Halaman

21 December 2013

Program PDRM bersama Komuniti Batu Rakit Meriah.

Bazlan menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang cabutan bertuah.
Oleh Aminudin Ismail.

BATU RAKIT: Kira-kira 1000 penduduk dan anggota Polis hadir memeriahkan Program Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Bersama Komuniti Dun Batu Rakit yang diadakan di Dataran Futsal, Kampung Padang Kemunting, hari ini.

Urusetia program, Zakaria Abdul Rahman berkata, Pelbagai acara diadakan sempena program anjuran Polis Batu Rakit dan pejabat Adun Batu Rakit itu, antaranya ialah Partandingan Futsal, Perlawanan dam aji, Sukaneka, pameran Polis dan JPJ, Pertandingan melukis dan cabutan nombor bertuah.

"Selain itu kita adakan juga pemeriksaan kesihatan percuma, pemeran dari Bomba dan AADK dan lain-lain. Dalam pertandingan Futsal, Kampung Bukit Chempaka menewaskan Polis untuk memenangi kategori lelaki manakala Kampung Bukit Wan menang kategori wanita," katanya. 

Zain..sambutan meriah.
Dalam pada itu, Ketua Balai Polis Batu Rakit, Sarjan Mejar, Mohd Zain Bakar, berkata program ini adalah program ke empat yang dianjur oleh IPD Kuala Terengganu.

"Pada bulan ini, IPD Kuala Terengganu menganjurkan empat program seumpama ini di beberapa tempat iaitu di Balai Polis Gong Badak, Pondok Polis Seberang Takir, Balai Polis Kuala Terengganu di Kampung Gong Baru.

"Gong Tok Nasek dan Balai Polis Batu Rakit yang diadakan di Kampung Padang Kemunting pada hari ini. Sambutan amat meriah pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, walaupun hujan namun sambutan dari penduduk kampung amat mengalakan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dengan program yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat ini, termasuklah Polis dan JKKK di Batu Rakit.

"Kita akan terus mengadakan program seperti ini pada masa akan datang untuk faedah bersama termasuklah mendedahkan soal-soal keselamatan kepada penduduk di kawasan Batu Rakit ini," katanya.

Mula..Bazlan meyepak mula futsal


Tengok..kanak-kanak melihat motor besar.

Fikir..peserta dam aji.

Pamer..antara pameran yang diadakan.

Kenangan..Bazlan bergambar dengan anggota Polis.

Terima..pemenang dam aji terima hadiah dari Bazlan.

Cabut..Seorang Pegawai Polis mencabut nombor bertuah.
Taklimat..anggota Polis sukarela sedang diberi taklimat.


 

APA HASRAT 'GIANT KILLER' ?



SESUATU produk dan penghasilan yang baik mestilah seiring dengan promosi, iklan, hebahan dan penerangan terhadapnya. Itulah antara lain yang ditegaskan oleh Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu yang baru, YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.
 Beliau yang pernah digelar ‘giant killer’ kerana mampu menewaskan Presiden Pas di Parlimen Marang sebanyak dua kali iaitu 1990 dan 2004. 
  Seorang yang berpengalaman dalam parti dan kerajaan, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Timbalan Pengerusi Mara, Pengerusi LKIM, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ketua Pemuda Umno Negeri, selain pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Marang. 
 Berikut adalah petikan sebahagian wawancara Pengarang Teganukita, RUSLAN ABDUL RAHMAN dengan Ketua Penerangan Umno Terengganu. 

 Pengarang: Tahniah di atas perlantikan, apa yang Dato’ fikirkan sekarang sebaik dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Terengganu. 

 Pertamanya saya hendak ucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Umno Terengganu yang telah memberi kepercayaan kepada saya bagi menjalankan tugas-tugas penerangan parti ini. Saya sedikit pun tidak menyangka dilantik tetapi apabila dilantik, maka adalah menjadi tugas saya untuk menjalankan tugas dan amanah itu dengan sebaik mungkin.

 Saya fikir bahawa Umno perlu dipersadakan, sokongan ke atas parti keramat orang Melayu ini perlu ditingkatkan melalui program penerangan dari masa ke semasa. Sesuatu produk yang baik seperti Umno ini perlu diberi promosi, iklan atau kaedah pemasaran yang terbaik. Kalau hendak dibuat anologi, Umno adalah satu produk yang cukup baik, maka untuk laris dan mendapat tempat, pemasarannya dan pengiklanannya serta kefahaman terhadapnya mestilah seriiring, barulah akan laris dan mendapat pasaran yang terbaik.

Pengarang: Mampukah ia dilakukan, di saat-saat pihak parti lawan juga kuat? 

