Halaman

10 December 2013

Belia Marang bergabung jayakan misi bantuan

Oleh: Amirullah Othman

Jawatankuasa khas menggabungkan Majlis Belia Daerah Marang, Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Marang dan Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Marang dibentuk bagi mengumpul dana, pakaian serta barangan keperluan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik Zaidi Muda berkata, jawatankuasanya akan menyusun langkah-langkah bagi menjayakan misi bantuan itu seperti menghantar sukarelawan belia Marang ke Kemaman untuk sama-sama membersihkan kediaman dan dewan orang ramai yang terlibat dengan fenomena alam itu.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan bantuan hasil tinjauan ke beberapa kawasan di Kemaman pada minggu lalu dan mendapati banyak kawasan terjejas teruk ekoran bencana itu.


“Kerjasama dari ahli-ahli belia yang diterima amat menggalakkan dan setakat ni pelbagai bentuk barangan dan pakaian telah dikumpulkan di Pusat Khidmat Rakan Muda Marang.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu berkata, program itu yang turut digembeleng bersama Majlis Belia Daerah Kemaman akan memastikan beban yang terpaksa ditanggung mangsa banjir dapat dikurangkan.

“Kami juga berharap mangsa banjir dapat bersabar dan menerima segala ujian ini dengan hati yang tabah,” katanya.


Setiu kembali banjir, 110 berpindah.

Pusing...kenderaan berpatah balik di Kampung Lubuk Panjang.
oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Selepas hujan tidak berhenti bermula dari petang semalam, beberapa kampung di kawasan Langkap, dekat sini, mula ditengelami air sejak awal pagi tadi menyebabkan 110 penduduk di pindahkan.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, penduduk yang berpindah itu ialah dari Kampung Merbau Menyusut dan Kampung Bukit Nyior, Sungai Tong.

"Jalan yang ditutup pula ialah Jalan Pengkalan Merbau-Pelong di Kampung Seri Kenangan, air sedalam kira-kira 1.2 meter dan Jalan Chalok Kedai-Telaga Papan iaitu di Kampung Lubuk Panjang sedalam kira-kira 0.5 meter," katanya ketika di hubungi Teganukita.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kampung sebentar tadi (3 petang) mendapati air yang mulai naik sejak awal pagi tadi itu semakin surut sedikit antaranya ialah di Kampung Chalok Kedai, Kampung Chalok Terap, Sungai Bari dan Kampung Merbau menyusut.

Seorang penduduk Kampung Merbau Menyusut, Abdul Hadi Ahmad, 40, berkata, dia sekeluarga terpaksa berpindah kira-kira jam 7 pagi di masjid kampung berkenaan.

"Setakat ini air sudahpun surut sedikit selepas naik kira-kira jam 12 tengahari tadi tetapi mereka yang berpindah di masjid masih belum pulang ke rumah masing-masing," katanya.



 

Telekom Malaysia (TM) beri penghargaan kepada orang ramai yang membantu banteras pencuri kabel


Anggota Polis dan orang awam bergambar selepas menerima penghargaan dari TM

Oleh: Mohammad Ishak'

Kegiatan mencuri kabel telekom di negeri ini yang dilaporkan meningkat bermula awal tahun ini semakin menurun sejak kebelakangan ini berikutan tindakan orang awam yang membantu mencegah aktiviti berkenaan.

Pengurus Besar Negeri, Telekom Malaysia Berhad, Hamidun Ismail berkata, kesedaran orang ramai untuk membantu melapor kepada pihak keselamatan dan menangkap pencuri kabel ketika terserempak dengan kejadian curi kini berkurangan apabila aktiviti mereka dihidu orang ramai.

Katanya, pembabitan orang awam membantu kes curi kebal amat dihargai oleh Telekom Malaysia (TM) kerana syarikat itu tidak mampu untuk memantau kegiatan pencuri disebabkan ketiadaan kakitangan.

