sekitarnya baru-baru ini kembali pulih di beberapa tempat.

"Ada sebahagian kawasan yang sudah ada bekelan elektrik manakala beberapa tempat lagi belum ada, begitu juga dengan bekalan air," katanya.

 

Senarai talian kecemasan

Oleh: Suriati Ali

Bagi kemudahan orang ramai mendapatkan segala maklumat mengenai perkembangan banjir terkini di negeri ini termasuk jalan-jalan yang ditutup, mereka boleh mendapat melalui talian yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri.

Mereka boleh melayari http://etindakan.terengganu.gov.my sebagai panduan terutama bagi kalangan yang dalam perjalanan agar tidak terkandas di samping bagi mendapatkan bantuan semasa kecemasan dan lain-lain perkhimdatan dalam keadaan memerlukan.

Orang ramai juga boleh merujuk melalui talian berikut: Bilik Gerakan Bencana Negeri - 09-6316021.

Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat - 09-6224022 Bilik Gerakan Jabatan Kerja Raya - 09-6274277 Stesen Meteoroloji Lapangan Terbang Sultan Mahmud - 09-6664743

 Bilik Gerakan Jabatan Pengajiran dan Saliran - 09-6224072 Pusat Kawalan Kontinjen Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) - 09-6270499

Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat - 09-6234444 Batalion 18 RAMD (waktu pejabat) - 09-6664233 sambungan 223/226

Bilik Gerakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia - 09-6668246 / 09-6666492

 Bilik Gerakan Jabatan Pengangkutan Jalan - 09-6222023 Bilik Operasi Tenaga Nasional Berhad - 09-6267348