Oleh sebab itulah kita perlu kerjasama semua pihak. Pihak kami memerlukan kerjasama semua peringkat termasuk Umno Bahagian, Peti Undi, Cawangan, parti-parti komponen BN, agensi-asgensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, organisasi belia dan sebagainya bagi memantapkan tugas-tugas penerangan, promosi, pemasaran ,dengan izin ‘marketing’.

 Begitu juga, Umno tidak boleh bersendirian, tetapi rakan strategik perlu diwujudkan, membina rangkaian dan jaringan dengan pelbagai lapisan masyarakat, barulah roh Umno yang memperjuangkan bangsa dan agama, mempelopori pembangunan negara, pembangunan insan dan membawa negara ke arah kemajuan yang cemerlang dapat meresap ke dalam jiwa masyarakat.

Pengarang: Pendekatan yang bakal digunakan?

 Sebenarnya banyak kaedah penyampaian maklumat yang boleh kita lakukan. Selain kaedah ceramah, kita juga memerlukan pendekatan menggunakan saluran media baru atau media sosial yang berbagai pada masa kini. Blog, Facebook, twitter, youtube dan macam-macam sekarang ini, Instagram, LINE, WeChat termasuklah yang sebelumnya website,webtv, SMS, MMS dan sebagainya.

 Kita perlu mendekati usahawan, petani serta nelayan, penjaja dan peniaga Melayu di pasar-pasar dan pasar malam, kita Umno perlu menemui semua orang, semua lapisan masyarakat muda dan tua, wanita atau lelaki, pelajar, pekerja atau pesara. Kita perlu sampaikan maklumat dan penerangan kepada mereka, tentang apa yang Umno buat, tentang apa yang kerajaan Umno dan BN buat untuk faedah mereka.

 Apa yang kerajaan buat, pembangunan, kebajikan dan lain-lain bermakna Umno dan BN lah yang buat kerana dasar dan perancangan itu pemimpin parti kita yang buat itu semua. “Kita kena royak ke rakyat”. Kalau rakyat tidak tahu, samalah seperti kita tidak buat, jadi kena bagi tahu dan terangkan setiap kebaikan yang kerajaan dan Umno/BN buat untuk faedah rakyat.

 Pengarang: Apakah selama ini penerangan belum memadai ? 

Sesuatu itu perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Dalam budaya Jepun ada suatu budaya dikenali sebagai ‘kaizen’ yakni sentiasa cuba untuk membuat pembaharuan, penciptaan baru yang lebih baik dan menarik dan tidak beku dan memadai berpuas hati dengan apa yang telah ada. Sebab itu kita lihat bermacam-macam rekaan baru dari masa ke semasa dibuat ke atas kereta, peralatan elektronik dan pelabagai produknya. Jadi kita perlu terapkan budaya ini dalam bidang penerangan dan penyebaran maklumat ini.

Pengarang: Bila akan dimulakan itu semua? 

 Pertama saya akan membentuk Jawatankuasa Penerangan Peringkat Negeri terlebih dahulu. Kita perlu membentuk pentadbiran penerangan yang mantap terlebih dahulu dengan mengadakan permuafakatan dengan semua golongan untuk merancang dan menjalankan program. Kita bercadang mengadakan ‘retreat’ (perkampungan), bengkel, kursus dan lain-lain untuk perkasakan parti Umno. Kita perlu lipat gandakan program-program pemimpin bersama rakyat dalam apa bentuk sekalipun.

Umno perlu dipersadakan, ditingkatkan imej dan kedudukannya di mata rakyat dan pengundi bahawa inilah wadah perjuangan orang-orang Melayu yang mendokong prinsip BN, yang pada masa yang sama turut memberi perhatian kepada semua bangsa lain di negara ini. Bangsa lain, Cina, India dan lain-lain perlu dipastikan kembali menyokong BN dan kerajaan.

Wawancara sepenuhnya dalam akhbar Teganukita tidak lama lagi.

Kemaman kembali banjir

Kemaman kembali dilanda banjir dengan merekodkan jumlah mangsa sehingga pagi ini seramai 91 orang.

Menurut Portal Kenyataan Banjir Negeri Terengganu yang disediakan Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, mangsa banjir yang terdiri daripada 23 keluarga itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Labohan.

Hujan lebat bermula semalam telah mernyebabkan Kampung Labohan, Kerteh (berhampiran jambatan Sungai Kerteh) dilanda banjir.

Berikutan itu, sebuah pusat pemindahan dibuka mulai jam 8 pagi hari ini.