Menurutnya, pihaknya merekodkan 307 kes kecurian kebal sepanjang tahun ini dan daerah Besut mencatat jumlah tertinggi membabitkan 69 kes.

Berikutan itu, katanya, seramai 3,988 pengguna telefon yang menggunakan perkhidmatan talian tetap dan kemudahan internet terjejas dengan perkhidmatan berkenaan apabila kebel dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kes kecurian kabel bukan sahaja menjejas perkhidmatan kepada orang awam malah ia turut dialami jabatan dan agensi kerajaan yang terganggu dengan perkhidmatan TM,” katanya kepada media selepas Program TM Mesra Sepakat Komuniti dan Majlis Penghargaan kepada orang awam dan anggota PDRM di sini semalam.

Ahli Exco Kerajaan negeri,Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, merasmikan program berkenaan yang dihadiri Pengerus Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rela, peronda SRS dan anggota PDRM daerah Besut.

Pada majlis itu, 29 anggota polis dan lapan orang awam yang membantu menangkap pencuri kebel di daerah Besut diberi surat penghargaan sebagai tanda penghargaan memberi keerjasama kepada TM.

Bajet 2014 utamakan sektor pendidikan

Oleh: Aida Abd Rahman, Noraini Jusoh, Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainuddin (pelatih)

Sektor pendidikan terus menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri selaras dengan gagasan Terengganu sebagai sebuah Negeri Anjung Ilmu dan sebagai tempat rujukan kepada negeri lain.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merancang pelbagai program pada tahun depan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang sama ada menerusi pembangunan fizikal mahupun rohani.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata modal insan berkualiti adalah antara faktor penting dalam mencapai matlamat untuk menjadi negeri maju. “Dalam persekitaran dunia hari ini, anak-anak dan generasi kita didedah secara langsung dengan persekitaran global dengan kehadiran internet yang menjadikan dunia ini tanpa sempadan.

“Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia menaruh harapan terhadap tiga elemen iaitu, pertama, membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakt bangsa Malaysia yang maju; kedua, memastikan akses, ekuiti dan kualiti yang menjadi tunjang agenda pendidikan dapat diteruskan serta ketiga, merintis dan menerajui perubahan demi melonjakkan sistem dan institusi pendidikan ke tahap dunia pada 2020,” katanya  ketika membentangan Bajet 2014, di Persidangan DUN, di Wisma Darul Iman, semalam.

Justeru itu, Menteri Besar mencadangkan peruntukan pembangunan sebanyak RM59.19 juta bagi projek-projek pembangunan di bawah sektor itu bagi memastikan aspek kualiti pendidikan dan latihan terus diberi penekanan.

Katanya, kerajaan tidak pernah jemu dan akan terus melaksanakan pelbagai program ke arah kecemerlangan pendidikan rakyat.

“Malah, kejayaan demi kejayaan dalam program pendidikan daripada peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat universiti telah menjadi sebutan dan sebahagiannya menjadi contoh kepada negeri lain.

“Bagi meneruskan kecemerlangan ini Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk program-program flagship pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga ke peringkat universiti,” katanya.

Menurutnya, peningkatan dari segi bilangan kanak-kanak yang berjaya khatam Al-Quran dari setahun ke setahun amat memberangsangkan.

Selain itu, kira-kira 70,000 pelajar sekolah rendah di negeri ini sedang mengikuti kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebagai langkah mendidik mereka mendalami ilmu al-Quran dan perkara asas berkaitan fardhu ain.

Pelajar yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang mengikuti program ini akan dibimbing mengikut modul yang telah ditetapkan supaya mampu menguasai al-Quran dan memahami serta mengamal perkara asas fardhu ain.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, seramai 24,330 pelajar kelas KAFA dari tahun dua hingga tahun enam seluruh Terengganu berjaya khatam al-Quran pada tahun ini, berbanding seramai 21,610 orang pelajar KAFA pada 2012.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua pelajar sekolah di negeri ini akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke Tingkatan Satu.