 

Pantai dan sungai tidak selamat pada musim tengkujuh

Kesemua pantai dan sungai di kawasan peranginan di Terengganu didapati tidak selamat untuk aktiviti air terutama pada musim tengkujuh.

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata Ia ekoran beberapa kes lemas di pantai telah dicatatkan sepanjang musim tengkujuh ini.

 “Kes terbaru pada Jumaat lalu, dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun terkorban ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Dungun,” katanya.

Menurutnya sepanjang musim tengkujuh ini semua tempat seperti itu adalah tidak selamat untuk mandi dan disokong dengan faktor cuaca yang tidak menentu selain faktor geografi yang berubah.

 “Orang ramai perlu lebih peka terhadap keadaan cuaca dan persekitaran sebelum melakukan aktiviti di air terutamanya pada musim sekarang.

 "Sekarang ini musim tengkujuh dan bencana banjir baru sahaja melanda negeri ini, jadi orang ramai perlu waspada sebelum membuat keputusan bermandi-manda dikawasan berisiko seperti itu,” katanya.

 Katanya, jika kita lihat sekarang nelayan sendiri tidak mengambil risiko turun ke laut pada musim tengkujuh ini kerana tahu bahaya yang menanti mereka jadi kita perlu beringat-ingatlah. “

Pihak kami turut menyarankan orang ramai agar pergi ke tempat yang lebih sesuai untuk beriadah seperti di kolam renang untuk keselamatan,” katanya .

 

Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM pada 24 Dis

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadualkan semula Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk calon yang terjejas akibat banjir di kawasan Pantai Timur.

 MARA dalam kenyataan Selasa memaklumkan ujian dan sesi temu duga itu akan diadakan pada 24 Dis bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang di MRSM Kota Putra, Terengganu (calon program Ulul Albab) dan MSRM Kuantan, Pahang (calon program biasa dan 'International General Certificate of Secondary Education').

 Calon boleh menghubungi talian 09-6957655 bagi ujian dan sesi temu duga di MRSM Kota Putra dan 09-5681502 bagi MRSM Kuantan.



Shaari sinonim dengan Bari Kecil.

Shaari..majukan Pantai Bari Kecil
Oleh: Aminudin Ismail. 

PEMBABITANYA dalam soal kemasyarakatan bermula ketika beliau menamatkan persekolahan lagi dengan menyertai pelbagai program yang membabitkan penduduk kampungnya, bermula dari situlah beliau menyimpan hasrat untuk menabur bakti kepada penduduk kampungnya sekiranya diberi amanah untuk menjadi 'ketua kampung'.

Ternyata, hasratnya itu menjadi kenyataan apabila diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada tahun 2004 lalu.

Mat Shaari Mat Abdul Ghani, 52, tidak melepaskan peluang itu kerana melalui jawatan itulah dia boleh menabur bakti kepada penduduk di kampungnya iaitu Kampung Bari Kecil.

"Saya sememangnya pernah menyimpan hasrat, sekiranya saya diberi peluang untuk menjadi 'ketua kampung' atau Pengerusi JKKK, saya mahu memajukan penduduk Bari Kecil ini, mambantu golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dan membela mereka yang kurang bernasib baik.

 "Peluang yang saya terima itu, saya tidak sia-siakan, sehingga ini banyak yang saya sudah lakukan untuk mempertingkat taraf hidup penduduk kampung ini dan membangunkan kampung ini.

"Segala bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat, saya akan sampaikan kepada semua yang layak menerimanya.

"Saya juga membantu penduduk kampung yang layak mendapatkan rumah PPRT, mengubahsuai rumah yang uzur, menaiktaraf jalan kampung, menaiktaraf masjid, memajukan pantai Bari Kecil dan lain-lain," katanya yang gemar bersama penduduk sekiranya ada masa terluang.

Bincang..Shaari sedang berbincang dengan rakanya.
Sebagai 'Ketua Kampung', Shaari masih mempunyai banyak lagi agenda untuk membantu penduduk dan memajukan kampungnya sekiranya masih diberi kepercayaan untuk mentadbir kampungnya itu.

"Bagi menjayakan agenda saya itu, saya mengharapkan penduduk kampung ini terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional supaya pelbagai kemudahan dan bantuan dapat disalurkan berterusan kepada penduduk pada masa depan.

Banyak lagi yang saya akan cuba lakukan di kampung ini termasuklah menambah sumber pendapatan penduduk yang berpendapatan rendah," katanya.

 

20 December 2013

Pelajar SMK Pelong dapat 9A PMR.