Selain itu,  kerajaan juga melahirkan rasa bangga di atas pencapaian pelajar-pelajar kelas KAFA yang mampu membawa negeri terbaik lima tahun berturut-turut.

“Oleh itu, peruntukan sebanyak RM3.5 juta disediakan bagi memperkasakan Program Pintar Quran dan KAFA pada 2014.

“Menyingkap kembali program e-Book, semenjak tahun 2009 Kerajaan Negeri telah mengagihkan sebanyak 117,112 unit e-Book kepada pelajar sekolah disusuli pula dengan projek Kelas Maya atau Virtual Class.

Projek Kelas Maya yang telah dimulakan di SK Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir, SK Telok Kalung dan SK Marang kini telah bertambah sebanyak 124 buah di seluruh Terengganu dan 81 buah lagi kelas dalam proses dinaiktaraf kepada Kelas Maya yang melibatkan 74 buah sekolah.

Menteri Besar berkata, sekolah yang dilengkapi dengan Kelas Maya di negeri ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dalam peperiksaan UPSR 2013.

Oleh itu, bagi menambahkan lagi sekolah-sekolah yang mempunyai Kelas Maya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta pada tahun depan.

“Dengan langkah-langkah dan usaha-usaha ke arah menjayakan cara dan amalan pendidikan masa kini serta keberkesanan penggunaan e-Book, hasilnya Negeri Terengganu terus cemerlang dalam keputusan UPSR untuk 2013 dengan 3,039 orang murid memperolehi 5A iaitu peningkatan 14 peratus berbanding dengan 13.22 peratus pada tahun lalu.

 

Sidang DUN: Kerajaan kenalpasti, punca masjid runtuh

Oleh: Suriati Ali

Kejadian beberapa masjid runtuh di Terengganu, baru-baru ini, dikenalpasti menggunakan material kekuda besi ringan pada bumbung dan syiling oleh kontraktor yang dilantik.

 Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman, kontraktor dan pembekal bahan binaan harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembinaan semula bumbung dan siling, termasuk Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal.

Katanya, projek yang sudah siap pula, kita tidak akan tukar meterial itu kerana memakan belanja sekitar RM200,000 hingga RM250,000 bagi penukaran struktur, tetapi Jabatan Kerja Raya (JKR) tetap pantau bagi mengelak kejadian berulang.

“Kejadian Masijd Kampung Terbauk yang runtuh, pada September lalu, kita sudah ada laporan yang menyatakan metarial dibekalkan pembekal tidak berkualiti.

“Hasil laporan itu, kita sudah arahkan JKR siasat semua bumbung masjid yang mengunakan material yang sama iaitu kekuda besi ringan,” katanya pada Sidang Desan Undangan Negeri, hari ini.

YB Ir Rosli turut memberitahu semua projek akan datang, kita ambil semua perkara itu sebagai iktibar dan pengalaman, tidak lagi menggunakan pembekal dan kontraktor yang sama.

 

EIO pantau e-Book di setiap sekolah

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri mempunyai perancangan rapi dalam melaksanakan pembelajaran menggunakan sistem e-Book dengan menyediakan Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) di setiap sekolah .

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Terengganu juga mempunyai sebuah kilang yang mengeluarkan pelbagai jenis gajet gajet komunikasi ciptaan sendiri dengan jenama Top IT.

 Katanya, setiap EIO bertanggungjawab membantu membaiki kerosakan kecil yang berlaku terhadap e Book manakala kerosakan yang besar akan dibaiki kilang Top IT yang terletak di kawasan perindustrian di Gong Badak.

"Ini lah pelan strategik kita...kita bekal e Book untuk pelajar manfaatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat untuk kecemerlangan akademik.

“Pada masa sama, kerajaan Terengganu sudah sediakan EIO dan kilang sendiri untuk membaiki kerosakan e Book.