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Berkat usaha lebih dan sentiasa memberi sepenuh tumpuan ketika mentelaah pelajaran akhirnya membuahkan hasil buat seorang pelajar SMK Pelong, dekat sini apabila dia mencapai keputusan 9A dalam PMR 2013 yang diumumkan, semalam.

Normaisarah Nordin, 15, yang berasal dari Kampung Tasek itu adakalanya melengah-lengahkan untuk makan apabila sedang mentelaah pelajaran kerana mahu memberi perhatian kepada apa yang sedang bacanya.

Menurut bapanya, Nordin Chik, 46, anaknya itu memang gemar membaca dan akan memberi sepenuh perhatian ketika sedang megulangkaji pelajaran.

"Anak saya ini tinggal di asrama SMK Pelong, masa balik rumah dia tidak lekang dengan buku malah di dua tiga bulan hendak ambil periksa, dia sanggup melambat-lambatkan untuk makan walaupun diajak berkali-kali oleh ibunya kerana mahu menumpukan perhatian kepada apa yang dipelajarinya.

"Bagaimanapun, dia belajar tidaklah lama ketika berada di rumah iaitu kira-kira dua jam sahaja sehari tetapi kalau di asrama mungkin lebih sedikit kerana dia ada peraturan," kata pengusaha batik di Setiu itu.

Dalam pada itu Normaisarah mengucapkan terima kasih saya kepada semua guru-guru dan kawan-kawan di SMK Pelong kerana banyak membantunya mencapai keputusan itu.

"Saya juga berterima kasih kepada semua ahli keluarga terutamanya ayah dan ibu yang sentiasa memberi semangat kepada saya supaya berjaya dalam pelajaran," katanya.

 

Anak penoreh getah cemerlang PMR

Oleh: Noraini Jusoh

Sentiasa fokus terhadap apa yang diajar guru dan menjadikan amalan membaca surah yasin setiap pagi dan malam sebagai rutin hariannya, nyata tidak sia-sia apabila anak penoreh getah, Abdul Jabbar Hudd Mohd Saimi, 15, cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan, semalam.

Abdul Jabbar yang berasal dari Kampung Bukit Agu, Batu Rakit tersenarai sebagai salah seorang pelajar terbaik antara 73 pelajar yang mendapat 8A daripada 100 calon keseluruhan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma).

Berkongsi rahsia kejayaan, katanya walaupun gemar mengulang kaji di saat akhir, beliau akan memberi sepenuh tumpuan terhadap apa yang dipelajarinya.

“Saya juga akan menghadiri setiap kelas tambahan yang cikgu buat dan sentiasa menghormati mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar dalam bidang farmasi.

Anak sulung daripada enam beradik ini berjaya membuktikan bahawa kemiskinan bukanlah faktor penghalang untuknya mencapai kecemerlangan.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan keputusan yang diperoleh ini dan ingin menghadiahkan kepada kedua ibu bapa yang banyak bersusah payah membanting tulang demi memberikan pendidikan terbaik kepada kami adik-beradik.

“Walaupun ayah seorang penoreh getah dan emak pula hanya suri rumah, saya tidak menjadikan itu sebagai alasan mengapa saya tidak boleh berjaya seperti orang lain,” ujar Abdul Jabbar anak kepada pasangan Mohd Saimi Daud dan Zuriah Ibrahim.

Sementara itu, bagi Syiraz Mohd Ali Jaafar ,15, cara pembelajarannya yang lebih santai iaitu gemar belajar secara berkumpulan bersama kawan-kawan banyak membantu beliau mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Seberang Takir ini, berjaya mengekalkan keputusan 8A sama seperti yang diperolehnya ketika ujian percubaan PMR.

Merupakan seorang pelajar yang aktif di Sesma, selain pembelajaran di kelas Syiraz akan memastikan beliau akan cukupkan empat jam dalam sehari bagi mengulang kaji pelajaran.

“Saya meminati muzik dan merupakan salah seorang ahli orkestra sekolah, jadi jadual harian saya sentiasa padat dengan latihan orkestra, justeru saya perlu pandai bahagikan masa dan lebih suka belajar pada waktu malam,” katanya.

Berkongsi kejayaan beliau dan rakan-rakannya, menurut Syiraz, sistem ‘Guru Muda’ yang diperkenalkan di sekolahnya banyak membantu mereka sama-sama cemerlang dalam PMR.

Katanya, ‘Guru Muda’ yang terdiri daripada pelajar bijak yang dilantik guru akan membantu pelajar lemah menguasai sesuatu mata pelajaran yang kurang difahami.