"Malah, kilang kita juga ada keluarkan gajet yang dijual ke pasaran luar negara dan lebih membanggakan 100 peratus pekerjanya adalah Bumiputera," katanya menjawab soalan tambahan Azan Ismail (PKR-Bandar) yang ingin tahu persediaan kerajaan negeri untuk menangani masalah 'maintenance' penggunaan e Book di Terengganu.

 Justeru, Ahmad berkata tidak timbul isu kerajaan negeri hanya 'syok sendiri' membekal e Book kepada pelajar kerana persediaan untuk membaiki kerosakan telah pun disediakan serentak pelaksanaan program itu.

 

JAS ringankan beban mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu (JAS) turut menyalurkan bantuan kepada beberapa mangsa banjir di sekitar Kemaman selepas melihat kehidupan ramai penduduk yang terjejas berikutan bencana luar biasa itu.

Kakitangan JAS negeri Terengganu berada di Kemaman bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir di daerah itu.
Pengarahnya, Pn Roshadah Hashim berkata, pihaknya terpanggil untuk turut sama membantu mangsa banjir terutama di kalangan kakitangan JAS sendiri yang terbabit sama apabila rumah dan barangan turut musnah ditenggelami air.

 “Beberapa kakitangan JAS turun padang menghulurkan bantuan termasuk bekerjasama membersihkan rumah kakitangan yang terlibat dalam bencana itu.

"Alhamdulillah dengan pertolongan dan komitmen warga JAS Terengganu, misi penghantaran barangan keperluan dan tenaga kerja untuk membantu meringankan beban mangsa berjaya dilaksanakan hari ini,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Roshadah yang juga penaung Kelab Sukan dan Kebajikan Alam Sekitar Terengganu (KESUKAS) turut berterima kasih kepada semua yang memberi sumbangan sehingga program ini berjaya dilancarkan.

Katanya, lapan petugas JAS dengan dua unit kenderaan pacuan empat roda yang membawa bersama barangan keperluan sumbangan orang ramai digerakkan bagi menjayakan misi itu.


IKRAR RAHMAN BAKAR

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

 “Sesuatu produk dan penghasilan yang baik tetapi jika gagal diberi promosi, iklan, hebahan dan penerangan, ia menjadi sebaliknya.
 Lantaran itu kaedah yang disebutkan tadi akan menjadi keutamaan saya dengan menggunakan pelbagai saluran penerangan,” demikian kata Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu    Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.
 Bercakap kepada Teganukita Dato’ Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Marang berkata, penerangan tentang kebaikan parti Umno, Barisan Nasional dan kerajaan perlu diteruskan sepanjang masa di samping menangkis serangan-serangan kepada parti itu.
 Sebagai parti yang menjadi kerajaan, termasuk di Terengganu, apa yang dijalankan oleh kerajaan itu adalah sebenarnya Umno, tidak boleh sama sekali hendak diasingkan parti pemerintah dengan kerajaan yang memerintah, ia adalah saling berkaitan.
 Bagaimanapun katanya, pihak beliau memerlukan kerjasama semua peringkat Bahagian, Peti Undi, Cawangan, parti-parti komponen BN, badan-badan bukan kerajaan, belia dan sebagainya bagi memantapkan tugas-tugas penerangan, promosi, pemasaran (dengan izin, marketing).
  “Umno tidak boleh bersendirian, tetapi rakan strategik perlu diwujudkan, membina rangkaian dan jaringan dengan pelbagai lapisan masyarakat, barulah roh Umno yang memperjuangkan bangsa dan agama, mempelopori pembangunan negara, pembangunan insan dan membawa negara ke arah kemajuan yang cemerlang dapat meresap ke dalam jiwa masyarakat,” tegasnya.
 Ini kerana katanya, semua yang sedang dinikmati sekarang adalah hasil dari perjuangan dan kejayaan Umno dan BN, tidak sesiapa pun boleh menafikan. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang telah memberi kepercayaan kepadanya menerajui penerangan Umno Negeri, beliau berikrar akan menjalankan tugas dan amanah dengan sebaiknya.
  “Saya sedikit pun tidak menyangka dilantik tetapi apabila dilantik, maka adalah menjadi tugas saya untuk menjalankan tugas dan amanah itu dengan sebaik mungkin,” katanya.
  Memandangkan pada masa ini, saluran media baru amat berpengaruh, beliau akan meneruskan usaha memperkasakan sebaran maklumat dan penjelasan isu melalui media baru atau media sosial seperti facebook, blog, youtube, dan pelbagai bentuk media baru yang menjadi saluran komunikasi generasi masa kini.
  "Perlantikan ahli jawatankuasa dan  mesyuarat serta perjumpaan akan diadakan dalam masa yang terdekat ini," katanya.
  (catatan penuh wawancara akan disiarkan selepas ini).


Terengganu International Rainforest Challenge dijadikan acara tahunan

Oleh: Noraini Jusoh



Terengganu International Rainforest Challenge akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan utama negeri Terengganu bermula tahun hadapan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ia amat berpotensi untuk dikembangkan kerana Terengganu berada dalam carta sepuluh litar popular acara sukan lasak ini di seluruh dunia.

“Penyertaan menggalakkan 300 peserta, petugas serta kumpulan sokongan dari 25 negara termasuk 50 wakil media dari 13 negara berjaya membuktikan Terengganu antara lokasi pilihan.



“Setelah dijadikan acara tahunan, kerajaan negeri juga bersedia untuk menaja lebih besar lagi peruntukan untuk acara Rainforest Challenge pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Lasak kenderaaan Pacuan 4x4 Terengganu International Rainforest Challenge 2013 di Hotel Permai, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang acara sukan lasak yang dianjurkan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri itu.

Turut hadir, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ haji Mohd Jidin Shafee, Ahli-Ahli Dewan Pangkuan DiRaja dan Ahli-Ahli Majlis Mesyarat Kerajaan Negeri.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, kerajaan negeri mengharapkan sambutan hebat yang ditunjukkan akan berterusan dan lebih banyak pasukan menyertainya pada masa akan datang.

 







3 malam tidur dalam bot kecil.

Oleh: Aminudin Ismail. 

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas, Ismail Osman, 75, dari Kampung Batu Tiga Chukai, Kemaman sanggup tidur di dalam bot fiber kecil selama tiga malam kerana bimbangkan mesin jahit di dalam rumahnya ditenggelami air dalam kejadian banjir besar yang melanda kemaman, baru-baru ini.

Beliau yang bersyukur kerana mesin jahitnya itu selamat kerana tidak terkena air, terpaksa mengangkat mesin jahitnya beberapa kali di tempat lebih tinggi ketika air meningkat mendadak dalam kejadian banjir yang menengelamkan hampir separuh dalam rumahnya itu.

Ismail bersama botnya.
“Bukan Pak Cik tidak mahu tinggal di pusat pemindahan tetapi memandangkan air sentiasa naik Pak Cik bimbang barang dalam rumah Pak Cik termasuklah mesin jahit kerana motornya akan rosak apabila terkena air.

“Lagipun isteri Pak Cik sudahpun berpindah. Walaupun tidur dalam perahu ini tidak lena mana tetapi Pak Cik dapat menjaga barang-barang Pak Cik itu,” katanya yang tinggal berdua bersama isterinya, Jarah Abdullah, 65, di rumah itu kerana anak-anaknya semua sudah bekerja.

Dalam pada itu, Ismail berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu penduduk di kampungnya terutamanya yang tinggal di pusat perpindahan ketika banjir baru-baru ini.

“Isteri dan beberapa saudara mara Pak Cik ada tinggal di pusat pemindahan. Mereka semua berpuashati dengan makan dan minum yang disediakan. Terima kasih juga kepada semua yang menghulurkan bantuan makanan ke rumah Pak Cik ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada hari ke lima banjir di Chukai, baru-baru ini.