“Kami juga akan bekerjasama dan saling membantu untuk memahami apa yang diajar guru dan tidak akan sesekali membiarkan pelajar yang kurang bijak bersendirian,” ujar anak kepada pasangan Penolong Jurutera di Jabatan Pengangkutan Jalan, Mohd Ali Jaafar, 40, dan Norizan Ibrahim, 40.

 



SM Sains Sultan Mahmud terbaik PMR di Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) muncul sekolah terbaik di Terengganu apabila mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.04 dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan, semalam.

Daripada 28 buah sekolah yang berjaya mencatat GPS berpencapaian tinggi 1,00 hingga 1.80, Sesma berada di tangga teratas dengan 73 orang mendapat 8A daripada 100 calon keseluruhan.

Pengetuanya, Meriam Jusoh berkata, prestasi baik dan memberangsangkan yang diperolehi sekolah itu hasil gabungan kesungguhan pelajar dan kerjasama semua pihak terutama guru-guru yang sentiasa bersedia membantu pelajar tidak mengira waktu.

“Rahsia kejayaan sekolah ini adalah hasil gemblengan daripada displin pelajar dan dedikasi para guru yang banyak membantu menghasilkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

“Pelajar-pelajar kita sangat berdisplin dan guru-guru pula begitu berdedikasi. Hasil gabungan ini telah membantu Sesma menghasilkan pelajar berkualiti khususnya dalam peperiksaan PMR kali ini selaras dengan motto yang dipegang warga Sesma iaitu ‘Kualiti, Dedikasi, Displin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pengumuman Keputusan PMR Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Malah menurut Meriam, guru-guru Sesma membimbing pelajar bukan sahaja pada waktu persekolahan tetapi juga pada waktu malam, malah ada yang sanggup mengorbankan masa untuk bersama-sama pelajar mengulangkaji pelajaran demi kecemerlangan anak didik mereka.

Selain Sesma, sekolah lain yang turut tersenarai sebagai Sekolah Berpencapaian Tinggi (GPS 1.00 hingga 1.80) termasuk SM Imtiaz Kuala Berang (1.09) ; SBP Integrasi Batu Rakit (1.12) ; SMK Mak Lagam (1.13) ; SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin (1.13) ; SM Sains Hulu Terengganu (1.13) ; SM Imtiaz Dungun (1.14) ; SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.15) ; SM Sains Dungun (1.16) serta SM Imtiaz Besut (1.18).

SM Sains Setiu (1.18) ; SMK Tengku Mahmud (1.18) ; SMK Lembah Bidong (1.19) ; SMK Tengku Intan Zaharah (1.20) ; SM Imtiaz Kemaman (1.20) ; SMK Chukai (1.22) ; SMKA Sheikh Abdul Malik (1.24) ; SMK Sultan Sulaiman (1.26) ; SMKA Kuala Abang (1.31) ; SMKA Tok Jiring (1.33) ; SMKA Durian Guling (1.43) ; SMK Tengku Ampuan Intan (1.43) ; SMKA Nurul Ittifaq (1.49) ; SMK Dato’ Razali Ismail (1.59) ; SMA Sultan Zainal Abidin Ladang (1.60) ; SMA Khairiah (1.62) ; SMKA Wataniah (1.70) dan SMK Pelong (1.72).

 

300 penduduk dapat oven dan pancing.

Zulkifli bersama Saifuddin(tengah).
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MP3) Setiu memperuntukan bantuan sebanyak RM45,000 untuk diberi kepada 300 penduduk kawasan itu.

Peruntukan yang diberi dalam bentuk barangan itu iaitu Oven dan Alat memancing bagi membantu golongan petani dan nelayan mengusahakan kegiatan harian mereka.

Pengurus Lembaga Pertubuhan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu, Mohd Saifuddin Abas, berkata terdapat tiga peringkat penerima bantuan itu iaitu usahawan wanita berumur 35 ke atas seramai 100 orang.(oven).

"Peringkat Usahawan agropreneur lelaki muda berumur 18 hingga 40 tahun seramai 100 orang (Peralatan memancing) dan Peringkat wanita muda berumur 18-35 tahun seramai 100 orang," katanya pada majlis penyampaian bantuan itu di Perpustakaan Awam, di sini, semalam.

Hadir..sebahagian jemputan dan penerima bantuan.
Sementara itu, Pengerusinya, Che Zulkifly Jusoh yang juga Ahli Parlimen Setiu, ketika berucap merasmikan majlis penyampaian bantuan itu mengharapkan penerima bantuan memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberi.

"Saya mengharapkan barangan yang diberi ini berupa oven dan alat memancing akan digunakan bagi menghasilkan pendapatan dan bukannya untuk disimpan atau dijual," katanya.